Wednesday, September 29, 2010

Cucu Mat Kilau tawar bertanding Exco AMK Pusat

Blogger terkenal negeri Pahang, Cucu Mat kilau (CMK) akan menawarkan diri calon exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat pada pemilihan 2010 yang sedang berjalan sekarang.

CMK atau nama sebenarnya Mohd Shukri Jamaluddin, 39, memberitahu Selamatkan Pahang, beliau berbuat demikian bagi tujuan memantapkan bidang ICT anak muda yang merupakan medium baru maklumat masa kini.

CMK merupakan antara blogger awal dari negeri Pahang di mana blog miliknya cucumatkilau.blogdive telah berada di internet sejak 5 Disember 2008 iaitu ketika memuncaknya era reformasi.

Beliau yang keluarganya berasal dari Kampung Pulau Tawar, Jerantut dan berhijrah ke Felda Jengka 7 Maran merupakan bekas pimpinan pelajar ITM Perak.

Sebelum menjadi blogger sepenuh masa, beliau pernah berkhidmat sebagai Juruteknik perancang bandar jabatan kerajaan di Kuantan.

Selain mengendalikan blog cucumatkilau, beliau pernah berkhidmat sebagai deejay di Pahang fm dan masih merupakan deejay jemputan pelbagai majlis. Selain itu, beliau adalah antara editor eksekutif laman paling terkenal dan kontroversi di Pahang iaitu blog Pahangdaily.blogspot.

Dari segi politik, beliau merupakan bekas Ketua Penerangan AMK Pahang dan calon PKR Dun Kemayan pada pilihan raya umum (PRU) 2008.

Pada 24 Disember 2007 beliau telah ditangkap oleh 8 orang anggota polis dalam satu serbuan di rumahnya di Inderamahkota, Kuantan.

“Saya dipukul, diugut dan diperlakukan sesuka hati dan diperlakukan sesuka hati oleh mereka dengan tangan bergari, namun itulah kenangan paling pahit yang saya lalui,” tulis beliau dalam blognya.

Shukri yang menyimpan khazanah "Kitab Kanun Salasilah 13 Generasi Keturunan Pulau Tawar" dan "Rahsia Kepahlawan Mat Kilau" kini sedang giat mempromosikan projek Blogger Usahawan.

Ramai berpendapat, jika Shukri menduduki exco AMK Pusat peluang yang ada akan dapat dimanfaatkan bagi mendedahkan timbunan isu negeri Pahang ini yang selama ini masih jarang diusik oleh blogger-blogger bertaraf nasional.

Selamatkan Pahang mengucapkan selamat maju jaya kepada CMK.



No comments:

Post a Comment