Saturday, May 4, 2013

Abdul Hamid ‘giant killer’ Pahang?

Menjelang beberapa jam sahaja lagi hari mengundi pilihan raya umum (PRU) ke-13, calon PAS Ustaz Abdul Hamid Bahatim yang menentang Menteri Besar (MB) Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di Dewan Undangan Negeri Dun Pelangai, boleh tersenyum dan menganggap peluangnya kini 50–50.

Malah berdasarkan peningkatan sokongan mendadak pengundi muda, protes senyap pengundi di kampung-kampung tradisi akibat lambakan isu yang tidak diselesaikan serta lonjakan sokongan bukan Melayu, Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong itu tidak menolak mampu bergelar ‘giant killer’.

“Nampaknya penduduk di Pelangai ini yang diwakili MB sudah sedar kawasan mereka jauh ketinggalan. Antaranya kira-kira 50,000 penduduk dinafikan kemudahan yang amat asas seperti hospital, bank, balai Bomba dan Penyelamat selain jalan utama sebagai perhubungan sangat teruk.

“Banyak kali terjadi apabila berlaku penduduk sakit, terpaksa dibawa ke Hospital Temerloh iaitu terpaksa memakan masa satu jam setengah kerana jarak yang jauh. Bayangkan apabila berlaku ibu-ibu sakit nak bersalin.

“Ketiadaan bank pula menyebabkan penduduk selalu kesukaran untuk urusan keluar masuk wang dan menjadi kritikal terutama bagi anak-anak mereka yang sedang belajar. Jadi mereka terpaksa pergi ke Triang dalam daerah Bera yang dikuasai DAP,” ujar.

Dun Pelangai ialah salah satu daripada empat Dun dalam Parlimen Bentong selain daripada Ketari, Bilut dan Sabai.

Kawasan tersebut meliputi tiga kawasan Felda berpeneroka iaitu Chemomoi, Sungai Kemahal dan Kemasul selain banyak ladang Felda Plantation. Terdapat juga 10 kampung tradisi selain tiga pekan kecil iaitu Telemong, Sungai Gapol dan Simpang Pelangai.

Dun Pelangai diwujudkan pada tahun 1969 hasil persempadanan semula kawasan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dalam tempoh itu, sudah enam penggal Adnan mewakili kawasan ini termasuk menjadi Exco dan kini sebagai MB Pahang (tiga penggal) tetapi tidak banyak perubahan dan pembaharuan yang dicapai.

Menurut statistik terakhir dikeluarkan SPR, terdapat 12,037 jumlah pengundi. Dari segi peratusan pengundi, Melayu 68 peratus, China 23 peratus dan India 9 peratus.

Pada PRU 2008, Adnan menang di Pelangai mengalahkan Hamdan Ahmad (PAS) dengan majoriti 2,970 undi.

Namun begitu, terdapat suasana yang agak ‘lain’ apabila kali ini PAS menampilkan Abdul Hamid. Beliau adalah orang tempatan yang menjadi peneroka di Felda Kemasul. Beliau ialah aktivis masyarakat, imam masjid dan merupakan seorang usahawan.

Abdul Hamid optimis dapat membuat kejutan kali ini melalui senjata ‘pengundi H’. Pengundi yang dimaksudnya itu ialah golongan muda yang tinggal terutamanya di Lembah Kelang yang jumlahnya hampir dua ribu orang. Sudah tentu mereka merupakan ‘pengundi bermaklumat’.

Bercakap tentang rungutan yang sering diadukan kepadanya, Abdul Hamid menegaskan, selain daripada masalah bekalan air paip yang kerap terputus, turut menjadi rungutan ialah masalah jalan raya yang begitu menyakitkan hati.

“Kemudahan asas seperti jalan raya juga sangat perlu. Bayangkan jika penduduk mahu berurusan dengan Pejabat Tanah dan Daerah Bentong terpaksa mengambil masa dua jam berkereta dari sebelah Pelangai ini kerana jalan yang sempit, banyak selekoh, berlubang-lubang dan banyak lori balak.

“Jalan Manchis iaitu menghubungkan kawasan ini untuk ke Kuala Lumpur pula berlubang, tidak rata dan rendah. Bila hujan lebat jalan yang rendah dilimpahi air sehingga terputus hubungan,” katanya.

Abdul Hamid menambah, kemudahan-kemudahan inilah yang sangat diperlukan penduduk tetapi bila MB turun kawasan biasanya akan bawa wang sahaja barangkali untuk tunjukkan kerajaan mewah.

Manakala kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan penduduk hanya menjadi status janji-janji manis yang diungkap setiap kali menjelang PRU.

Katanya, penduduk dapat menyaksikan jalan Simpang Durian yang tidak jauh dari Simpang Pelangai iaitu dalam daerah Jelebu, Negeri Sembilan lebih baik lagi daripada kawasan MB yang banyak cerita ladang penduduk diganggu dan dimusnahkan gajah.

Menjelang PRU ini, Abdul Hamid merayu penduduk dan pengundi di Dun Pelangai berfikir teliti demi pada masa depan dan generasi akan datang. Kerana sudah hampir 55 tahun merdeka namun kawasan diwakili MB serta parlimennya diwakili menteri, tidak banyak berubah.

“Bahkan dengan Triang kawasan pembangkang itu pun, Pelangai jauh ketinggalan,” tegasnya.

Mengenai azamnya jika diberi mandat oleh penduduk Pelangai, Abdul Hamid mempertaruhkan Manifesto Pakatan Harapan Rakyat Negeri Pahang yang meletakkan slogan ‘Pentadbiran Yang Adil, Amanah dan Bertanggungjawab’.



No comments:

Post a Comment