Showing posts with label komentar. Show all posts
Showing posts with label komentar. Show all posts

Monday, November 5, 2018

Mufti Perlis anggap pemimpin PKR tiada kualiti

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menganggap insiden pergaduhan sewaktu pemilihan pemimpin PKR yang berlaku di Keningau, Sabah kelmarin disifatkan sebagai insiden yang memalukan dan merosakkan nilai murni masyarakat Malaysia.

Beliau berkata, perkara tersebut nyata membimbangkan selepas pihaknya melihat rakaman pergaduhan terbabit di negeri ini.

Wednesday, October 31, 2018

Eloklah mufti nasihatkan menteri

Langkah Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof menegur Menteri Agama Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan berkaitan agama agar tidak disalah tafsir, adalah tepat (lihat Sinar Harian hari ini).

Ini kerana bukan sekali, malah telah berkali-kali Ahli Parlimen Parit Buntar itu mengeluarkan kenyataan yang berbaur kekeliruan dan kontroversi sehingga meresahkan umat Islam.

Tuesday, October 30, 2018

Lagi Sayed Saddiq dikecam dalam isu ketuanan Melayu

Selepas dipertikai dan dibantah pelbagai pihak, Menteri Belia dan Sukan Sayed Saddiq Syed Abdul Rahman terus dikecam termasuk Pakar Rujuk Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Datuk Dr Firdaus Abdullah.

Cendekiawan Melayu itu secara terang-terangan menasihatkan Ketua Pemuda Bersatu itu agar lebih baik tidak mengutarakan pandangan (diam) jika beliau sendiri tidak begitu memahami apa yang yang dicakapkan.

Friday, October 5, 2018

Sokongan Safuddin tingkatkan moral team Azmin

Dengan kenyataan terbaru Datuk Saifudin Abdullah, ia seolah-olah menjadi suntikan semangat kepada team Azmin yang sedang berhadapan dengan team Rafizi dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR yang terus mencuri perhatian ramai ketika ini.

Saifudin meskipun belum lama menyertai PKR, namun dikatakan mempunyai sedikit sebanyak pengaruh yang boleh menguasai pemikiran pengundi-pengundi dalam PKR dalam persaingan sengit ini.

Wednesday, September 26, 2018

Ada peliwat disuruh tutup tahfiznya, ada peliwat dijulang partinya

Heboh isu seorang yang dituduh meliwat pelajar-pelajar tahfiz begitu dihangatkan sehingga pihak kerajaan dan agen-agennya begitu beria-ia menyalahkan dan mengarahkan pusat tahfiz ditutup serta-merta.

Perbuatan meliwat sememangnya terkutuk dan sepatutnya beliaulah yang bersalah kenapa dilibatkan pusat-pusat tahfiz seolah-olah sebagai pusat jenayah?

Wednesday, September 19, 2018

Biar hanya pimpinan tertinggi bercakap soal dasar parti

Saranan Ustaz Zuridan Mohd Daud yang mewakili negeri Pahang ketika membahaskan Ucapan dasar Presiden dalam muktamar yang baru berlalu, patut benar-benar dihayati ahli-ahli PAS terutama pimpinannya.

Antara lain beliau yang juga Adun Damak itu, menyarankan agar kenyataan yang berhubung kait dengan dasar, pendekatan dan strategi parti mestilah diucapkan oleh pimpinan tertinggi sahaja supaya ianya tidak mengelirukan ahli-ahli bawahan.

Thursday, August 16, 2018

PAS tawarkan calon terbaik di Seri Setia

Persoalan siapakah calon PAS yang akan berentap satu lawan satu menentang PH dalam PRK Seri Setia terjawab semalam apabila Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengisytiharkan beliau adalah Dr. Hajah Halimah Ali.

Bekas Exco Kerajaan Selangor ini tidak perlu diperkenalkan lagi baik dari segi personaliti, latar belakang pendidikan mahupun pengalamannya.

Sementara Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, PRK Seri Setia ini menandakan titik perubahan bakal bermula.

Tuesday, June 5, 2018

Siapa kata PKR akan pakat dengan Umno, PAS?

Entah mainan saraf siapa, tiba-tiba ada yang mengatakan parti komponen Pakatan Harapan (PH) PKR akan bekerjasama atau bergabung dengan Umno dan PAS bagi meminggirkan Bersatu dan Dap.

