Friday, February 11, 2011

Bapa kesal ramai tercicir anugerah pelajar cemerlang

TEMERLOH: Seorang bapa pelajar cemerlang PMR 2010 kesal dengan cara pengendalian anugerah pelajar cemerlang Yayasan Pahang kerana tidak melalui sekolah sehingga ramai pelajar tercicir nama walaupun mereka layak.

Arshad Arbain, 52, berkata majlis pengagihan wang tunai oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin di Dewan Sri Mentakab itu hanya dihebahkan melalui SMS sesama pelajar menyebabkan sebahagian besar mereka yang layak tidak hadir walaupun nama mereka ada dalam senarai.

Lebih teruk lagi, tambahnya, majlis tersebut seolah-olah telah menjadi majlis anjuran Umno berikutan kain pemidang yang terpapar lambang parti berkenaan.

“Sepatutnya majlis anugerah pelajar cemerlang UPSR dan PMR 2010 Parlimen Temerloh itu melibatkan 750 pelajar tetapi oleh kerana pemberian wang tunai itu tidak melalui sekolah menyebabkan ramai pelajar cemerlang PMR tidak hadir walaupun nama mereka ada dalam senarai.

“Anak saya sendiri hanya mendapat maklumat melalui SMS daripada rakan-rakannya yang hadir. Tetapi apabila anak saya bergegas ke sana dia dapati hanya 7 pelajar daripada Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah yang hadir daripada 29 orang pelajar cemerlang PMR yang sepatutnya dapat,” jelasnya ketika ditemui di kediamannya.

Tambah Arshad, apabila beliau bertanya penganjur bagaimana dengan wang RM150 bagi pelajar yang tidak hadir, beliau diberitahu wang tersebut akan disalurkan melalui sekolah masing-masing.

Namun begitu, menurut Arshad, sehingga ke hari ini pihak sekolah yang dihubunginya tidak tahu menahu tentang pemberian wang berkenaan.

Ahad lalu Sharkar menyampaikan sumbangan wang tunai pada majlis anugerah pelajar yang mandapat 5 A bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta 8 A dan 9 A bagi pelajar yang mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 di Parlimen Temerloh.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh.

“Walaupun hadiah wang tunai itu tidak seberapa tetapi kesan psikologinya besar bagi pelajar yang layak dapat. Jadi kenapa majlis rasmi seperti ini tidak dimaklumkan melalui sekolah supaya pelajar yang layak tidak ketinggalan.

“Serentak dengan itu juga saya menyeru pihak Yayasan Pahang menyiasat di mana letaknya baki wang yang sepatutnya diperolehi pelajar layak yang tidak hadir pada majlis berkenaan kerana mereka belum menerimanya,” tegasnya.


GAMBAR:

Sharkar selaku Ketua Bahagian Umno Temerloh menghulurkan wang Yayasan Pahang kepada pelajar cemerlang sambil menjeling jurufoto. Melihat sambil sedikit tersenyum ialah timbalannya Saifuddin. – Gambar daripada UtusanOnline






No comments:

Post a Comment