Tuesday, September 21, 2010

Ikan patin: Koperasi perlu geran tahunan

TEMERLOH: Koperasi Penternak Ikan Patin dan Nelayan Sungai Pahang memerlukan geran tahunan daripada kerajaan untuk melepaskan lebih banyak benih ikan ke dalam Sungai Pahang dan Sungai Semantan.

Wakil Khas Parlimen Temerloh, Abu Hanipah Majid berkata, geran tahunan itu diperlukan untuk membiakkan lebih banyak ikan sungai supaya ahli koperasi itu terutamanya nelayan sungai mampu meraih pendapatan kekal. Menurutnya, koperasi itu memerlukan sekurang-kurangnya tiga atau empat kali pelepasan dan pembiakan ikan sungai setahun untuk menambah smula hasil sungai yang semakin berkurangan.

"Geran tahunan ini mampu menstabilkan pendapatan nelayan yang bergantung dengan hasil sungai sebagai punca pendapatan mereka. "Ia berbeza dengan penternak ikan sangkar kerana nelayan sungai bergantung sepenuhnya pada hasil tangkapan ikan sungai berbanding penternak yang sudah tentu mempunyai sumber tetap untuk dijual sebagai pendapatan utama meraka," katanya selepas merasmikan mesyuarat koperasi itu, di sini, baru-baru ini.

Justeru, Abu Hanipah berkata, koperasi itu digesa berhubung lebih rapat dengan Jabatan Perikanan supaya mampu mendapatkan geran tahunan selain menyediakan kertas kerja lebih mantap untuk membantu ahlinya membangunkan kilang makanan ikan. Menurutnya, harga makanan ikan terlalu tinggi menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil dan memerlukan beberapa langkah untuk mengatasi masalah itu segera.

"Sebagai langkah awal koperasi perlu menyediakan kertas kerja untuk dihantar kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia supaya geran membina sebuah kilang memproses makanan ikan dapat diluluskan. "Dengan adanya kilang sendiri, secara automatik dapat membuka peluang kerja kepada ahli selain meningkatkan lebih banyak industri hiliran produk patin dan ikan sungai," katanya.

No comments:

Post a Comment