Semua ini sebagai salah satu telahan-telahan politik selepas berakhirnya PRU 14. PAS sendiri tidak melayan mainan saraf ini. Namun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menafikan dakwaan bahawa beliau dan PKR sedang berunding untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS bagi menubuhkan kerajaan Islam.

Monday, May 28, 2018

Murid terkoyak telinga ditarik guru

Sudah agak lama juga tidak terdengar kes ‘konfrontasi’ antara pihak sekolah melibatkan guru, dengan pihak pelajar atau ibu bapa.

Dulu sesekali kita ada terdengar kes murid tercedera akibat dipukul guru. Terkadang kita terdengar pula bagaimana pihak guru diugut atau dihadapkan ke mahkamah kerana menghukum anak-anak mereka yang dipandang secara bersangatan.

Pendek kata, sesuatu kes melibatkan dua pihak itu menjadi hangat terutamanya apabila disensasikan oleh media. Kebiasaannya, akan ada pula di kalangan masyarakat menyokong satu pihak manakala kelompok yang lain pula menyokong pihak yang satu lagi. Begitulah seterusnya.

Tuesday, May 8, 2018

Cerita teroka tanah haram keluar dalam ceramah


Ceramah di Kuala Krau malam tadi agak panas apabila pemidatonya begitu berani mendedahkan bahawa ada orang politik berpengaruh yang mengusahakan tanaman secara haram di atas tanah kerajaan. Audiennya tidak ramai namun isu yang dibawanya tetap menyentuh kalbu.

Antara yang disebutnya ialah di Kuala Mai, belakang Kampung Chengkenik malah tanah rizab kerbau pun katanya diceroboh dan diusahakan tanaman komersil.

“Sudahlah begitu, projek pula diusahakan bersama dengan Toke Yap,” katanya lantang.

Wednesday, April 18, 2018

Temerloh oh Temerloh...

Temerloh merupakan daerah dan bandar kedua terbesar di negeri Pahang. Namanya masyhur dan penduduknya peramah. Namun sempena pilihan raya umum ini elok rasanya dilihat pelbagai permasalahan yang belum ditangani.

1. Kos sara hidup yang tinggi.
Baik orang tempatan mahupun orang luar yang bertandang ke sini, acap kali merungut barangan keperluan asas dan makanan yang mahal. Kadang-kadang kita lihat barangan mentah yang dijual pekan sehari yang menjadi pusat beli-belah tradisional sejak zaman berzaman pun, lebih mahal daripada yang dijual di pasaraya besar. Bukan itu sahaja, sewa rumah dan perkhidmatan juga rata-rata menjadi bualan akibat kos yang tinggi. Keadaan ini jika tidak ditangani, menyebabkan orang-orang Temerloh terpaksa berbelanja besar daripada pendapatan atau bergadai bergolok hanya untuk keperluan-keperluan ini sahaja.

2.Parkir di bandar yang tidak mencukupi.
Ternyata Pihak Berkuasa Bandaran tidak merancang pembangunan dengan baik. Pembangunan dalam bandar langsung tidak seiring dengan kepesatan penduduk. Akibatnya, lot-lot parkir yang ada gagal menampung jumlah kenderaan yang ke luar masuk. Namun pihak berkuasa mengambil jalan singkat dengan menyaman kenderaan yang tidak diletakkan dalam petak yang disediakan.

3. Trek rosak di tempat rakyat beriadah rosak dan terbiar.

Satu lagi masalah pihak berkuasa perbandaran ialah selalu membiarkan trek dan alat mainan yang rosak atau tidak berfungsi. Pergilah ke Taman Kubang Gajah atau Taman Tasik Bandar. Masalah yang sama dapat dilihat di taman-taman mainan di kawasan-kawasan sekitar bandar Temerloh dan Mentakab.

4. Masalah nelayan sungai.
Identiti Temerloh tidak boleh dipisahkan dengan Sungai Pahang. Satu ketika Temerloh dikenali sebagai Bandar Ikan Patin. Di pesisir Sungai Pahang terdapat tidak kurang 1,000 sangkar ikan patin penduduk tempatan. Namun nasib mereka tidak dipedulikan dengan sewajarnya. Sudahlah punca rezeki mereka berisiko pada musim kemarau dan tengkujuh, masalah paling besar yang dihadapi ialah harga makanan ternakan ikan yang tinggi. Nasib mereka ini sepatutnya sudah lama diberikan pembelaan.

