Monday, April 16, 2018

Kempen kotor bermula

Pilihan raya merupakan ruang demokrasi untuk rakyat memilih pemimpin masing-masing di pelbagai peringkat. Peluang ini sepatutnya digunakan sebaiknya bagi mencorakkan masa depan negara dan generasi akan datang. Islam amat mementingkan proses pemilihan pemimpin ini, sebagaimana yang digambarkan oleh ulamak-ulamak sirah semasa kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Kempen yang kotor, fitnah dan provokasi hanya akan mencacat dan mencemarkan sistem pemilihan itu sendiri.

Semalam PAS menerima kejutan apabila lambang PAS digayut bersekali dengan lambang BN. Iaitu bulan dan dacing diikat dan digantung tinggi dalam satu rangkaian. Ia berlaku di dalam kawasan Dun Beserah dalam Parlimen Indera Mahkota. Mujurlah kemudiannya bahan kempen yang berniat jahat itu diturunkan menjelang tengah malam.

Apa sebenarnya yang tersirat dalam fitnah dan mainan kotor musuh PAS ini? Sudah tentu ia cuba menggambarkan seolah-olah PAS bersekongkol dengan Umno atau BN. Ertinya, apabila tidak masuk kumpulan mereka bermakna PAS ini adalah bersama BN. Demikianlah mainan kotor musuh-musuh PAS.

Sebelum ini PAS sudah jenuh menerima lemparan fitnah musuh seperti makan duit Umno 90 juta, UG dan pelbagai lagi yang ditular dan disumbat ke media sosial. Sehinggakan duduk sepentas, berbaju sedondon dan mengambil keputusan serupa dalam perbahasan parlimen pun dicop sebagai penggabungan Umno-PAS.

Apa semua itu jika bukan bankrap idea? Apa itu jika bukan berotak sempit dan ketololan politik? Apa itu jika tidak buta sejarah?

Jika kumpulan ini membaca sedikit sudah tahu bahawa PAS sudah berlawan dengan Umno sejak PRU 1955 lagi. Kecuali pada 1974, apabila Tun Razak menghulurkan salam persaudaraan selepas tragedi hitam 13 Mei apabila merasakan orang Melayu perlu bersatu. Tetapi ternyata Umno tidak ikhlas setelah kematian Tun Razak 1976. Akhirnya Tun Hussein Onn yang menerajui Umno telah menendang PAS keluar pada 1977 selepas darurat di Kelantan.

Tuan Guru Presiden Dato’ Seri Abdul Hadi Awang telah berulang kali mengingatkan bahawa PAS tidak akan merelakan ‘disengat dua kali dalam satu lubang’. PAS tetap berprinsip tegas. Malah pada PRU kali ini PAS meletakkan lebih 150 kerusi bagi menentang Umno-BN. Namun pemfitnah-pemfitnah ini tidak akan pernah sedar dan menerima penjelasan melainkan hanya menyedut cerita fitnah dari agenda musuh PAS sahaja. Bagi mereka, biarlah Islam diinjak-injak oleh sesuatu kumpulan, namun untuk menjatuhkan Umno-BN mestilah berada dalam kumpulan yng memusuhi Islam itu.

Ramai yang percaya, fitnah yang serupa tidak akan terhenti. Malah tidak mustahil akan bertambah dahsyat menjelang hari pengundian sebenar.


No comments:

Post a Comment