Sunday, July 7, 2013

PRU 13, selepas dua bulan


Kelmarin, 5 Julai 2013, genaplah dua bulan daripada tarikh pilihan raya umum (PRU) ke 13. Namun di Pahang, masih terdengar cakap-cakap, rintihan dan rengusan berkaitan dengan keputusan PRU itu.

Umpamanya seorang aktivis PAS, Cikgu Notfi berkata beliau masih terkejut dengan keputusan diperolehi Pakatan Rakyat (PR) khususnya PAS dalam PRU lalu kerana pencapaiannya di luar dugaan sama sekali.

Benar PR Pahang buat pertama kalinya berjaya menghantar 12 orang wakil ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang, iaitu kurang dua kerusi lagi untuk menafikan 2/3 BN. Namun daripada 12 kerusi tersebut hanya tiga daripada PAS. Dua PKR dan tujuh DAP. DAP bertanding tujuh kerusi bermakna menang semuanya. Sedangkan PAS yang memimpin PR Pahang diberi amanah bertanding di 21 kerusi Dun.

“Bayangkan (setahun sebelum PRU) tiga kali kita (PAS) adakan Himpunan Kebangkitan Rakyat, kebanyakan program kita begitu meriah dan setiap bulan kita saksikan berbondong-bondong orang baru khususnya orang Melayu menyertai PAS tetapi keputusannya tidak menepati perkembangan ketika itu,” katanya dengan nada agak kecewa.

Memang jika disaksikan pencapaian PAS di Pahang terdapat sedikit peningkatan iaitu bertambah satu kerusi berbanding PRU 2008. Jika dulu PAS hanya memenangi Dewan Undangan Negeri Kuala Semantan dan Beserah, dalam PRU baru-baru ini PAS menambah satu lagi kerusi iaitu Tanjung Lumpur. Sedangkan sasaran PAS ialah memenangi sekurang-kurangnya 10 kerusi berpotensi.

Ertinya PAS Pahang gagal menandingi rekod pada PRU 10 di mana berjaya menghantar enam orang wakil ke Dewan. Meskipun dari segi jentera, dikatakan pada kali ini jauh lebih bersedia.

Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Md Saad berkata, PRU ke 13 ialah ‘tsunami pengundi-pengundi bermaklumat’. Maksudnya kemenangan yang diraih oleh PR semuanya di kawasan bandar iaitu Tanah Rata, Tras, Beserah, Semambu, Teruntum, Tanjung Lumpur, Mentakab, Kuala Semantan, Ketari, Bilut, Sabai dan Triang. Kemenangan pula bukannya kecil tetapi meningkat antara 1,000 hingga ke lebih 5,000 undi majoriti.

Malah Dun Damak (dalam bandar Jerantut) juga selayaknya milik PR namun tewas disebabkan pertandingan empat penjuru. Keputusannya adalah seperti berikut: Datuk Lau Lee (BN) 7,905, Koh Boon Heng (DAP) 7,841, Jamaluddin Abd Rahim (PKR) 2,435, Mohd Nor Jaafar (Bebas) 174. Majoriti 64 undi dan undi rosak 647. Ertinya undi yang diperolehi oleh kedua calon PR ialah 10,276 undi!

Malangnya semua kerusi Dun yang mempunyai peti undi Felda (kecuali Triang), PAS atau PKR kalah. Dun tersebut ialah Jelai, Padang Tengku, Batu Talam, Tahan, Pulau Tawar, Sg Lembing, Lepar, Panching, Chini, Luit, Kuala Sentul, Chenor, Jenderak, Kerdau, Jengka, Lanchang, Pelangai, Guai, Kemayan dan Bukit Ibam.

Daripada 21 Dun Felda ini hanya Jelai, Tahan, Sungai Lembing, Lepar, Panching, Luit, Chenor dan Pelangai yang berjaya mengurangkan majoriti BN berbanding PRU 12, sementara yang lainnya BN menang besar. Ada yang mengatakan, itupun disebabkan masalah calon BN yang tidak diterima.

Maka sementara menanti PAS Pahang membuat post-mortem penuh PRU 13 atau ‘retreat’, elok rasanya diperhatikan beberapa perkara berkaitan pengundi-pengundi Felda bagi menghadapi persediaan PRU 14. Ini amat perlu dan mendesak jika mengambil kira pengundi Felda merangkumi sekitar 55 peratus keseluruhan pengundi di Pahang. Dengan makna, selepas ini jika PR merancang untuk menang di negeri Pahang faktor warga Felda mestilah menjadi agenda dan keutamaan.

Bayangkan, Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Pahang, Yohanis Ahmad melahirkan kehairanan PR Pahang sudah menawarkan segala yang terbaik untuk warga Felda dalam manisfesto tetapi seolah-olah dipandang dingin.

Antara lain tawaran PR ialah menyegerakan pemberian hak milik tanah kepada peneroka yang telah melangsaikan hutang. Generasi kedua dan ketiga Felda yang layak ditawarkan menjadi peneroka baru di Felda Plantation. Memasukkan nama isteri dalam rekod pemilikan geran tanah. Serta menawarkan lot tapak rumah pertama untuk bekas kakitangan Felda dengan bayaran pindah milik minimum.

Itu hanya tawaran khas kepada warga Felda. Mereka juga mendapat manfaat daripada tawaran-tawaran lain seperti tanah dan perumahan, skim untuk anak muda, pendidikan, industri dan pertanian. Namun hanya dipandang sepi. Bahkan di saluran lima dan enam peti undi Felda pun banyak yang PAS kalah! Kenapa?

Dedahkanlah penyelewengan dalam Felda, bongkarlah ketidakadilan dalam agihan saham, belalah peneroka dalam isu penipuan gred sawit, diberilah jaminan untuk hapuskan hutang peneroka yang menjangkau ratusan ribu ringgit. Semuanya tidak dihiraukan. Kenapa?

Sepatutnya persoalan inilah yang perlu dirungkaikan dan dicari penawarnya.

Dengan lain-lain perkataan, PAS dan PR Pahang mesti merancang sesuatu atau menukar strategi bagi menangani undi Felda yang jatuh teruk daripada menyokong PR dalam PRU kali ini. Bayangkan, kemerosotan undi Felda amat ketara sehingga mengalahkan undi Melayu di kampung-kampung tradisional dan pedalaman.

Sebagai contoh, di peti undi Kampong Som, Ulu Tembeling (Dun Tahan) PAS menang. Tetapi di peti undi Felda Sungai Retam dalam Dun yang sama, PAS kalah.

Mungkin ada benarnya juga satu pendapat yang mengatakan bahawa orang Melayu (secara amnya) khuatir untuk mengundi PAS berikutan mainan media kawalan Umno. Pepatah ada mengatakan: ‘pembohongan yang diulang-ulang boleh menjadi dipercayai’. Maka jika seseorang Melayu itu menjadikan Tv3/4 dan Utuseks Malaysia sebagai bahan rujukannya, maka tidak larilah mafhum kepada pepatah tadi.

Maka bertolak dari situlah kita rasakan PAS perlu brain-storming, merancang dan bertindak sekarang. Kitapun sudah tentulah tidak mahu nanti, selepas PRU 14, jawapan yang sama (untuk menghiburkan hati yang lara) diulang-ulang kembali iaitu: “Bersabarlah, Allah belum kehendaki kita menang”.


No comments:

Post a Comment