5. Peluang pekerjaan golongan muda.
Sebahagian besar kerja sudah dimonopoli oleh pendatang-pendatang asing. Kebanjiran mereka dapat dilihat dengan jelas di bandar Mentakab dan ada ketikanya menakutkan orang-orang tempatan. Kerajaan gagal mengawalnya, sementara mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru juga kerajaan gagal. Apa yang merugikan ialah sedikit demi sedikit orang-orang muda yang tiada pilihan terpaksa berhijrah demi survival hidup mereka. Ini merugikan sumber daerah kita.

6. Kekurangan pusat untuk pengajian tinggi serta latihan berkemahiran tinggi.
Hampir tidak munasabah, Menteri Pelajaran yang pertama iaitu Abdul Rahman Talib lahir di Temerloh, Namun di daerah kelahirannya tidak ada universiti, kolej (kecuali yang swasta OUM), MRSM, maktab atau vokasional (kecuali IKBN). Jika dilihat, Temerloh pernah diwakili oleh beberapa orang menteri seperti Dato’ Hamzah Abu Samah, Dato’ Sabarudin Chik dan Timbalan Menteri Dato’ Saifudin Abdullah selain Menteri Besar Tan Sri Yahya. Bahkan Tun Razak juga pernah mewakili Temerloh pada PRU yang pertama 1955.

Kita memerlukan wakil yang benar-benar boleh membawa suara akar umbi Temerloh demi kesinambungan generasi akan datang.



Monday, April 16, 2018

Kempen kotor bermula

Pilihan raya merupakan ruang demokrasi untuk rakyat memilih pemimpin masing-masing di pelbagai peringkat. Peluang ini sepatutnya digunakan sebaiknya bagi mencorakkan masa depan negara dan generasi akan datang. Islam amat mementingkan proses pemilihan pemimpin ini, sebagaimana yang digambarkan oleh ulamak-ulamak sirah semasa kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Kempen yang kotor, fitnah dan provokasi hanya akan mencacat dan mencemarkan sistem pemilihan itu sendiri.

Semalam PAS menerima kejutan apabila lambang PAS digayut bersekali dengan lambang BN. Iaitu bulan dan dacing diikat dan digantung tinggi dalam satu rangkaian. Ia berlaku di dalam kawasan Dun Beserah dalam Parlimen Indera Mahkota. Mujurlah kemudiannya bahan kempen yang berniat jahat itu diturunkan menjelang tengah malam.

Apa sebenarnya yang tersirat dalam fitnah dan mainan kotor musuh PAS ini? Sudah tentu ia cuba menggambarkan seolah-olah PAS bersekongkol dengan Umno atau BN. Ertinya, apabila tidak masuk kumpulan mereka bermakna PAS ini adalah bersama BN. Demikianlah mainan kotor musuh-musuh PAS.

Sebelum ini PAS sudah jenuh menerima lemparan fitnah musuh seperti makan duit Umno 90 juta, UG dan pelbagai lagi yang ditular dan disumbat ke media sosial. Sehinggakan duduk sepentas, berbaju sedondon dan mengambil keputusan serupa dalam perbahasan parlimen pun dicop sebagai penggabungan Umno-PAS.

Apa semua itu jika bukan bankrap idea? Apa itu jika bukan berotak sempit dan ketololan politik? Apa itu jika tidak buta sejarah?

Jika kumpulan ini membaca sedikit sudah tahu bahawa PAS sudah berlawan dengan Umno sejak PRU 1955 lagi. Kecuali pada 1974, apabila Tun Razak menghulurkan salam persaudaraan selepas tragedi hitam 13 Mei apabila merasakan orang Melayu perlu bersatu. Tetapi ternyata Umno tidak ikhlas setelah kematian Tun Razak 1976. Akhirnya Tun Hussein Onn yang menerajui Umno telah menendang PAS keluar pada 1977 selepas darurat di Kelantan.

Tuan Guru Presiden Dato’ Seri Abdul Hadi Awang telah berulang kali mengingatkan bahawa PAS tidak akan merelakan ‘disengat dua kali dalam satu lubang’. PAS tetap berprinsip tegas. Malah pada PRU kali ini PAS meletakkan lebih 150 kerusi bagi menentang Umno-BN. Namun pemfitnah-pemfitnah ini tidak akan pernah sedar dan menerima penjelasan melainkan hanya menyedut cerita fitnah dari agenda musuh PAS sahaja. Bagi mereka, biarlah Islam diinjak-injak oleh sesuatu kumpulan, namun untuk menjatuhkan Umno-BN mestilah berada dalam kumpulan yng memusuhi Islam itu.

