Sunday, May 13, 2018

Tahniah untuk PH dari PAS Pahang

UCAPAN TAHNIAH PAS PAHANG KEPADA PAKATAN HARAPAN SEMPENA PRU 14.

Segala puji bagi Allah, Rabb Yang memiliki sekelian alam, selawat dan salam atas junjungan Nabi saw, juga kepada kaum keluarganya, para sahabatNya serta mereka yang beriman disepanjang zaman.

PRU 14 telahpun berakhir, Malaysia telah menyaksikan satu perubahan hebat yang belum pernah berlaku didalam sejarah pilihanraya Malaysia. Malaysia yang sebelum ini dikuasai oleh Barisan Nasional telah bertukar kepada Pakatan Harapan.

Satu pengalaman baru bagi rakyat Malaysia dan juga sebagai satu isyarat bahawa rakyat Malaysia telah begitu fokus terhadap situasi politik tanahair, kesedaran yang tinggi terhadap betapa rakyat mempunyai kuasa untuk merubah sebuah kerajaan.

Kalimah yang sering dimomokkan kepada rakyat kononnya apabila berlakunya perubahan kerajaan maka akan berlakunya huru hara, kelaparan, muflis dan sebagainya tidak lagi dipedulikan dan ditakuti oleh rakyat.

Ini juga memberikan satu kepastian juga bersifat amaran kepada mana-mana parti politik bahawa rakyat Malaysia telahpun bersedia untuk menaikkan dan menjatuhkan mana-mana parti politik yang tidak menepati aspirasi rakyat dimasa mendatang.

PAS Pahang mengucapkan tah  iah kepada Pakatan Harapan yang telah diberikan mandat oleh rakyat pada PRU 14 juga mengucapkan tahniah kepada PAS yang telah berjaya menguasai dua Negeri iaitu pada  Kelantan dan Terengganu juga menambahkan jumlah kerusi DUN dibeberapa negeri lain termasuk Pahang Darul Makmur.

Diharapkan perubahan ini baik untuk Islam, baik untuk rakyat keseluruhannya tanpa mengira agama dan bangsa, terhapuslah kezaliman, mudah-mudahan yang buruk digantikan dengan yang baik dan yang baik digantikan dengan yang lebih baik.

Saya juga mengajak seluruh rakyat Malaysia menghormati pilihan rakyat dan mengharapkan kerajaan Pakatan Harapan juga menghormati rakyat, kebaikan pasti mendapat balasan yang baik, begitulah juga sebaliknya. Jangan terlalu gembira apabila berjaya menjatuhkan tetapi ambillah iktibar kenapa mereka dijatuhkan.

"SEJAHTERA BERSAMA ISLAM".

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
PESURUHJAYA PAS PAHANG.

No comments:

Post a Comment