Thursday, January 22, 2015

Wira banjir di belakang tabir

Barangkali kelibat mereka tidak dilihat bertungkus-lumus memindahkan mangsa banjir atau tidak mundar-mandir menaiki bot namun mereka tetap dianggap hero di belakang tabir.

Mereka ialah petugas-petugas di bilik operasi banjir induk (Bobi) yang tugasannya siang dan malam menerima bantuan barangan dari luar kemudian bertindak menyalurkannya pula ke kawasan terlibat sejak daripada hari pertama bah besar di Pahang baru-baru ini, hinggalah ke pasca banjir mengatur kerja-kerja mencuci pula.

Bobi di bawah kendalian Prihatin Rakyat PAS Pahang itu terletak di Darul Ansar Kampung Chempaka, Lanchang setelah dipindahkan dari tempat asalnya Darul Hikmah, Kerdau akibat terputus hubungan berikutan banjir.

Menurut penyelia pusat bantuan berkenaan Hasan Omar, sepanjang tiga minggu beroperasi dianggarkan lebih 100 tan beras, barangan kering dan pakaian telah diagihkan ke kawasan-kawasan terlibat banjir iaitu Lipis, Jerantut, Kuala Krau, Temerloh, Bera, Maran, Pekan dan Rompin.

Itupun tidak termasuk barangan bantuan daripada luar yang dihantar terus ke bilik operasi yang turut dibuka di setiap kawasan terlibat banjir.

“Bilik operasi ini mula dibuka pada 27 Disember selepas tempat asalnya Darul Hikmah terputus dari dunia luar. Pada hari itu juga jam satu pagi kami menerima bantuan pertama yang diangkut dari ibu melalui 14 buah kenderaan pacuan empat roda. Selepas itulah bertali arus siang dan malam bantuan mencurah-curah datang terutamanya dari Selangor, Wilayah, Johor dan lain-lain terutamanya dari NGO.

“Bobi dibuka 24 jam, tak menang tangan kami. Biasanya bantuan masuk bermula dari maghrib hingga pukul 5 pagi manakala wakil kawasan-kawasan datang mengambil barangan tidak kira masa. Saya dibantu antara 30 ke 50 petugas pada satu-satu masa,”katanya.

Menurut Hasan, kebanyakan petugas dari Lanchang sendiri serta tenaga-tenaga dari kawasan berdekatan iaitu Bentong dan Raub kerana kawasan mereka tidak dilanda banjir.



Ketika berlaku bencana ini ternampak kerjasama erat antara negeri dengan kawasan perhubungan dan pengedaran dilakukan secara sistematik. Ini membuatkan PAS dilihat terkehadapan dalam menangani mangsa banjir.

“Cuma dalam keadaan tertentu timbul masalah hubungan telefon, kemudahan internet dan perhubungan untuk menghantar bantuan terputus. Bagaimanapun kita rasa itu bukan halangan besar. Kalau ada kawasan yang boleh terus terima, kita minta penyumbang luar itu hantar terus.

“Kita faham bukan senang untuk mengendalikan kehendak dan keperluan mangsa yang sedang bertarung nyawa. Sebab itulah kami bekerja secara sistematik di mana Bobi cuma mengedarkan barang kepada kawasan-kawasan dan bukan kepada mangsa. Kawasan-kawasan yang akan agih sebab mereka lebih kenal siapa mangsa sebenar.”

Sebenarnya Prihatin Rakyat PAS Pahang telah berpengalaman mengendalikan banjir besar di Kuantan tahun lepas. Ketika itu Bobi terletak di Kerdau. Di situlah mereka belajar menguruskan barang masuk dan barang keluar.

“Sebab itu saya melihat kali ini petugas dan ahli dalam keadaan cukup bersedia. Bukan saja di peringkat negeri malah di kawasan-kawasan juga dari segi tenaga cukup bersedia. Sebab itu masa barang diterima dengan diagih-agih kepada mangsa tidak menunggu lama. Cuma di akhir-akhir ini tampak agak keletihan,” kata Hasan

Setelah tiga minggu, kini hanya tinggal beberapa kampung di pinggir Sungai Semantan sahaja masih ditenggelami air. Namun kerja-keja pasca banjir juga amat mencabar dan memerlukan ramai tenaga.

Yang untungnya, rakyat Pahang bertuah kerana mendapat tawaran tenaga sukarelawan daripada seluruh negara untuk kerja-kerja pembersihan. Sekali lagi Bobi menggalas amanah besar dengan mengagihkan limpahan sukarelawan ke kawasan-kawasan dengan sasaran mencuci masjid, surau, premis awam, sekolah, Pasti dan rumah-rumah persendirian yang memerlukan.

Untuk lebih memudahkan, tenaga-tenaga tersebut dihubungkan terus dengan kawasan-kawasan memerlukan untuk agihan tugas.

Sesetengah pendapat mengatakan banjir besar hanya berlaku dalam 40 tahun sekali. Namun itu tidak boleh membuatkan kita leka. Kerana ada tempat-tempat yang agak rendah boleh ditenggelami banjir saban tahun. Apa lagi dalam keadaan cuaca yang sudah tidak menentu sekarang ini.

