Wednesday, August 14, 2013

Senjata Api : Pemutihan, Kelemahan Kawalan Pintu Sempadan, Rasuah atau Penyelewengan

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim menyarankan satu gerakan pemutihan dilancarkan bagi mengesan jumlah sebenar senjata api dimiliki orang awam.

Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar - SAMM Muar secara dasarnya menyambut baik cadangan daripada Ahli Parlimen Muar ini namun kami ingin meminta sedikit pencerahan dari YB Datuk Razali Ibrahim, apakah prosedur pemutihan yang akan digunapakai?

Malahan, cadangan untuk mengisytiharkan jumlah sebenar senjata berlesen dalam negara seharusnya tidak memerlukan sebuah rancangan pemutihan kerana sudah pasti sesiapa yang ingin memiliki senjata api di negara ini perlu memohon lesen daripada PDRM seperti yang disyaratkan di dalam Akta Senjata 1960. Sudah pastilah PDRM ataupun KDN mempunyai pengkalan data berapa jumlah senjata api yang telah dilesenkan kepada rakyat Malaysia. Atau adakah cadangan YB Datuk Razali ini terhasil kerana ketiadaan pengkalan data statistik senjata api berlesen selama ini?

Persoalan utama adalah bagaimana boleh berlaku kebanjiran senjata api tanpa lesen seperti sekarang ini? Adakah semua pembunuh-pembunuh atau perompak-perompak bersenjata api ini mempunyai lesen senjata api? SAMM Muar tidak dapat melihat kewajaran di situ. Maka, SAMM Muar berpandangan senjata api ini diseludup masuk ke dalam negara. Soalnya, bagaimana ia boleh membolosi pintu sempadan negara dengan mudah?

SAMM Muar juga melihat isu kebanjiran senjata api dalam negara ketika ini adalah kerana kelemahan pintu sempadan negara dalam mengekang gejala penyeludupan. Baik dadah, pendatang tanpa izin, barang-barang makanan terkawal mahupun senjata api begitu mudah tembus ke dalam dan luar negara. Pengawalan pintu sempadan negara tidak boleh dipandang enteng.

Tambah merungsingkan, kenyataan YB Datuk Razali Ibrahim bahawa kebanjiran senjata api ini mempunyai kaitan dengan kegiatan rasuah dan penyelewengan telah membuktikan bahawa kegagalan Kerajaan Pemerintah, Perdana Menteri, SPRM dan KDN dalam memerangi gejala rasuah dan. penyelewengan hingga melarat kepada membahayakan keselamatan dan nyawa rakyat.

Sebagai seorang pemimpin muda dalam Kerajaan Pemerintah, adalah diharapkan agar YB Datuk Razali Ibrahim berani menegur persoalan kegiatan rasuah dan penyelewengan seperti yang didakwa beliau itu agar keharmonian dan keselamatan negara tidak digadaikan oleh sebuah pemerintahan yang lemah dalam memerangi gejala ini. Bukan sekadar retorik di dalam media tetapi tindakan affirmatif oleh beliau dalam memastikan rasuah dan penyelewengan yang memudaratkan negara ini dapat dihapuskan.

Ahmad Anwar Asyraf
SAMM Kebangsaan

No comments:

Post a Comment