Monday, September 6, 2010

Penduduk hadapi masalah air sejak puluhan tahun

TEMERLOH: Aneh tetapi benar. Tinggal di pinggir Sungai Semantan yang kaya dengan sumber air, namun penduduk terpaksa menghadapi masalah terputus bekalan air paip yang tidak pernah selesai sejak puluhan tahun.

Namun yang menghairankan penduduk, caj bil air bulanan yang dikenakan Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang tetap tinggi meski pun pada kebanyakan masa yang keluar dari kepala paip hanyalah angin.

Inilah realiti yang dihadapi kira-kira 30,000 penduduk pekan Lanchang, dua buah tanah rancangan Felda serta perkampungan sekitarnya yang dihantui masalah bekalan air yang sering terputus-putus sejak sekian lama.

Berdasarkan maklumat penduduk, terdapat dua faktor utama yang menyebabkan demikian. Pertama tekanan air terlalu rendah kerana jarak antara loji bekalan dengan lokasi terlalu jauh. Kedua kebanyakan saluran paip acap kali pecah dan bocor kerana berusia lebih 30 tahun.

Sumber bekalan utama bagi kawasan ini diperolehi dari loji bekalan air Lubuk Kawah yang disalurkan ke tangki Lanchang Estet. Namun oleh kerana kedudukannya terlalu jauh iaitu kira-kira 40 kilometer, tekanannya menjadi rendah. Ini mengakibatkan penduduk-penduduk yang berada di kawasan tinggi sukar memperolehi air.

Sumber air kedua ialah dari loji air Mempateh, namun ia dikatakan mempunyai keupayaan amat terhad justeru tidak mampu menampung keperluan puluhan ribu penduduk kawasan ini sedangkan pembinaan loji baru pula telah terbengkalai sejak sekian lama.

Baru-baru ini dua buah jentera pengepam loji bekalan air Lubuk Kawah telah rosak dan bekalan air terputus selama hampir seminggu. Keadaan ini menyebabkan aktiviti harian penduduk terjejas teruk dan kedai-kedai makan terpaksa ditutup.

Kawasan paling kritikal menghadapi krisis bekalan air ialah Felda Lakum dan Felda Bukit Damar kerana mempunyai penghuni yang ramai. Difahamkan pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang telah membuat catuan air paip selang dua hari bagi setiap kawasan Felda ini.

Dalam tinjauan Selamatkanpahang ke Felda Lakum, penduduk memberitahu masalah bekalan air paip tidak pernah selesai sejak lama dulu. Paling teruk penduduk yang tinggal di atas bukit yang melibatkan blok 15, 16, 17 dan 18 Felda Lakum yang sering terputus air ada kalanya sehingga sebulan. Itu pun menurut mereka, kebanyakan batang paip lama di situ telah diganti dengan paip baru.

Seorang penduduk blok 15, Ibrahim Mat, 63, berkata kawasan bukit di situ memang sukar mendapat bekalan air paip kecuali sekali dalam tempoh empat ke lima hari. Menurutnya, itu pun air ada waktu tengah malam sahaja dan hanya ada beberapa jam.

“Bagi menyelesaikan masalah saya terpaksa membina kolah besar di luar rumah untuk menadah air hujan. Bila tidak ada air kami penduduk di kawasan bukit tidak ada pilihan terpaksa mandi, membasuh dan memunggah air dari anak sungai Jenalik yang berdekatan”.

“Tapi yang memusykilkan kami bil air tetap RM30 ke atas, tapi air tidak ada... macam bayar angin saja”, keluh Ibrahim.

Menurutnya, keadaan lebih menyulitkan penduduk bila ada kenduri atau berlaku kematian di mana mereka terpaksa mengharap belas ihsan lori tanker JBA

Seorang penduduk lagi Mohd Som Mat, 60, berkata masalah air di tempatnya ini bukan perkara baru malah telah berlanjutan lebih suku abad sejak penempatan tersebut dibuka. Keadaan makin kritikal kini bila penduduk makin bertambah. Menurutnya ini disebabkan tidak ada tangki air khusus bagi kawasan mereka.

“Sebab itu kami menggesa dipercepatkan pembinaan tangki atau kolah takungan air bagi menjadi pencawang kepada loji air Mempateh. Sebenarnya ada pihak yang berjanji sejak empat kali pilihan raya untuk bina tangki di sini. Dulu sudah tebas Bukit Gabong di Bukit Damar kononnya untuk bina tangki air bagi menampung dua tanah rancangan Felda. Sekarang kawasan itu dah jadi hutan balik”.

“Oleh yang demikian saya menyeru khususnya pihak kerajaan dan wakil rakyat, supaya melihat juga kebajikan kami di sini. Jangan setakat bila musim kempen pilihan raya air mewah kerana ada lori tangki yang menghantar. Lepas itu keadaan menjadi wal hasil balik asal”, tegas Mohd Som.

Beliau turut mengakui bahawa jika loji air Mempateh yang terbengkalai sejak bertahun-tahun itu disiapkan segera, pasti dapat menyelesaikan banyak masalah penduduk.

Bagi peniaga kedai makan, Hashim Mubin, 46, ketiadaan air bukan saja mengganggu kehidupan harian penduduk, malah turut menjejaskan pendapatan mereka yang terbabit dalam sektor perniagaan.

“Macam saya sumber pendapatan ialah berniaga kedai makan. Bila terputus bekalan air untuk sehari dua, bolehlah punggah air sungai... tapi bila berminggu-minggu?”.

“Itulah yang menyusahkan kami di sini. Mungkin alasan yang diberi oleh pihak berkuasa ialah tekanan air rendah dan batang paip lama belum diganti

“Dah banyak kali... bila pilihan raya tiba, janji demi janji dibuat untuk selesaikan masalah ini air yang meruncing ini. Tapi hasilnya?”, soalnya.

Hashim turut menyeru penduduk Lanchang bersatu untuk mendesak pihak berkuasa segera menyelesaikan masalah penduduk.

Turut menderita akibat masalah bekalan air ialah 600 pelajar-pelajar asrama SMK Dato’ Bahaman, Lanchang. Sekolah tersebut merupakan sekolah Rancangan Khas yang menempatkan pelajar-pelajar cemerlang seluruh Pahang.

Menurut Pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Abdul Kadir Manap, masalah air di sekolah berkenaan telah menyebabkan kesukaran pelajar membasuh dan mandi selain tandas-tandas yang ada tidak bersih. Keadaan ini juga menjadikan pelajar-pelajar merasa amat kurang selesa.

“Bagi memenuhi kebajikan pelajar, saya telah meminta dibina tangki air khusus bagi penghuni asrama sekolah ini daripada wakil rakyat kawasan ini. Setakat ini belum dapat lagi”.

Sementara itu, ramai berlakunya gangguan bekalan kepada pengguna seluruh Pahang bukanlah bererti negeri ini kekurangan sumber bahan itu seperti sesetengah negeri lain. Malah apa yang berlaku ialah disebabkan kelemahan pengurusan mengagihkan bahan itu melalui agensi terbabit.

Antara sebab kelemahan sistem penyelenggaraan bekalan dan pengagihan sumber bahan mentah itu tidak dapat dilakukan secara sempurna ialah sistem paip lama yang banyak menimbulkan masalah tapi belum diganti.

Menurut sumber kerajaan, di Pahang terdapat 12,000 kilometer saluran paip bawah tanah dan 7,000 kilometer daripadanya merupakan paip lama yang perlu diselenggara dan diganti baru.


No comments:

Post a Comment