Wednesday, April 25, 2018

Jadikan Bangau Tanjung pusat makan seperti Tanjung Lumpur

Sebut sahaja makan-makan ikan bakar, ‘kaki-kaki makan’ akan segera teringatkan Tanjung Lumpur. Kerana di situlah terletaknya destinasi medan ikan bakar yang popular di kalangan penduduk tempatan dan pengunjung luar. Popularitinya bahkan menarik orang dari pantai barat dan seberang Tambak Johor, terutama pada musim cuti.

Tanjung Lumpur yang dahulunya sebuah perkampungan nelayan, kini pesat membangun dengan pelbagai kegiatan selepas siapnya jambatan menghubungkan kawasan itu dan Bandar Kuantan pada 1996.

Apabila disebut pula makan gulai ikan patin, maka minda orang seluruh negara mulailah membayangkan destinasinya ialah Temerloh. Daerah ini mulai menjadi daya tarikan baru kepada penggemar-penggemar ikan patin terutama dari ibu kota yang jaraknya sekitar satu jam setengah dari Tol Gombak melalui LPT.

Antara yang menjadi kegilaan ramai, ialah gerai ikan patin di Bangau Tanjung selain daripada Go’bang (Jalan Triang), Claypot (Bandar Baru), Pak Usop (Lurah Semantan), Hj Rahman, Jaafar Sidik (Bukit Angin) dan lain-lain (banyak lagi sebenarnya). Bangau Tanjung ialah sebuah kampung tradisional di pinggir Sungai Pahang yang juga menjadi laluan alternatif ke Tol Temerloh.

Di Bangau Tanjung, ada tiga kedai makan ikan patin yang popular sehingga menjadi viral di media-media sosial iaitu Kancil, Ina dan sebuah lagi berhadapan dengan rumah kebajikan orang-orang tua.

Menurut yang empunya ceritera, di Kancil (Raja Patin) sahaja hampir 1,000 kilogram sehari dimasak bagi memenuhi kehendak pelanggan terutama di hujung minggu. Selain daripada itu, terdapat tidak kurang 20 gerai menjual ikan patin mentah untuk dibawa pulang terutamanya pelancong dari luar. Kebanyakan patin yang dijual, ada hasil ternakan ikan sangkar mereka sendiri di Sungai Pahang.

Ertinya, Bangau Tanjung membawa banyak peluang rezeki kepada penduduk tempatan. Namun umum melihat tidak banyak usaha yang kerajaan lakukan bagi memajukannya lagi. Semuanya hanya hasil inisiatif peniaga sendiri. Jika Tanjung Lumpur yang terkenal itu banyak mendapat sentuhan Majlis Perbandaran, badan-badan kerajaan serta pihak lain, ianya tidak berlaku di Bangau Tanjung.

Jika orang ramai datang makan ke Bangau Tanjung, mereka bertanya “ke mana lagi hendak berjalan sebelum pulang?”. Jawapnya, tiada! Tiada yang dapat dinikmati pandangan oleh pengunjung selain semak-samun di kiri kanan jalan.

Kita mengambil contoh, Dataran Patin di Tanjung Keramat yang juga di kampung Bangau Tanjung. Apa yang terjadi. Pernah beberapa orang peniaga memperjudikan nasib berniaga di situ. Tetapi semuanya “bungkus”. Begitu juga jambatan gantung yang dibina MPT yang tidak berapa jelas fungsi dan kegunaannya. Wakil-wakil rakyat yang lepas-lepas juga tidak kedengaran idea dan cadangannya memajukan Bangau Tanjung.

Oleh yang demikian sempena PRU ke 14 beberapa hari lagi, kita menyeru bakal wakil rakyat yang mewakili kawasan ini nanti, berjanjilah. Berilah idea bagi memajukan kampung, penduduk, peniaga, pelanggan dan lain-lain bagi mengangkat Bangau Tanjung menjadi tersohor satu hari nanti, seperti Tanjung Lumpur!



No comments:

Post a Comment