Adun Jengka Ustaz Shahril Azman Abdul Halim menggesa
Kerajaan Negeri Pahang berusaha setidak-tidaknya di peringkat kerajaan negeri menyumbang
bagaimana untuk memulihkan harga sawit dan getah ke tahap yang selesa kepada
peneroka Felda.
Berucap dalam perbahasan menyokong Titah Diraja di
sidang Dewan Undangan Negeri semalam, beliau berkata kedudukan harga semasa sawit
dan getah yang rendah pada masa ini, sangat terkesan kepada kehidupan harian
mereka dengan kos hidup yang telah sedia tinggi.
Shahril sebelum itu menarik perhatian dewan kawasan
beliau dikelilingi oleh Felda di mana Pahang sendiri memiliki tanah rancangan yang
paling luas di negara ini iaitu seluas 319,145 hektar dengan 115 rancangan dan
43,124 keluarga peneroka.
“Dalam PRU14 yang lalu kira-kira 200,000 pengundi
terbesar datang dari komuniti Felda termasuk generasi kedua dan ketiga. Justeru
saya melihat, ini adalah suatu masyarakat yang sangat penting kepada Pahang dari
sudut ekonomi dan pembudayaan mereka,” ucapnya.
Shahril turut mendesak kerajaan negeri menyelesaikan masalah
perumahan bagi generasi kedua Felda di mana sebahagian besarnya masih
terbengkalai.
“Generasi kedua Felda khususnya di kawasan saya yang
bekerja sendiri, membina rumah di atas tanah ayahanda mereka namun setelah
bertahun-tahun mereka berusaha untuk mendapatkan bekalan elektrik ke rumah dan
kedai atau tahfiz mereka, melalui jalan buntu.
“Beberapa isu lain di kawasan saya antaranya masalah
gejala sosial, perjudian dan jenayah seperti mencuri masih tidak terkawal. Baru-baru
ini saya bersama orang ramai telah berjaya menutup sebuah pusat perjudian haram
di Jengka.
“Selain daripada itu, usaha-usaha memperbaiki
pendidikan kepada golongan tua dan muda masyarakat Felda sangat perlu dilipatgandakan
bagi mengatasi gejala tidak sihat yang telah disebutkan,” ucapnya lagi.
Dengan demikian, katanya, kerajaan negeri perlu membuat
perancangan dalam usaha-usaha untuk menjadikan Pahang sebuah negeri yang benar-benar
aman makmur daripada gejala kerosakan yang menyebabkan masyarakat tidak harmoni
di Felda2 khasnya dan di seluruh Pahang amnya.
Dalam ucapan yang sama, turut menarik perhatian dewan
apabila Shahril memberitahu satu seminar falak di Maran yang dihadiri seorang pakar
dari Johor iaitu Haji Hanafiah Abd Razak. Beliau mengatakan telah pergi ke 38
pelantar minyak untuk kerja-kerja ukur arah dan kedalaman.
“Apa yang beliau dapati, sepatutnya Pahang paling
banyak mendapat royalti petroleum kerana plantar minyak tersebut banyak berada
di perairan Pahang. Jadi jika ini dapat diurus dan ditangani insyaallah hutang
Pahang yg hampir RM3 bilion akan dapat diselesaikan sedikit demi sedikit.”
Beliau turut mencadangkan Adun-Adun diberi peluang menganggotai
mesyuarat majlis daerah agar dapat bekerjasama dalam meningkatkan ekonomi
negeri, menyelesaikan masalah setempat dan mendidik masyarakat ke arah yg lebih
baik.
Shahril, dua kanan, bersama Adun PAS yang lain
No comments:
Post a Comment