Monday, July 2, 2018

8 Adun PAS Pahang angkat sumpah hari ini


KUANTAN: Semua 42 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang termasuk 8 daripada PAS, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Speaker DUN Pahang Datuk Seri Ishak Muhammad di Wisma Seri Pahang di Kuantan, hari ini.Majlis angkat sumpah itu dimulai oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga ADUN Jelai diikuti 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) serta ADUN lain.

Persidangan DUN Pahang bagi penggal ke-14 dijadualkan akan dirasmikan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 23 Julai ini sebelum bersidang selama lima hari.


Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas, Barisan Nasional (BN) kekal menerajui Pahang selepas memenangi 25 daripada 42 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala PAS mendapat lapan kerusi Pakatan Harapan 9 dengan 7 daripada Dap dan dua daripada PKR.

Adun-Adun daripada PAS ialah Rosli Abdul Jabar (Tanjung Lumpur), Andansura Rabu (Beserah), Tarmizi Yahya (Panching), Mohd Sufian Abdul Jalil (Luit), Mujiburahman Ishak (Chenor), Shahril Azman Abdul Halim (Jengka), Mohd Zakhwan Ahmad Badardin (Tahan) dan Zuridan Daud (Damak).

Rosli dan Andan merupakan muka lama sejak penggal 2013.

Ini merupakan pertama kali PAS menampilkan wakil paling ramai di Dun Pahang sekali gus  menjanjikan perbahasan yang bermutu tinggi demi kebajikan rakyat seluruh negeri ini. Sementara 17 kerusi diperolehi pembangkang bermakna BN buat pertama kali kehilangan suara dua pertiga majoriti dalam dewan.

Berdasarkan pemilikan kerusi, Adun di kalangan PAS paling layak dilantik sebagai ketua pembangkang.

Selain Ishak yang kekal sebagai speaker, Adun Jenderak juga kekal sebagai Timbalan Speaker seperti penggal lalu.



No comments:

Post a Comment