Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu Lee Chean Chung yang digantung dari menghadiri dua sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang akan datang, mendakwa beliau sepatutnya tidak dikenakan tindakan demikian.
Katanya, kenyataannya bahawa Bajet 2014 yang dibentang oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob sebagai 'bajet lebihan palsu' telah disalah tafsir sedangkan kalimat tersebut tidak menghina Dewan.
Tambahnya, beliau hanya mempertikaikan bagaimana wang ehsan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM100 juta dimasukkan dalam bajet tersebut sehingga dari segi angka mendapat ‘surplus’ sebaliknya jika tidak diperoleh sudah tentu akan mengalami defisit.
“Apabila saya katakan surplus itu palsu, sepatutnya Adun BN berhujahlah sebab itu hanya pengolahan sumber pendapatan. Tetapi Adun BN terus mendesak supaya saya digantung.
“Sepatutnya tindakan terhadap saya tidak sampai ke peringkat penggantungan. Kenapa tidak dihadapkan saya ke jawatankuasa disiplin dewan dulu?,” soalnya ketika dihubungi.
Tambahnya, penggantungannya tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai Adun dan perjuangan membela nasib rakyat.
Selasa lalu, Datuk Ishak Mohamad membuat keputusan itu selepas majoriti daripada anggota dewan menyokong usul yang dibuat oleh Menteri Besar terhadap Lee apabila beliau gagal menarik balik dakwaan tersebut walaupun telah diberi peluang sebanyak dua kali oleh Speaker.
Sebelum itu Adnan, pada sesi penggulungan Bajet 2014 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini memohon Lee menarik balik kenyataan tersebut yang dibuatnya pada 19 November lalu.
Lee pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan dan Pembekalan Air 2014 berkata jumlah lebihan RM2.19 juta dalam Bajet 2014 Pahang yang dibentangkan Adnan sebagai palsu.
Adnan kemudian berkata tuduhan itu adalah keterlaluan dan tidak berasas.
Ketika menjawab permohonan Adnan, Lee menukar perkataan palsu kepada 'kosmetik' dan ini menyebabkan Adnan berang dan mempersoalkan tindakan tersebut yang dilakukan secara tiba-tiba.
Adnan sekali lagi meminta Lee menarik semula kenyataan tersebut namun beliau tetap enggan berbuat demikian sehingga memaksa Menteri Besar Pahang itu membuat usul tersebut sebelum sidang Dun berakhir.
Dalam proses itu, 29 Adun BN bangun sebagai tanda sokongan manakala 12 Adun Pakatan bertindak keluar dewan.
Lee dijangka hanya boleh menghadiri sidang dewan pada Bajet 2015, tahun depan.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Sidang Dun Pahang seorang Adun digantung daripada menghadiri mesyuarat sebanyak dua kali.
No comments:
Post a Comment