Monday, July 9, 2018

Tanah terbiar di Chenor sebagai solusi tambah pendapatan

Sekitar Chenor terutama di sebelah seberangnya dikenali antara kawasan pedalaman paling miskin  yang memiliki penduduk daif dan kesempitan hidup.

Sesetengah mereka tidak mempunyai tanah atau rumah, bagi yang bertanah pula kebanyakan mereka bergantung hidup dengan menoreh getah. Kini apabila harga getah telah bertahun-tahun berada di paras rendah terlampau,  membuatkan sesetengah anak watan makin miskin dan terus melarat.

Dari segi politik, kawasan ini telah dimenangi Umno/BN sejak bermulanya pilihan raya dan merdeka malah dikatakan ‘kubu Umno’. Wakil rakyat silih berganti dan generasi demi generasi di kawasan disebutkan tadi terus terpinggir melainkan mereka yang berhijrah keluar mencari rezeki.


Namun dengan takdir Allah, pada PRU yang baru dua bulan berlalu PAS menang di situ melalui wakilnya Ustaz Mujiburahman Ishak. 


“Terkejut saya apabila dihadapkan dengan senario sebenar keadaan penduduk,” katanya apabila ditanyakan keadaan rakyat yang diwakilinya sewaktu bertemu di jamuan rumah terbuka eidilfitri pada Sabtu.

Jamuan diadakan di Dataran Chenor iaitu dipinggir Sungai Pahang berdekatan tapak pekan sehari Chenor.

“Untungnya lepas PAS menang ini kita boleh masuk ke segenap ceruk bertemu rakyat bersama sekretariat Dun mendengar sendiri keluhan rakyat. Di situlah baru kita tahu realiti kehidupan mereka dan 60 tahun di bawah BN. Sebab itu saya kata saya terkejut.

“Namun rata-rata rakyat kelihatan gembira dengan kemenangan PAS. Saya nampak mereka terasa kehadiran kita, Cuma kami sangat sedar bahawa khidmat diberikan memang kena lebih bagi menghadapi cabaran kawasan di luar bandar,” jelasnya.

Ditanya mengenai pelan atau idea bagi menangani kemiskinan di luar bandar ini khusus berkaitan pendapatan mereka, Mujib berkata di kampung-kampung ini sebenarnya masih banyak tanah-tanah terbiar.

“Sebenarnya tanah-tanah terbiar ini  boleh diusahakan bagi tujuan meningkatkan pendapatan dan tidaklah bergantung kepada getah semata-mata.

“Cuma Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang kenalah aktif memainkan peranan begitu juga dengan Fama selaku agensi pemasaran. Pada masa yang sama rakyat juga mesti disuntik dengan kesedaran bahawa pertanian itu kekayaan, bahawa pertanian itu kehidupan,” ujarnya lagi.

Anjuran Mujib ini selari dengan salah satu tawaran PAS Pahang pada PRU lepas iaitu memperuntukkan tanah terbiar untuk diusahakan oleh belia.

Bagaimanapun kawasan Dun Chenor memiliki komposisi penduduk selain kawasan pedalaman seperti penempatan Felda, dua pekan kecil Awah dan Chenor. Menurut Mujib, terdapat kepelbagaian cabaran-cabaran yang dihadapinya yang memerlukan pendekatan yang berbeza-beza.

Mengenai jamuan raya yang pertama kali diadakan selepas menang, Mujib sendiri mengakui terkejut kerana kedatangan tetamu luar jangka.

“Alhamdulillah ramai yang datang dan saya anggar tidak tiga ribu yang tiba bertali arus. Bagi saya satu kejutan dan saya anggap luar biasa. Bagaimanapun alhamdulillah, makanan cukup”.

Kenduri kali ini dibuat dengan cara cara makanan-makanan dibawa oleh cawangan-cawangan yang berlain menu. Sampai di tapak, cawangan-cawan tersebut menghidangkan sendiri kepada tetamu yang boleh memilih juadah mana yang mereka berkenan.


No comments:

Post a Comment