Saturday, September 18, 2010

Batu Satu Banjir

TEMERLOH: Hujan lebat yang turun berterusan beberapa jam malam kelmarin menimbulkan kejutan besar kepada penduduk Kampung Batu Satu, Jalan Mentakab di sini disebabkan banjir sehingga menenggelamkan lima buah rumah dan dua buah kedai.

Menurut penduduk, banjir tersebut tidak sepatutnya berlaku, tetapi disebabkan kesilapan projek kerajaan yang dilaksanakan tidak menepati piawaian sehingga membuatkan kalbat yang menyalurkan air sebelah bukit ke arah paya, tersumbat.

Akibatnya, banjir tersebut menyebabkan kerugian kepada penduduk.

Menurut penduduk, Mohd Yusof Sidek, 48, kalbat yang dibina sejak 60 tahun dulu itu telah menjadi lebih rendah daripada saluran keluar (outlet) akibat projek naik taraf Jalan Temerloh-Mentakab beberapa tahun lalu.

“Kalbat ini dipasang masa zaman British lagi... masa naik taraf jalan dulu kalbat tidak diganti, itu menyebabkan dia tersumbat kerana air tak lalu.

“Projek pembinan bangunan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Temerloh yang berhampiran juga menambahkan lagi masalah kerana batu, pasir, kayu dan bahan binaan kesemuanya berkumpul dan tersumbat dalam kalbat,” katanya.

Beberapa pihak daripada MPT, kontraktor, JKR dan Bomba turut bertungkus lumus mengepam air.

Sementara itu, ramai juga penduduk yang kecewa dengan sikap Exco Kerajaan Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin yang seolah-olah mahu berlepas tangan apabila dihubungi dan diajukan perkara berkenaan kepada beliau.

“Saya hubungi Sharkar beritahu masalah dan minta dia datang tengok... tapi dia jawap dah maklumkan kepada Yang Di-Pertua Majlis. Itu saja...”







No comments:

Post a Comment