Saturday, September 18, 2010

Tidak ada pertandingan AJK DHPP peringkat negeri – Balasubramaniam

JENGKA: Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)Pusat N. Balasubramaniam meminta ahli jawatankuasa (AJK) Dewan tersebut di peringkat negeri-negeri dikekalkan tanpa sebarang pertandingan.

Beliau membuat gesaan tersebut berikutan mendapat aduan terdapat pertandingan memilih AJK Dewan di negeri-negeri, sedangkan Presiden PAS sudah mengarahkan tidak ada pertandingan sehingga musim pemilihan pada tahun hadapan.

“AJK Dewan di peringkat Pusat sudah ditubuhkan dan Presiden arahkan pada tahun pertama ini tidak ada pertandingan dan AJK yang ada dikekalkan sehingga musim pemilihan.

“Saya dapat aduan dan saya mahu semua pihak menghormati arahan Presiden,” katanya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka & Himpunan Anak-Anak Perantauan anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) di simpang Jengka 15 dekat sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Bala berkata DHPP akan menghantar memorandum bantahan ke Kedutaan Amerika Syarikat dalam masa terdekat ini bagi membantah hasrat sebuah gereja di negara itu yang mahu membakar Al-Qur-an.

“Walaupun pihak berkenaan menangguhkan hasrat membakar kitab suci umat Islam itu, tapi kami akan tetap menghantar memorandum bantahan ke kedutaan Amerika supaya ia tidak berlaku pada masa akan datang.

“Sebab pada kami ia satu perbuatan melampau dan biadab. Mungkin mereka ada alasan tapi yang salah bukan agama tetapi manusia. Jadi DHPP mengecam tindakan tersebut dan kami mahu semua pihak menghormati agama.

“Kami yang bukan Islam pun boleh sokong parti Islam. Saya yang beragama Hindu membantah orang Kristian mahu berlaku biadab terhadap Islam kerana ia akan mengakibatkan akan lebih banyak berlaku keganasan seluruh dunia,” katanya.

Bala berkata, sepatutnya Amerika sebagai sebuah negara maju di dunia sudah boleh melihat isu perdamaian dan keharmonian manusia di dunia, bukannya mengapi-apikan lagi isu perkauman dan perbezaan agama.







No comments:

Post a Comment