Friday, September 24, 2010

Siapa ASP Suresh, Inspektor Muru?

Di tengah-tengah kekalutan dan simpang siur peristiwa ngeri pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga yang lain, di akhbar muncul pula cerita polis meminta ‘wang pembebasan’ daripada isteri tahanan.

Pegawai polis yang disebut dalam berita akhbar itu ialah ASP Suresh dan Insperktor Muru yang meminta wang RM1 juta daripada isteri ahli perniagaan India yang hilang di negara ini, S Usharani, 27.

Isunya berbangkit bermula dengan rakaman perbualan telefon bimbit jenis Nokia dalam bahasa Tamil itu berkisar mengenai pertanyaan Usharani kepada suspek keadaan suaminya, Muthuraja Allal Kanthan, 34.

Turut diperdengarkan ialah rakaman perbualan telefon antara Usharani dengan seorang lelaki yang mendakwa pegawai polis dari Bukit Aman bernama Asisten Superintendan (ASP) Suresh.

Katanya, rakaman panggilan telefon itu dibuat pada 28 Januari dan 23 Februari lalu.

“Pada 28 Januari itu saya menghubungi peguam (suspek) dan dia memberitahu berada di luar negara dan menafikan suami saya ada bersamanya. Dia juga memberitahu akan menghubungi saya selepas kembali ke Banting.

“Pada 23 Februari pula saya menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai polis berpangkat ASP bernama Suresh dari Bukit Aman. Lelaki itu mendakwa suami saya ditahan polis kerana kesalahan dadah dan meminta RM1 juta untuk membebaskannya,” katanya.

Selain dua panggilan itu, Usharani yang tiba dari Chennai, India, kelmarin berkata, beliau turut menerima satu lagi panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya Inspektor Muru dari Bukit Aman, juga meminta wang daripadanya untuk membebaskan suaminya.

Usharani berkata, beliau menyerahkan kedua-dua rakaman itu kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Ismail Omar) di Bukit Aman, hari ini.

Muthuraja yang menjalankan perniagaan hartanah, restoran, kewangan dan barang kemas dipercayai ada hubungan perniagaan dengan suspek (pembunuh Soesilawati)_dan adiknya sejak 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, sejak 19 Januari lalu, beliau gagal menghubungi suaminya.

Selepas lapan bulan tidak mendapat berita mengenai suaminya, Usharani datang ke Malaysia pada 8 September lalu dan membuat laporan polis di Banting. Dalam laporannya, beliau memaklumkan suaminya pernah menyebut dia dibawa ke sebuah ladang milik peguam berkenaan.

Kelmarin, polis mengesahkan Muthuraja turut dibunuh dan siasatan kini dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kita biarkan kes berkenaan kepada penyiasatan polis, kerana kita tiada hak mencampurinya.

Namun kes terbaru yang melibatkan ‘polis minta suapan’ itu sesuatu yang baru kepada umum. Memang, kes tersebut belum tentu betul, mungkin ada samseng yang menyamar bagi mendapatkan wang secara mudah.

Akan tetapi apabila telah disiarkan media, ia mewujudkan satu tanggapan bahawa apakah polis boleh ‘deal’ untuk menahan atau melepaskan seseorang berdasarkan wang.

Jika ini yang menyelubungi pemikiran awam, ia boleh merencatkan reputasi polis itu sendiri pada kaca mata awam.

Tambah-tambah pula baru-baru ini pihak Peguam Negara menolak kertas pertuduhan yang disiapkan oleh pasukan polis. Ini hanya menimbulkan pelbagai spekulasi bahawa akan terlepas lagikah penjenayah sebenar apabila pihak pendakwa gagal di mahkamah.

Kita pernah mendengar rentetan kes yang terus senyap tanpa sebarang khabar berita. Antaranya kes Mustakizah. Kes Noritta Shamsuddin juga senyap tanpa dapat dibuktikan pembunuhnya yang sebenar.

Isu kehilangan kanak-kanak seperti Nurin Jazlin dan beberapa orang lagi, juga terus diam.

Kita percaya, harapan semua pihak ialah mahukan pasukan polis terus unggul sebagai pihak berkuasa dan penguasa. Kerana rakyat perlukan perlindungan.






No comments:

Post a Comment