Tuesday, July 24, 2018

Isu khutbah Adun Jengka: Sengaja cari populariti?



Saya lebih cenderung mengatakan kumpulan yang membuat laporan polis berkaitan isu khutbah Adun Jengka Ustaz Shahril Azman kononnya memfitnah yang tiba-tiba diviralkan, hanyalah untuk mencari populariti.

Manalah tahu, setelah berjuang sekian lama dan bertanding dalam PRU kemudiannya sentiasa kalah, tiba-tiba kumpulannya menang memerintah, apakah tidak ‘giler’ jadinya? Maka daripada diam sehingga terus dilupakan orang, baiklah berkokok sekali-sekala untuk tarik perhatian. Kononnya masih berbisa.

Apakah hanya mendengar daripada status yang dimuatnaik daripada facebook, tanpa hadir sendiri mendengar khutbah berkenaan maka baginya bukti kesalahan itu menjadi terlalu besar dalam sejarah?


Membaca sesetengah komen kumpulan ini, tergelak besar kita. Antaranya soalnya: “apakah beliau ada tauliah?”. Nampaknya setelah jadi pemerintah, kumpulan ini berfikir seperti Umno ketika memerintah juga. Iaitu tauliah mestilah yang ditauliahkan pemerintah. Ada yang bertanya: “Adakah individu ini layak berkhutbah?”.... Aneh, yang berkelulusan Islam tulen, dari universiti yang terbukti dengan disiplin ilmu-ilmu Islamnya disoal sebegitu rupa. Yang kadang-kadang yang menyoalnya itu sejauh mana pula ilmunya?

Khabarnya, sesetengah daripada mereka pernah mengaku menjadi anak murid Tuan Guru Haji Mohd Baqi dan Ustaz Tuan Ibrahim. Itu dulu. Saya tidak pasti selepas kumpulannya menang ini, masih sanggup lagi mengaku beliau anak murid kepada keduanya. Mungkin kini beliau punyai guru yang lebih agung.

Barangkali kumpulan ini mahu isu ini terus dipanaskan, terus dipanjangkan. Biar apapun niatnya samada untuk menakut-nakutkan atau memuaskan hati sendiri, itu tidak kisahlah.

Kenapa sebelum ini pelbagai cercaan kepada Islam, Nabi Muhammad, para ulamak dan pelbagai institusi orang Melayu di negara ini didiamkan dan tidak pernah berdetik pun? Bagaimana sikapnya dengan pemimpin agung mereka sendiri yang terang-terang mempertikaikan Assunah?

Tidak mahu masjid menjadi tempat berpolitik. Memang, tetapi khutbah itu sebagai medium untuk menegur dan mengingatkan umat Islam. Itu fungsinya. Seminggu sekali, takkan nak dengar khutbah 'makanlah buah-buahan tempatan’. Kemudian ajak membina masyarakat pula. Jika kumpulan yang songsang pun tak boleh ditegur, nak bina masyarakat macam mana? Barangkali yang nak cari publisiti itu tidak tahu bahawa Adun Jengka pernah menggempur sehingga tutupnya pusat judi. Apakah itu tidak membina masyarakat? 

Bagi saya tidak ada apa yang perlu ditakutkan kepada yang cuba mencari publisiti. Empunya badan, Ustaz Shahril sendiri sudah menjawapnya sebagaimana disiarkan juga di dalam akhbar yang sama. Jika masih tidak berpuas hati, yang merasa dirinya cerdik itu boleh bersemuka dengan Ustaz Shahril atau bertemu dalam majlis debat

Berikut disiarkan Ustaz Shahril:

'Saya bimbang isu LGBT'

BANDAR JENGKA - Adun Jengka, Shahril Azman Abd Halim menjelaskan khutbah yang dibaca di Masjid Matrikulasi Jengka, Jumaat lalu berkait golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual (LGBT) bukan untuk menuduh mana-mana pihak sebaliknya sekadar menyatakan kebimbangan.

Ia berikutan kes golongan itu yang pernah membawa tuntutan mereka ke mahkamah menuntut hak dan kebebasan untuk hidup dengan cara mereka di negara ini.


Menurutnya, isu itu mula menimbulkan kebimbangan orang ramai khususnya umat Islam apatah lagi kebelakangan ini timbul kenyataan-kenyataan yang seolah-olah ‘mesra’ kepada golongan tersebut.

“Saya tak tuduh mereka sokong LGBT tetapi berdasarkan kenyataan dikeluarkan sebelum ini saya lihat agak mesra kepada golongan tersebut sedangkan budaya itu jelas haram dan mengundang laknat ALLAH,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, perkara yang dinyatakan dalam khutbahnya sebagai satu pandangan sedangkan sebelum ini pun, ada pihak yang turut mempersendakan dan mempersoalkan tentang kenyataan menteri agama itu.

“Sebagai menteri, beliau kena tegas. Bukan maksudnya saya minta golongan itu diperangi tetapi menyatakan pendirian dengan tegas dan jelas bahawa budaya itu haram dan perlu membendungnya.

“Kalau kata LGBT itu soal dia dengan ALLAH dan sebagainya bagi saya tiada ketegasan,” katanya.

Shahril berkata, isu khutbah itu difahamkan sudah disentuh menteri berkenaan dalam dewan rakyat dan beliau sudah membuat ketegasan tentang perkara tersebut.

“Bila dia dengar khutbah tu.. hari ini dia nyatakan ketegasan, baguslah itu sahaja isunya.. bukan menuduh pun.. saya hanya lahirkan kebimbangan kerana perbuatan atau amalan cara hidup LGBT mendapat laknat ALLAH dan ini bukan isu kecil,” katanya.

Beliau berkata, sebagai ahli agama dia runsing dengan situasi semasa negara, apatah lagi sudah ada tindakan daripada golongan LGBT bawa kes ke mahkamah.

“Sebagai Adun Jengka, matlamat saya untuk mendidik dan membawa masyarakat kepada Islam, yang haram saya sebut haram, benda ini laknat ALLAH dan jangan biarkan ia membarah di negara ini.

“Kita memang perlu usaha dakwah kepada golongan ini namun soal hukum kena tegas,” katanya.

No comments:

Post a Comment