Tuesday, July 30, 2013

Ubah laluan: Kenapa rakyat jadi tikus makmal?

KUANTAN: Pengguna-pengguna jalan raya di bandar ini tidak henti-henti merungut akibat kesesakan luar biasa selepas Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membuat percubaan mengubah laluan trafik bermula 22 Julai lalu.

Ini disebabkan bukan sahaja masalah kesesakan tidak dapat diatasi, malah juga menimbulkan kekeliruan akibat arahan yang berubah-rubah, meskipun pada asalnya untuk mengelakkan kesesakan.

Antara usaha yang dibuat ialah mengubah jalan dua hala selama ini dijadikan jalan sehala. Jalan-jalan yang terlibat adalah Jalan Penjara, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Tun Ismail, Jalan Beserah, Jalan Teluk Sisek dan Jalan Besar.

Tinjauan mendapati, kebanyakan pembahagi jalan sudah dibuang tetapi tiang elektrik di tengah jalan masih dibiarkan. Manakala di beberapa simpang diletakkan kon.

Ini berikutan MPK dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) melaksanakan program perubahan arah aliran trafik dengan tempoh percubaan tiga bulan melibatkan kos sebanyak RM4 juta dan akan berakhir pada 21 Oktober ini.

Seorang pengguna Alang Ahmad Teh, berkata perubahan aliran trafik memang membawa kelam-kabut akibat kekeliruan kepada pengguna.

“Bayangkan, penduduk Kuantan yang menggunakan jalan ini setiap hari juga kadang-kala terpaksa berpusing-pusing di tengah bandar akibat terkeliru, inikan pula pelancong.

“Saya mendengar aduan ada kakitangan pejabat di bandar ini menghadapi kesukaran umpamanya apabila tersalah mengambil lorong akibat perjalanan mengambil jarak yang jauh,” jelasnya yang tinggal di Kampung Teluk Mahang.

Beliau khuatir perancangan dibuat tanpa kajian teliti seperti mendapatkan dulu nasihat polis trafik kerana bagi beliau jika berlaku kesesakan mestilah dilebarkan jalan, bukannya mengubah haluan jalan, katanya.

Bagi Syed Anis Syed Hussin pula, kesilapan MPK ialah membuat percubaan pada bulan ramadan yang memang kebiasaannya sentiasa sibuk kerana aktiviti perniagaan dan budaya membeli-belah termasuk daripada pengunjung luar daerah.

“Kebanyakan jalan pintas yang menghubungkan Jalan Besar dengan Jalan Mahkota ditutup, menyebabkan laluan bertambah sesak dan menyusahkan orang ramai untuk ke Masjid Negeri.

“Bagi saya ada cara lain, jika di bandar-bandar besar lain longkang dan aliran air dibina dalam tanah seperti terowong supaya di bahagian atasnya boleh digunakan sebagai jalan raya dan ini boleh meluaskan lagi jalan yang ada,” katanya yang tinggal di Kampung Razali.

Bagi Shukri Ramli, perubahan aliran trafik oleh MPK ini bukan sahaja menyusahkan penduduk bahkan ia memberi imej yang tidak baik kepada pelancong.

“Umpamanya pelancong yang datang dari arah Jalan Gambang untuk ke Teluk Chempedak terpaksa mengikut jalan Wong Ah Jang melalui Megamall terus ke Jalan Beserah dan ke kanan. Perjalanan tersebut bukan sahaja sentiasa sesak tetapi juga terpaksa mengambil masa kerana jarak yang lebih jauh.

“Saya difahamkan peniaga-peniaga di Kuantan Parade turut tidak puas hati dan berdemonstrasi sejak Jalan Penjara dijadikan jalan sehala sehingga mereka semakin kekurangan pelanggan,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, dalam sidang medianya kesal kerana rakyat dijadikan tukus makmal dengan simulasi di jalan raya sedangkan ada kaedah lebih sesuai tanpa menyusahkan orang ramai.

“Eksperimen yang dilakukan MPK di bandar ini menyebabkan keadaan sesak sehingga ramai merungut, malah kesesakan semakin teruk kerana arahan berubah-uabah dalam tempoh tiga hari,” katanya.

Tambah beliau, pakar lalu lintas juga memaklumkan masih ada cara terbaik untuk mengubah laluan.

Gambar:
Jalan-jalan yang terlibat dengan perubahan

No comments:

Post a Comment