Monday, December 16, 2013

Menjawab Persoalan: Mengapa Kenaikan Bertindan Dalam Tempoh Singkat?

Isnin. Sebilangan besar masyarakat dunia merasakan emosi pada pagi hari Isnin adalah sedikit kendur. Kekenduran pagi Isnin ini turut diberi nama jolokan 'monday blues'.

Namun bagi saya, Isnin kali ini lain benar rasanya. Jauh lebih bersemangat dari Isnin yang lain. Mungkin faktor kemenangan besar Liverpool terhadap pasukan Spurs mempengaruhi hormon adrenalin untuk lebih bersemangat - semangat 5-0.

Pagi ini juga saya terlihat muka depan akhbar Sinar Harian yang agak mencuri perhatian. Muka depan yang terpampang perkataan "Tolonglah Jangan Naik" di semua edisi Sinar Harian seluruh negara, dengan berlatar-belakangkan lebuhraya yang penuh sesak dan juga satu gambarajah berfakta mengenai 'rasionalisasi subsidi'.

Tajuk muka depan akhbar tersebut mencerminkan sesuatu yang lahir dari marhein. Ia satu rayuan rakyat seolah-olah merayu supaya janganlah terus menambah beban. Apakah yang dirayu itu?

Jika rayuan itu memohon supaya kerajaan lebih berhati perut, saya percaya rayuan tersebut umpama mengejar fatamorgana.

Saya terus membelek akhbar sinar secara online untuk mencari sesuatu yang mungkin istimewa dalam edisi bertarikh hari ini. Akhirnya saya menemui satu tulisan menarik bertajuk "2014 tahun mencabar" oleh wartawan sinar harian. Saya bingkas menghubungi teman di Sinar untuk mengetahui siapakah penulis tersebut, namun gagal kerna teman saya belum masuk kerja untuk hari ini.

Tulisan tersebut menghuraikan kenaikan demi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak, telah dan bakal berlaku. Antaranya ialah kenaikkan harga petrol pada September, kenaikan harga gula pada Oktober, kenaikkan tarif elektrik pada Januari depan, semakan harga gas, semakan harga tiket pengangkutan awam seperti LRT dan juga peningkatan kadar tol yang melibatkan 13 lebuhraya.

Tulisan yang konprehensif ini turut merumuskan betapa rakyat terpaksa berdepan satu cabaran hebat untuk tahun 2014. Tulisan tersebut menekankan bahawa kenaikan yang berlaku adalah berbentuk 'super combo' dan menjerut leher rakyat yang berpendapatan rendah serta golongan sederhana.

Asasnya, kadar peratus kenaikan gaji adalah sangat tidak selari dengan perkembangan mutakhir ini. Rakyat tersepit dengan unjuran 'negara maju' dan slogan 'rakyat didahulukan', apakah maknanya negara maju ketika rakyat menderita?

Daripada tulisan tersebut juga dapat dilihat satu persoalan yang paling utama - Mengapa kenaikan harga itu dibuat dalam tempoh yang singkat? Tidakkah kenaikan itu boleh dibuat dalam jumlah lebih kecil atau secara berperingkat?

Persoalan tersebut hadir tanpa jawapan, hanya persoalan semata-mata. Inilah yang membangkit naluri saya untuk menulis hari ini, untuk menjawab persoalan yang diajukan oleh penulis wartawan Sinar Harian.

Ada beberapa alasan picisan digunakan untuk mengolah persetujuan kenaikan-kenaikan ini, contohnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) umum akan kaji tambang LRT dan monorel, kaji yang bermaksud 'akan naik' dengan alasan tarif letrik naik.

Menteri JPM, Dato Seri Abd Wahid Omar juga mengumumkan bahawa telah tiba masanya kadar tol naik dengan alasan perjanjian konsesi menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.

Pelbagai alasan dan kebetulan dinyatakan. Namun saya tetap merumuskan bahawa kenaikan mendadak yang 'bertingkek-tingkek' ini adalah hadiah kemenangan Barisan Nasional dalam PRU ke-13. Inilah ibu segala punca, janganlah sesiapa nafikan.

Dengan umpan BR1M bernilai empat angka yang akhirnya 47% terpedaya, dengan modal negara aman ketika kes bunuh berleluasa, BN bertahan ditampuk kuasa dengan lima tahun tambahan nyawa.

Dulu ketika nyawa-nyawa ikan, semua kenaikkan ditangguhkan kerana takut kebangkitan rakyat. Malah banyak kes berprofile tinggi seperti PKFZ, NFC dan skandal Scorpene, juga keputusannya ditangguh hingga selepas pilihanraya. Hanya selepas menang pilihanraya dan mendapat kuasa, barulah timbul keberanian untuk menaikkan segala-galanya. Pesalah rasuah dari pakej 'transformasi' juga dilepaskan oleh mahkamah.

Mari imbas kembali betapa jika BN tumbang, kenaikkan ini tidak akan berlaku malah penurunan harga petrol dan pemansuhan tol secara berperingkat telah dirancang. Tidak salah saya ungkit perkara ini walau berlalu seribu tahun, kerana kemenangan BN itu berlaku secara penipuan. Mereka menipu untuk menikmati semua kenaikan di atas selain survival hidup dan mati.

Saya yakin majoriti besar rakyat di negara ini telah memilih perubahan dalam pilihanraya lalu. Namun bagaimana untuk kekang pengundian berganda-ganda jika dakwat yang dijanjikan kekal, tidak kekal. Hampir 1500 laporan polis telah dibuat, tetapi kegemparan ini terus didiamkan.

Penipuan pilihanraya lalu janganlah sesekali dilupakan, harus terus lawan waima turun ke jalanan. Hak demokrasi kita untuk memilih kerajaan baru telah digelapkan. Nescaya selagi penipuan ini tidak dituntut untuk diadakan semula, selagi itu kita akan terus berada dalam kegelapan.

Inilah jawapan saya di atas persoalan 'mengapa semua kenaikan berlaku secara bertindan' - Kerana BN bertahan dan terus berkuasa. Sesungguhnya, kesusahan rakyat adalah kesenangan bagi pemimpin BN kerana bila rakyat susah, maka mudahlah digula-gulakan.

Saya dengan ini menyeru kepada semua, khususnya anak muda dan golongan pekerja, bangunlah dari tidur yang lena, bangan dan lawan, kerana rakyat sedang ditindas dan negara sedang dijarah di atas nama bangsa.

Dari tegak bertimpuh, biar rebah merempuh!

EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments:

Post a Comment