Bagi Hasan petugas PAS tidak boleh alpa. Bagi menerapkan konsep negara berkebajikan, tenaga dan petugas PAS seharusnya siap siaga sentiasa bagi menghadapi sebarang malapetaka.

“Dengan itu saya cadangkan anggota jawatankuasa Prihatin Rakyat Lajnah Kebajikan PAS Pahang yang ada ini jangan dibubar malah diperkemaskan lagi. Kedua, pusat operasi mestilah mempunyai kelengkapan utama seperti bot dan water jet. Ketiga, pusat ini mesti mendapatkan liputan internet untuk perhubungan. Dan seterusnya tenaga kerja mestilah ditambah dan dilatih dari masa ke semasa,” ujarnya.


~ Hasan di celah timbunan barang walaupun Bobi walaupun sudah tiga minggu.
~ Pakaian merupakan sumbangan terbanyak yang dihantar ke Bobi.


Monday, January 19, 2015

Bah besar: PAS saran persediaan awal

Kerajaan disaran melakukan beberapa persediaan khusus bagi menghadapi bah besar pada masa akan datang supaya tidak berlaku panik dan demi untuk keselesaan mangsa-mangsa banjir.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, musibah seperti ini hampir setiap tahun berlaku cuma bezanya besar atau kecil saja justeru pihak kerajaan sepatutnya sudah boleh menjangkakan keperluan-keperluan asas untuk mangsa.

Tanpa menafikan bah kali ini luar biasa dan hanya berlaku 43 tahun yang lalu (1971), Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata, sudah sampai masanya pihak kerajaan melakukan persediaan umpamanya sistem khemah besar yang lebih selesa dibuka di padang-padang awam.

Katanya, tindakan ini boleh dilakukan lebih awal sebelum kedatangan musim monsun dan tidak ada masalah kerana maklumat dan ramalan jumlah hujan boleh diperolehi daripada Jabatan Meteorologi.

Tambahnya lagi, sistem pemusatan awal seperti ini dapat mengelakkan daripada mangsa menghadapi terputus bekalan seperti berlaku di banyak pusat pemindahan baru-baru ini ekoran terputus hubungan pengangkutan.

“Pihak kami menerima banyak rungutan di pusat-pusat pemindahan yang disediakan secara terdesak, didapati tiada privasi kerana tiada partisyen sekali gus makin menimbulkan kerumitan kepada mangsa.

“Umpamanya perempuan dan lelaki duduk setempat kemudian kaum ibu nak tukar baju pun payah. Begitu juga sembahyang. Bilik air dan tandas tak cukup. Kalau dewan itu ada lima bilik air, lima itulah walaupun ada beribu orang berpindah ke situ. Jadi sepatutnya bila berlaku begini pastikan tandas awam bergerak ditempatkan di situ,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika melawat dan menyumbangkan barang bantuan kepada pondok pengajian Addiniah Islamiah Kampung Paya Jauh Temerloh.

Kawasan yang menempatkan 150 pelajar dan warga tua tersebut antara paling tenat menerima kesan bah besar yang baru surut minggu lalu mengakibatkan hampir 80 peratus kediaman pelajar rosak dan terbalik.

Mengenai pusat-pusat perpindahan yang sesetengahnya masih dibuka sehingga kini kerana banjir belum surut sepenuhnya, didapati tidak ada pengisian rohani diprogramkan kepada mangsa sejak daripada mula.

“Ini menyebabkan berlaku kekososongan. Kita faham yang tinggal di situ sedang berada dalam kekecewaan dan berdukacita. Mungkin pihak berkuasa agama ataupun badan-badan NGO Islam boleh diberi ruang untuk membuat pengisian.

“Maknanya ada sembahyang berjamaah, sembahyang hajat dan tazkirah supaya sabar, reda dengan apa yang berlaku supaya tidak merasa terlalu kecewa. Musibah banjir ini adalah ujian Allah yang menuntut kesabaran. Kalau waktu ini manusia tak insaf maka tidak ada lagilah waktu lain,” ujarnya.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada petugas, sukarelawan dan dermawan di seluruh negara.

Katanya, beliau kagum dengan semangat dan keprihatinan mereka di mana beliau hantar sahaja mesej memerlukan bantuan pada sebelah pagi, sebelah petangnya berlori-lori barang sampai ke pusat bantuan.

Menurutnya, apabila berlaku sahaja banjir petugas dan sukarelawan berlumba-lumba datang dengan bantuan dan pada masa ini masih ramai tenaga dari luar datang membantu kerja-kerja pasca banjir seperti pembersihan.

Mengenai persediaan akan datang, Tuan Ibrahim berkata, PAS Pahang sendiri akan menyiapkan kelengkapan asas seperti bot laju dan kemudahan-kemudahan lain supaya apabila petugas-petugas datang dari seluruh negara semuanya sudah boleh mengagih kerja terutamanya ke tempat-tempat yang kritikal.