Ramai yang percaya, fitnah yang serupa tidak akan terhenti. Malah tidak mustahil akan bertambah dahsyat menjelang hari pengundian sebenar.


Friday, April 13, 2018

Orang Lanchang wakili BN Kuala Semantan?

Setelah kalah PRU selama dua penggal berturut-turut di Dun Kuala Semantan, Umno Temerloh akan mempertaruhkan pula anak jati Lanchang Dato Azmi Mat Ludin pada kali ini.

Hal ini disahkan oleh seorang ketua kampung (Tok Empat) ketika minum bersama pagi tadi. Beliau menguatkan kenyataannya dengan memberi contoh, besok pun (Sabtu) Azmi yang bersama-sama Dato Sharkar akan berkumpul bersama jentera Umno di padang awam Kg Bangau Tanjung dalam program bertemu rakyat sambil berkempen.

Sebelum ini Azmi yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian, dilantik sebagai menyelaras Dun Kuala Semantan sehinggakan telah banyak program bersama penduduk-penduduk kampung di sini.

Habis bagaimana dengan calon-calon lain yang nampaknya agak giat juga berkempen? Contohnya Asrizal (Jayjay anak Daro Sarit), Dato Riduan Hazimin Ramli dan Rafaie Dato Hamdan?

Rafaie itu barangkali bukan calon favourite, namun Jayjay dan Riduan dilihat sudah menghabiskan wang yang besar semata-mata ‘naik nama’ untuk dicalonkan. Jayjay berulang-alik dari KL dan Riduan pula dari Kuantan. Tambahan lagi, Jayjay, seorang usahawan, itu khabarnya pilihan Dato Sri Adnan Yaakob atas kuota Naib Ketua Pemuda Umno Negeri manakala Riduan, seorang lawyer, pula calon pilihan Sharkar.

Jayjay tu muda lagi, kata Tok Empat tadi. Dia masih banyak masa. Riduan? Riduan itu pula bagus akan tetapi dia pernah terjebak dengan kontroversi dalam kes bauksit oleh SPRM. Kita tak mahu pembangkang akan mainkan isu ini. Jadi kita pilih yang kurang kontroversi, kata Tok Empat lagi.

Pada PRU 2008, Dun Kuala Semantan dimenangi PAS dalam perlawanan satu lawan satu apabila calon PAS yang kini melompat, mengalahkan calon BN Khairudin Manan. Ada sesetengah mendakwa, beliau disabotaj dari dalam Umno sendiri.

Pada PRU 2013, BN yang diwakili Anuar Yunus, kalah lagi. Kali ini bukan sahaja kerusi Dun yang kalah BN juga terpaksa menderita kekalahan kerusi Parlimen Temerloh yang ditandingi Dato Saifudin Abdullah yang tumpas di tangan Ketua Pemuda PAS Malaysia ketika itu Ustaz Nasrudin Hassan.

Untuk parlimen, kini Ustaz Nasrudin kembali ke tempatnya sendiri di Indera Mahkota dan menariknya, Dato Saifuddin juga dikhabarkan akan memperjudikan nasibnya sekali lagi di Indera Mahkota menggantikan Dato Fauzi. Mereka akan bertemu dan bersaing sekali lagi.

Jika Dato Azmi orang Lanchang bertanding di Kuala Semantan, siapa pula yang akan bertanding di Lanchang?

Sharkar akan bertanding di Lanchang sekali lagi untuk penggal ke 5 kerana kerusi tersebut dianggap selamat, kata Tok Empat.

Di atas kertas, kerusi Lanchang telah terlibat dengan persempadanan semula dengan menambah dan mengambil dari kawasan dalam Dun Kuala Semantan melibatkan Tualang, Belengu, Buntut Pulau, Lebak hinggalah ke Tanjung Belengu, yang memiliki penduduk Melayu yang tinggi majoritinya. Sementara beberapa lokaliti Cina dalam Lanchang, dilepaskan ke Mentakab.





Thursday, April 12, 2018

Fenomena Sinnathamby berulang di Mentakab?

