Oleh ROSLI ABDUL JABAR
Tetamu yang diberkati, datangnya membawa kebaikan
pulangnya meninggalkan kekuatan.
Saya menerima kunjungan seorang pegawai kerajaan
berjawatan sebagai penolong pengarah yang berhasrat untuk menyertai PAS minggu
lepas. Sambil mencicip isian cawan sebagai menghormati tetamu dengan seadanya
kami memulakan perbualan.
Lidahnya petah mencadangkan beberapa perkara untuk
dilaksanakan oleh PAS Pahang dan Tanjung Lumpur, menarik cadangannya seindah
bahasanya yang teratur. Namun apa yang lebih indah ialah isi hatinya iaitu
hasratnya untuk menyertai PAS.
Soalan yang kesekian kalinya dari saya kepada mereka
yang nak menyertai PAS "kenapa PAS"?, dia menarik nafas sambil senyum.
Sang sebenarnya ini bukan pertemuan pertama. Wajah jernihnya seringkali menjadi
hidangan pandangan saya di majlis-majlis kuliah di masjid atau surau.
Jawapannya tidak sama dengan orang-orang yang pernah
saya tanyai dulu, "saya sokong PAS sebagaimana sebabnya Ustaz sokong
PAS" katanya sambil ketawa, lalu dia bertanya kepada saya "boleh saya
tahu kenapa Ustaz masuk PAS?" , giliran saya pula ketawa, "nampaknya
isi hati kami sama". Kami sama-sama ketawa kecil dan isterinya turut
ketawa.
"Kalau kerana duit dan harta saya dah ada semua
tu", katanya, isterinya juga bergaji belasan ribu sebulan," kalau
kerana pangkat, Ustaz pun tahu kan?", saya angguk kerana saya tahu dia
memiliki semua itu. "Kita mesti cari sesuatu yang kita tiada dan yang
lebih daripada kita miliki", katanya.
Dia ceritakan apa yang berlaku di jabatannya, isterinya
pun turut menambah cerita di jabatannya pula. Dia kata "memang benar
kepakaran, kemahiran dan kepandaian itu penting untuk mentadbir sebuah negeri,
tapi jika tiada taqwa, jujur dan takut kepada Allah swt maka kepandaian itu
akan disalah gunakan".
"Jabatan kerajaan perlukan manusia yang takut
kepada Allah swt untuk memimpin, bukan orang takut kepada manusia atau takut
kehilangan harta sehingga tunduk kepada manusia walaupun ianya adalah kesilapan
dan penyelewengan. Sekaya mana pun sebuah negeri akan melingkup juga akhirnya,
kalau tidak zaman kita pasti akan berlaku zaman anak cucu kita nanti".
"Negara dan Negeri akan ditadbir oleh orang
politik, orang politik yang menentukan dasar pemerintahan, baik buruk sebuah
negara terletak pada orang politik, sebab itu bagi saya memilih parti politik
itu penting dan menjadi keutamaan, pilihanraya tu sangat penting dan bantu
parti politik yang memilih Islam sebagai dasarnya adalah penting dan
wajib", katanya.
"Saya tak kata ahli PAS tu perform, tapi saya
lihat pemimpin PAS dan ahlinya ramai yang bersungguh dengan Islam, surau kat
taman saya pun hampir semua orang PAS, yang parti lain tu adalah sorang dua,
itupun bila majlis ilmu pakat hilang belaka, Ustaz yang berceramah pula boleh
katakan 100% Ustaz PAS, secara zahir pun saya nampak bahawa PAS ni sebuah parti
yang mendidik ahli dia dengan Islam".
"Saya tak kata semua orang PAS tu baik, tapi saya
lihat ahlinya ramai yang baik-baik dan berjiwa Islam, begitu juga pimpinan PAS,
ramainya ulama dan ustaz dan yang bukan daripada kalangan itupun saya lihat berwatak agama, termasuklah
setiausaha saya, kerani dan budak-budak di jabatan saya. Mereka semua baik-baik
dan jujur dengan kerja".
"Alangkah bagusnya kalau rakyat Malaysia ni
dipimpin oleh orang yang dapat memimpin manusia kejalan Allah swt. Orang yang
tegas dengan agama dan dapat mentadbir dengan agama. Saya yakin dalam banyak-banyak
parti politik hanya PAS sahaja yang mampu laksanakan agenda Islam ini".
Saya memberinya lima helai borang sebagaimana
dikehendaki, dia, isteri dan anak-anaknya. "Cuma buat masa ni saya tak
boleh aktif lagi, masuk ahli jer dulu dan saya akan bantu sekadar mampu. Ada
apa-apa program ustaz poslah ke saya, InsyaAllah kalau sempat dan ada
kelapangan, saya hadir".
Dia tinggalkan RM1,500 untuk program ziarah. “Ustaz,
saya sentiasa ikuti fb Ustaz dan anak saudara saya pun selalu ikut program
Ustaz, saya pun kalau ceramah selalu juga datang, mungkin Ustaz tak perasan,
dok dalam gelap" sambil senyum. "Tapi kalau kat surau tu memanglah
saya selalu ada", memang kami selalu berjumpa di surau.
Sebelum dia berlalu dia sempat bagi semangat
"Kalau takdir PAS dapat perintah Pahang, Ustaz jangan bimbang, saya akan
bantu dan ramai kawan-kawan saya akan bantu, cuma PAS kena gandakan usaha agar
dapat memerintah Pahang, jumpa dengan semua lapisan masyarakat dan jelaskan
matlamat perjuangan PAS. Ramai lagi yang tak faham kerana kekadang ianya
terlindung dek fitnah musuh dan juga kelemahan ahli PAS dalam menampilkan imej
Islam, kalau PAS bersungguh beri kefahaman, insyaAllah saya yakin orang akan
faham sebagaimana saya faham".
"Terima kasih atas ingatan", sama-sama Ustaz
dan terimakasih juga atas ilmu yang selama ini disampaikan".
Dia berlalu dengan meninggalkan segumpal semangat untuk
saya meneruskan tanggungjawap ziarah dan memberi penerangan supaya masyarakat
yang tidak mengenali PAS dapat kenal
"apa itu PAS".
Ustaz Rosli Abdul Jabar ialah
Pesuruhjaya PAS Pahang
Adun Tanjung Lumpur
No comments:
Post a Comment