Tuesday, September 7, 2010

MPP PKR: Tiga tokoh lama dua muka baru dari Pahang


TEMERLOH: Cabang-cabang PKR negeri Pahang dijangka akan menamakan tiga calon favourite dalam pertandingan bagi mengisi kerusi tempat Majlis Perwakilan Pusat (MPP) parti itu bermula Oktober ini.

Mereka ialah Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh yang akan bertanding sebagai Naib Presiden, sementara Ketua Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Datuk Fauzi Abdul Rahman dan ahli MPP Zakaria Abdul Hamid akan mempertahankan jawatan.

Selain itu, dua muka baru juga dijangka akan dicalonkan iaitu peguam Ahmad Nizam Hamid dan Ahli Parlimen Inderamahkota Azan Ismail.

Fuziah telah mengisytiharkan untuk bertandang Naib Presiden sebelum ini, ialah Pengerusi Biro Pilihan Raya PKR yang juga bekas Ketua Wanita PKR dan Ketua Biro Latihan. Di Dewan Rakyat beliau dianggap antara ahli parlimen yang lantang dan berjaya membawa suara rakyat ke peringkat itu.

Datuk Fauzi pula tidak dapat dinafikan lagi pengalamannya selaku bekas timbalan menteri, malah ramai berpendapat ketokohannya yang dihormati di Pahang dikatakan dapat mengurangkan ‘politiking’ sesama ahli di negeri ini di samping mensetarafkan parti berseiringan dengan tokh PAS dan DAP Pahang.

Manakala Ketua Cabang Lipis, Zakaria Hamid pula merupakan penjawat MPP pada masa ini dan sebagai anak muda profesional yang bertahan sejak era reformasi, beliau dijangka dapat mengekalkan statusnya.

Melihat kepada ketokohan ketiga-tiga calon yang diketengahkan ini, rata-rata ahli akar umbi PKR berpendapat ‘regu tiga serangkai’ ini dijangka tidak menghadapi masalah untuk terus unggul berada di MPP.

Selain mendapat undi solid dari Pahang, ahli parti itu di seluruh negara juga sudah mengenali mereka.

Bagi Nizam Hamid yang dikatakan agak rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah bertanding pada sesi dulu dan dilaporkan menang pada peringkat awal, kemudiannya kemenangannya ditarik balik atas alasan yang beliau sendiri tidak pasti.

Manakala Azan pula akauntan muda yang juga dikatakan rapat dengan Anwar. Cuma sebelum ini beliau telah meletakkan jawatatan sebagai Timbalan Ketua MPN. Mungkin undi Pahang tidak solid kepadanya, tetapi beliau juga mempunyai penyokong di negeri-negeri lain.

Ketika ini pemilihan Ketua-ketua Cabang (dulunya Bahagian – mengikut parlimen) PKR sedang rancak berjalan di eluruh negara.

PKR merupakan parti politik pertama di negara ini yang memberikan ruang demokrasi kepada semua ahlinya untuk memilih pemimpin iaitu semua ahli memiliki hak satu undi kerana tidak ada lagi sistem perwakilan.

“Sistem ini adalah yang terbaik kerana dapat mengelakkan politik wang dan lobi yang tidak sihat,” kata Ketua Cabang Kuala Krau Suhaimi Said.

Menurut Ketua Biro Felda PKR Pusat itu, tidak mungkin seorang calon boleh membeli undi atau berkempen kepada 400,000 ahli PKR yang memilih anggota MPP sedangkan di satu cabang pun jumlah ahli sudah menjangkau 3,000 orang.

“Saya tidak nafikan oleh kerana ini pertama kali, tentu wujud kelemahan di sana sini. Tapi saya yakin selepas ini masalah-masalah teknikal dapat diselesaikan apabila kita telah melakukan perubahan besar. Jadi lepas ini mesyuarat agung cabang tidak ada lagi pemilihan. Begitu juga dengan konvensyen nasional November nanti hanya akan mengumumkan pemenang anggota MPP saja,” katanya.




No comments:

Post a Comment