Pada PRU 1990 orang-orang Melayu (termasuk orang Umno) di Mentakab (dahulunya dipanggil Dun Sanggang) dalam keadaan begitu tersepit kerana terpaksa memilih antara calon Cina atau India.

Pada masa itu BN diwakili oleh Pengerusi MIC Pahang R. Sinnathamby manakala pembangkang diwakili oleh calon daripada Dap Ng Kwi Ling. PAS tidak bertanding di kerusi tradisinya pada tahun tersebut kerana terikat dengan gabungan Angkatan Perpaduan Ummah dengan Semangat 46.

Kuota kerusi PAS di Lanchang pula diberikan kepada Semangat 46 melalui Hj Mohd Saludin Omar (yang sebenarnya ahli PAS) menentang Dato Bahri Yahya.

Suasana di Sanggang pada masa itu begitu kritikal kepada BN kerana majoriti pengundi adalah orang Melayu dari kampung-kampung tradisional di sepanjang Sungai Pahang dan Semantan.

Pada masa itulah orang-orang Melayu khususnya dari Umno mengatakan, “alangkah baiknya jika PAS bertanding kerana undi mereka akan diberikan kepada calon PAS.” Ini disebab Sinnathamby bukan sahaja seorang Hindu, malah diimport dari Karak.

Melihat kepada fenomena kritikal itu, Menteri Besar Pahang Tan Sri Khalil Yaakob datang berkempen dalam keadaan tergesa-gesa kerana bimbangkan BN kalah. Lalu beliau mengisytiharkan bahawa ‘Sanggang sebagai Dun angkat Menteri Besar’.

Akhirnya dalam PRU tersebut calon Bebas Dr. Selva mendapat 818 undi, DAP 5,493 undi dan Sinnathamby dapat 5,833 dan menang dengan majoriti 340 undi.

Kini suasana yang sama hampir berulang kerana Dap akan meletakkan calon Cina kerana Adunnya Tengku Zulpuri akan berpindah ke Parlimen Raub. BN pula terpaksa merelakan MCA mewakili gabungan tersebut. Manakala bekas calon MCA Dato Chua juga dijangka akan bertanding sebagai calon Bebas.

PAS yang mendapat suntikan semangat baru, akan bertanding kali ini dan akan meletakkan calon seorang bekas guru berijazah. Apa yang diharap, orang Melayu di Dun Mentakab mahupun Sanggang yang lama, akan memberi sokongan kepada calon PAS yang seorang ini. Jangan lagi seperti pisang berbuah dua kali yang akhirnya membawa sesal tak sudah!


Wednesday, December 19, 2012

Apa tujuan Muslimat PAS panggil Hasan Ali, Dato' Nan?

Amat memeranjatkan. Barang dijauhkan Allah, apakah seorang tokoh muslimat PAS Pahang benar-benar akan menyeberang ke Umno?

Sekurang-kurangnya itulah cerita-ceriti yang sedang berlegar hangat dan kecur diperkatakan sekarang.

Cerita bermula, apabila muslimat yang pernah bertaraf Pusat itu memanggil Presiden Jati yang dipecat daripada PAS iaitu Datuk Dr Hasan Ali berceramah kepada pelajar-pelajar kem cuti sekolah di sekolah agamanya.

Manakala Pengerusi Umno Pahang Datiuk Seri Adnan Yaakob pula dijemput dan diberi penghormatan berucap pada majlis penutup kem (kursus) tersebut.

Buat masa ini, semua tidak percaya Ketua Muslimat Kawasan itu akan mengisi borang Umno. Malah, masih belum timbul cerita itu. Tetapi motif beliau yang sebenar tidak diketahui.

Beliau dikatakan tidak pernah merujuk kepimpinan PAS untuk memanggil ‘musuh’ PAS itu apatah lagi menjelang PRU ini.

Beliau pernah bertanding atas tiket PAS dalam PRU lalu, tetapi dipercayai aktivitinya agak perlahan selepas kalah dalam pertandingan peringkat negeri.

Melihat kepada kefahaman bekas guru kerajaan itu, saya tidak percaya beliau akan keluar PAS dan masuk Umno. Saya percaya, kefahamannya tentang dakwah, perjuangan, pengorbanan, uslub, hikmah, siyasah dan sebagainya jauh lebih tinggi dari saya. Lagipun, beliau orang lama dan bertaraf pemimpin.

