Monday, May 7, 2018

Kerusi panas: ‘Aura Temerloh’ di Indera Mahkota

Antara kerusi parlimen yang menjadi perhatian seluruh negara ialah persaingan tiga penjuru di P82 Indera Mahkota. Seorang kolumnis di Sinar Harian menamakannya sebagai Battle royale. Antaranya sudah tentulah ulangan pertembungan dua tokoh daripada dua parti iaitu Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Dato’ Saifuddin Abdullah dengan Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan.

Mereka dijodohkan bertemu sekali lagi. Pada PRU 13 Nasrudin disifatkan sebagai ‘giant killer’ apabila menumpaskan Saifuddin di Parlimen Temerloh selaku penyandang yang ketika itu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.


Satu lagi yang menariknya dalam pertembungan kali ini ialah semua calon mempunyai aura Temerloh. Saifuddin ialah anak kelahiran Temerloh, begitu juga dengan calon BN Dato’ Dr Johan Mat Sah juga kelahiran Kampung Tanjung Lalang, Temerloh. Malah difahamkan, isteri Dr Johan ‘pangkat’ dua pupu dengan Saifudin dari nasab sebelah ibunya di Lebak. Manakala calon PAS pula ialah bekas Ahli Parlimen Temerloh.

Dari segi peluang, pemerhati melihatnya sama rata. Saifuddin dikatakan beruntung kerana ia mendapat laluan daripada Dato Fauzi Abdul Rahman yang memilih beralih ke Dun Sungai Lembing. Kebetulan Saifuddin bertanding di tempat yang dikatakan punyai lebih orang muda dan educated yang mana golongan ini tidak bergantung dengan ‘politik subsidi’ dan tidak terpengaruh dengan media kerajaan. Watak beliau sebagai pemimpin belia relevan di sana. Perbezaannya, Dato’ Fauzi dahulu beruntung menang kerana gahnya yang tersendiri di mana kekuatan ‘akar’ keluarganya di Kuantan. Arwah bapanya sendiri Abdul Rahman Talib merupakan bekas Ahli Parlimen Kuantan, malah beliau sendiri pernah menjadi Adun Beserah semasa dalam BN. Saifuddin tidak memiliki kelebihan ini. Kelemahan Fauzi pula ialah semasa beliau Ahli  Parlimen tidak sangat berdamping dengan rakyat dalam menangani permasalahan mereka sehingga menimbulkan desas-desus di sana sini.

Di sinilah lebihnya kepada Nasrudin. Kebanyakan isu di sebelah Beserah telahpun ditangani oleh Adun PAS Andansura Rabu. Kerajinan Andan turun padang sebelum ini dikatakan memugar sokongan padu kepada PAS di sebelah timur Pahang yang menganjur ke sempadan Terengganu itu. Di situ dikatakan kubu kuat PAS. Bagi Dun Semambu pula, calon PAS Hj Yusof dikatakan mudah mengalahkan calon-calon lain kerana mendapat undi solid Melayu. Ini juga memugar sokongan kepada Nasrudin. Lagipun Nasrudin menetap di Beserah, sedangkan Saifuddin pula di Kuala Lumpur. Tanpa menafikan ketrampilan Nasrudin sendiri, bukanlah bermaksud beliau terpaksa bertongkat kepada dua calon PAS untuk menang.

Bagaimana pula dengan Dr Johan, daripada risik-risik yang diperolehi beliau masih di tempat ketiga dalam saingan. Meskipun beliau diberi jolokan sebagai doktor rakyat, namun beliau hanya terkenal di sekitar Atabara (nama lama kepada bandar Indera Mahkota) sedangkan kurang dikenali di sebelah timur. Lagipun beliau hanya AJK Umno Bahagian. Selain itu dua Dun dikatakan tidak akan membantu undinya.

Kata orang, jika doktor swasta itu mahu menempah nama dalam politik, beliau sepatutnya bertanding di Dun dalam Temerloh.

Apa-apapun, dalam masa sehari berbaki ini, persaingan masih terbuka dan peluang masih terbentang.

Keputusan sebenar akan ditentukan oleh 77,208 pengundi pada 9 Mei nanti.

No comments:

Post a Comment