Friday, April 27, 2018

Tawaran PAS Pahang: MEMPERKASA SEKOLAH AGAMA NEGERI

Melahirkan generasi Islam yang unggul serta modal insan cemerlang lagi berkualiti sudah semestinya melalui proses pendidikan Islam yang bersistematik. Pendidikan Islam bukan sahaja menekankan aspek fizikal, tetapi juga aspek rohani dan akhlak bertujuan untuk membangunkan potensi dan kecenderungan ke arah kebaikan dalam diri seseorang yang akhirnya dapat merealisasikan kebaikan kepada orang lain.

Justeru PAS sentiasa komited dan meletakkan bidang pendidikan sebagai keutamaan khususnya sekolah-sekolah agama agar bersedia dengan pendidikan berkualiti tinggi dengan tujuan melengkapkan ilmu dan kemahiran yang relevan seterusnya berjaya di dunia dan akhirat.

Dewasa ini pertambahan bilangan pelajar sekolah menengah agama (SMAN) meningkat setiap tahun lantaran permintaan tinggi daripada ibu bapa. Sistem dwi-kurikulum yang digunakan menarik minat masyarakat sehinggakan jumlah permohonan melebihi kapasiti disediakan. Ternyata pelajar sekolah agama mempunyai kelebihan kerana dapat menguasai dua bidang iaitu pendidikan aliran agama dan mengikuti kurikulum kebangsaan. Inilah menyebabkan permohonan masuk ke sekolah agama berlipat-ganda.

Pada masa ini hanya terdapat 18 buah SMAN di bawah kerajaan negeri Pahang dengan hampir 10,000 pelajar dan 700 orang guru. Namun dua isu yang timbul di situ pertama kekurangan tempat untuk menampung dan kedua kurangnya prasarana dalam pengoperasian sekolah.

Bayangkan, pernah di sebuah SMAN hampir seribu pelajar menghadiri temuduga tetapi hanya kurang daripada 200 orang yang diterima masuk. Bukannya mereka tidak layak dalam persaingan itu akan tetapi kekurangan tempat sebenarnya.

Isu kedua yang tidak kurang pentingnya ialah amalan sistem pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar. Semua pihak sedia maklum tentang penekanan pendidikan agama yang disediakan di sekolah-sekolah ini. Namun tidak boleh dinafikan di kalangan mereka mempunyai kebolehan dan berpotensi besar sehingga mampu bersaing dengan pelajar-pelajar di aliran kebangsaan.

Adalah menjadi hak pelajar aliran agama yang berkebolehan dan berkelayakan untuk memasuki bidang yang membolehkan mereka memilih kerjaya sebagai profesional. Di samping itu dengan memberi pendidikan yang baik dan berkualiti mereka diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan berkemungkinan menjadi tokoh korporat, usahawan berjaya, aktivis masyarakat malah menjadi pemimpin politik.

Pelajar yang mempunyai asas keagamaan yang kukuh akan menjadi tenaga kerja yang berketerampilan dan bersahsiah tinggi. Diharapkan mereka akan dapat memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Untuk itu beberapa perkara juga harus diberi penekanan termasuk aspek kemudahan, keperluan sumber manusia contohnya menyediakan guru terlatih seperti yang dilakukan kerajaan di sekolah biasa iaitu seratus peratus tenaga pengajar berkelulusan ijazah. Nasib Guru-guru SMAN juga akan dibela.

Bagi memastikan perkembangan SMAN di seluruh Pahang bergerak seiring dengan sekolah-sekolah lain, PAS Pahang berazam memperkasakan institusi pendidikan ini termasuk akan menyediakan jumlah peruntukan yang lebih besar. Supaya ditingkatkan standard dan kualiti sekolah berkenaan untuk keperluan dan permintaan rakyat.


No comments:

Post a Comment