Akan tetapi suasana semasa, kondisi seseorang dan perhitungan politik masing-masing tidak boleh dibaca. Faktor makan budi dan terdesak juga, mungkin tidak pernah diambil tahu oleh kepimpinan negeri serta sahabat-sahabatnya. Kita tidak tahu kerana kita tidak berada di tempatnya.

Pada hemat saya, amat tidak sesuai beliau memanggil tokoh-tokoh berkenaan. Mungkin ada orang boleh berhujah, kita kena berfikiran terbuka, berlapang dada dan sebagainya. Tapi, pernahkah kita terfikir, mahukah Umno atau gerakan belia atau GPMS memanggil penceramah-penceramah kita?

Pada hemat saya, pintu fitnah lebih baik ditutup awal-awal sebelum melukai hati sahabat serta rakan sejamaah.

Apa-apapun, mudah-mudahan hatinya tidak terbuka untuk menyertai parti syaitan dikenali itu.

Kita mendoakan yang baik-baik sahaja!


Sunday, August 26, 2012

Jahilnya Umno tentang hudud

Saya tidak boleh bayangkan betapa dungunya kenyataan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang berkata “Hudud hanya dijadikan alat politik oleh PAS untuk meraih sokongan pengundi bukan Islam setiap kali menjelang pilihan raya umum”.

Berkata dalam majlis rayanya di Pontian belia berkata “Janji hanya tinggal janji di mana mereka tidak melaksanakannya dan membiarkan isu hudud ini terus sepi sehinggalah menjelang pilihan raya umum yang seterusnya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Ahli Parlimen Pontian di Dewan Jubli Intan, Pontian, semalam.

Pada saya Timbalan Menteri hal Ehwal Felda itu “mengantuk” ketika membuat kenyataan (jika benar) seperti disiarkan akhbar.

Jika PAS mengambil jalan popular sudah tentu tidak mengaitkan hudud kerana ia ditentang oleh bukan Islam kerana kejahilan. Malah, bukan saja bukan Islam tetapi juga sebahagian pemimpin besar dan kecil Umno yang begitu kuat menentang malah memperlecehkan hukum Allah itu!

Yang kita ketahui selama ini, Umno-lah yang sering memomok-momokkan hukum Allah itu apabila masuk berkempen di kawasan-kawasan bukan Islam. Umpamanya, sudah lazim kita dengar penceramah-penceramah Umno berkata: “jika sokong PAS, orang Cina kena potong lancau... tak boleh makan babi... tak boleh minum arak... tak boleh masuk tokong... PAS macam Taleban... semua kena masuk Melayu” dan macam-macam lagi.

Bukan rahsia lagi, itulah kempen-kempen kotor propagandis-propagandis Umno apabila berkempen terutama di hadapan orang–orang Cina. Kempen-kempen kotor dan fitnah sebegitulah yang yang menyebabkan PAS sukar diterima oleh bukan Melayu/Islam, sehinggalah PRU Mac 2008.

Kesan kempen-kempen negatif Umno inilah yang menyebabkan rakan sekutunya dari Cina MCA yang akhir-akhir ini begitu lancang dan biadab mengkritik dan menghentam Islam. Malah yang memberikan ugutan jika hukum Allah dilaksanakan bukannya datang daripada ahli-ahli biasa MCA, tetapi oleh pemimpin nombor satunya sendiri Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Lebih menyedihkan lagi, serangan-serangan terhadap Islam oleh Chua, hanya dipekakkan telinga sahaja oleh Umno, termasuki oleh Ahmad Maslan sendiri.

Hari ini Ketua Penerangan Umno mahu menunjukkan heronya dengan menuding jari ke arah PAS berkaitan hukum hudud. Sebenarnya jawapan yang jelas telah diberikan oleh Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa melaksanakan hudud telah sedia menjadi agenda PAS tetapi berlandaskan demokrasi.

PAS sedar bahawa ada kepentingan dan keperluan yang lebih dahulu perlu dilaksanakan sebelum meletakkan hudud sebagai undang-undang negara. Kerana kefahaman kita jelas bahawa hanya hukum Allah yang boleh dijadikan peraturan manusia disebabkan manusia juga diciptakan oleh Allah.

Malangnya Ahmad Maslan gagal memahami prinsip hukum Allah dan kemanusiaan ini sebagai sesuatu yang perlu, tetapi beliau hanya melihat hudud hanya dalam konteks politik untuk memburuk-burukkan PAS, sama seperti dilihat MCA!



Saturday, July 21, 2012

Apabila hari merdeka 'diUmnokan'

Kerajaan bagaikan tidak pernah serik, apabila saban tahun sambutan ulang tahun kemerdekaan negara semakin kurang mendapat sambutan, terutama daripada generasi muda.

Ini tidak lain disebabkan kerajaan yang ditulangbelakangkan oleh Umno begitu ghairah mempergunakan tarikh dan acara tersebut untuk kepentingan politik mereka, bukan perjuangan rakyat.

Tahun ini ambutan Hari Kemerdekaan ke-55 telah menggunakan slogan 'Janji Ditepati', iaitu slogan yang digunakan pemimpin nombor satu Umno untuk turun berkempen menjelang pilihan raya umum ke 13 ini.

Apakah slogan pilihan Umno itu menggambarkan jerit perih rakyat dahulu untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah? Apakah wujud roh perjuangan kemerdekaan dalam tema tersebut?

Tidakkah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim sedar bahawa ‘Janji Ditepati’ sama saja dengan slogan “Rakyat Didahulukan...”, BR1M, transformasi dan sebagainya ciptaan Najib?

Tidakkah menyambut kemerdekaan ertinya mengenang semula sejarah perjuangan bangsa terdahulu yang menggalang-gantikannya dengan nyawa dan darah? Tidakkah hari kemerdekaan bermakna kita meraikan bangsa bermaruah kerana mempunyai pahlawan menuntut kemerdekaan daripada penjajah?

Kenapa tidak mahu mengenepikan kepentingan politik sebentar kerana kemerdekaan adalah milik rakyat bukannya Umno saja?

Rasanya belaum ada Perdana Menteri selain daripada Najib yang tergamak menukarkan kehebatan hari kemerdekaan negara dengan kempen Umno.

Rais berhujah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan gagasan 1Malaysia umpamanya telah menunaikan janji-janjinya melalui proses transformasi seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Beliau berkata Najib telah melunaskan konsep 1Malaysia itu dengan menterjemahkannya antaranya dalam bentuk pengagihan buku, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Susu 1Malaysia, pembukaan Kedai Kain 1Malaysia yang dinikmati lapisan masyarakat termasuk penyokong parti pembangkang.

Tidak cukupkah Umno sudah memproklamirkan perkara-perkara di atas 24 jam sehari di media-media massa dan elektronik? Tidak cukupkah lagi pentas-pentas rasmi dipergunakan untuk melalakkan hal-hal tadi sehingga terpaksa meletakkannya pada hari kemerdekaan negara?

Kalau begitu ini bukan sambutan hari kemerdekaan tetapi festival Umno yang menggunakan acara negara untuk berkempen PRU.

Saya fikir kepimpinan Umno dalam keadaan amat terdesak kini menjelang PRU kerana dihantui perasaan takut kalah, sehingga dengan muka tidak malu tergamak menggunakan slot hari kemerdekaan negara untuk berkempen.

Jangan hairan selepas ini jika sambutan kemerdekaan tidak akan menjadi kebanggaan generasi muda lagi kerana mereka jelak dan jengkel dengan perangai pemimpin atasan!





Wednesday, May 23, 2012

Najib dicabar jadi anak jantan

Jutaan rakyat seluruh negara dan yang mengikuti melalui internet debat antara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli malam ini, mendengar moderator debat tersebut Dr Maszlee Malik mencabar Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak agar menjadi anak jantan.

Cabaran tersebut ialah supaya memberanikan diri berdebat dengan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana Najib sebelum ini berdolak-dalik mengelakkan diri apabila dicabar berdebat. Sedangkan bertukar hujah dan berlawan pemikiran seperti itu sudah biasa diamalkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat di England.

Umum mengetahui, selama ini Najib hanya diberi imej yang baik oleh akhbar-akhbar Umno. Beliau kelihatan begitu lantang dan petah, terutama menghentam Pakatan Rakyat dan Anwar tetapi hanya dalam media Umno dan di pentas-pentas parti-parti itu sedangkan pada hakikatnya amat takut berhadapan dalam berhujah dengan Anwar.

Maka pertemuan itulah yang sedang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia. Meskipun orang ramai sudah tahu, Najib tidak akan berani berhadapan dengan Anwar di pentas sampai bila-bilapun!

Ramai yang terperanjat, apabila dalam debat tadi didedahkan bahawa Khairy semasa di bawah kerajaan bapa mertuannya dulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menggunakan kira-kira RM237,000,000,000 (bilion) wang Petronas antara tahun 2004 hingga 2007 yang entah ke mana dibelanjakan.

Soalan ini dua kali diajukan oleh Rafizi, tetapi tidak dijawap sedikitpun oleh Khairy.

Pendedahan isu ini dirasakan akan membawa kesan negatif dan besar akibatnya kepada Khairy (yang dikatakan pernah menjadi orang paling berkuasa semasa era Pak Lah) kerana ia akan digunakan oleh musuh-musuh Khairy sendiri yang berada dalam Umno untuk menjatuhkan beliau.

Pada asalnya debat tersebut membawa tajuk pemansuhan PTPTN dan hala tuju masa depan pendidikan negara. Debat tersebut dianjurkan oleh Kumpulan Karangkraf dan disiarkan secara langsung oleh Astro Awani.

Namun Khairy ternyata tidak dapat membawa persoalan yang dibincangkan sebaliknya beberapa kali mengambil kesempatan menyindir Anwar Ibrahim dan memperlekeh Buku Jingga, itu saja. Beberapa persoalan yang diajukan kebanyakannya tidak dijawap langsung.

Secara peribadi, saya fikir Khairy sebenarnya tidak bersedia sangat dengan debat tersebut kerana kelihatan tercari-cari punca ataupun kusut. Angka-angka yang disebutnya jelas menyebabkan beliau sendiri tidak faham. Ada ketika fakta yang diberikan adalah salah dan ditertawakan hadirin. Ada kemungkinan dia meminta bantuan beberapa kawan-kawannya untuk mencarikan point untuknya. Tetapi beliau hanya mempertaruhkan keberanian peribadinya yang mampu berdebat.

Dapat diperhatikan dengan jelas beliau kelihatan sangat gemuruh dan gabra walaupun sesekali emosional terutama apabila diboo oleh penonton. Ini amat berbeza sama sekali dengan Rafizi yang kelihatan tenang, mampu tersenyum dan berdebat dengan yakin apabila memberikan angka-angka dengan tepat.

Khairy mungkin mahu menunjukkan kejantannya, yang mahu dibuktikannya lebih hebat daripada Najib. Tetapi dengan berakhirnya debat tadi, nampaknya pada perkiraan saya Khairy bakal menjadi kutukan Umno!






Wednesday, April 4, 2012

12 April ini bubar parlimen?

Seorang sahabat memberitahu, beliau memperoleh maklumat daripada satu sumber risikan (rasmi) bahawa 12 April ini akan dibubarkan parlimen. Menandakan satu pilihan raya yang baru akan diadakan.

Tarikh tersebut adalah sehari selepas program Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong.

Sebelum ini sudah dihebahkan kemungkinan pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan berlangsung bulan Jun, tetapi diberitakan ditarik oleh pemimpin kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak, kepada September.

Mungkin tarikh di atas itu mungkin tarikh yang ditetapkan dulu, atau tarikh terbaru yang dipilih Najib. Itu belum dipastikan.

Namun dengan andaian terbaru ini, jika benar, memungkinkan PRU akan berlangsung pada cuti persekolahan kali ini.

Harapan kita jentera Pakatan Rakyat akan segera menukar gear pilihan raya, manakala rakyat Malaysia, terutama di Pahang mestilah mulai sekarang bersedia untuk berubah kali ini.

Jika peluang ini tidak diambil, entahkan bila-bila lagi peluang terbaik ini akan datang lagi!


Monday, March 5, 2012

Semua boleh saksikan lidah rasmi Umno bohong





Malang media propaganda Umno ini sering dianggap sebagai "kitab rujukan" kepada penyokong-penyokong Umno walaupun yang disiarkan itu fitnah, provokasi dan gerak saraf.

Media pemfitnah Umno itu pula tidak serik-serik meskipun memegang rekod terbanyak akhbar yang disaman kerana menyiarkan berita-berita bohong.

Kedudukan kebebasan indeks media negara di tangga hampir ke 200 mungkin tidak diambil kisah sangat oleh pendokong-pendokong Umno, cuma yang kita kesalkan pihak mereka sanggup saban hari diperbodoh dan diperdayakan. Yang kena bododh dan kena perdaya itu pula orang Melayu, yang menetap di pinggir bandar.
)
Kesian bangsa Melayu (Umno) !