Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri Pahang Datuk
Seri Mohd Sharkar Shamsudin dalam akhbar semalam menjelaskan akan memajukan
pekan Kuala Tembeling yang telah sekian lama terbengkalai, sebagai hub
pelancongan.
Beliau berkata demikian menjawap pertanyaan Mohd
Zakhwan Ahmad Badardin (PAS Tahan) berkaitan status pekan tersebut dalam Sidang
Dewan Undangan Negeri Pahang yang sedang berlangsung sekarang.
Jawapannya menarik tetapi menimbulkan sedikit
perbahasan. Dari satu segi, jawapan Sharkar itu menimbulkan keyakinan bahawa kerajaan
yang ada sudah benar-benar insaf untuk memajukan semula bandar Kuala Tembeling yang
pernah menjadi pintu masuk pengangkutan air dari Kuala Tembeling ke Kuala Tahan
terus ke Taman Negara atau ke Safari Park di Tembeling Tengah.
Namun tidak kurang juga yang menyambutnya dengan sinis.
“Dulu masa kerajaan Pahang banyak duit kenapa tak buat?
Sekarang kerajaan BN Pahang dah jadi pembangkang baru teringat nak majukan
semula Kuala Tembeling?”, soal seorang aktivis budaya dan sejarah Pahang yang
tidak mahu didedahkan namanya.
Kebetulan Sharkar, yang telah masuk penggal kelima
menjadi wakil rakyat, merupakan Exco Pelancongan untuk beberapa penggal.
Beliau berhujah, Sharkar yang memegang portfolio yang
sama apakah selama ini tidak nampak, apakah yang dibuatnya selama ini?
“Dulu masa kerajaan banyak duit dan mudah untuk
meminjam daripada pusat kenapa tidak dilaksanakan? Sekarang ambil di mana dana?”,
soalnya lagi
Seorang penulis menukilkan, “Kuala Tembeling yang
dahulunya merupakan salah satu in-land port yang sibuk di Semenanjung Malaysia
kini tidak bermaya. Satu cadangan menjadikan Kuala Tembeling sebagai Pintu
Masuk ke Bandaraya Hutan Hujan Tropika serta menaiktaraf Stesen Keretapi Kg.
Sepial dapat memberi nafas baru kepada Kuala Tembeling dan seluruh kawasan
sekitarnya”.
Banyak tulisan-tulisan di media perdana membuat liputan
industri bot di Pekan Kuala Tembeling telah mati menyebabkan pekan tersebut
yang dibina menggunakan wang rakyat semakin malap.
Akhbar hari ini memuatkan cerita Sharkar sekali lagi
yang berjanji akan memajukan pelancongan Temerloh sebagai Titik Tengah
Semenanjung. Kali ini beliau menjawap soalan Woo Chee Wan (Dap Mentakab).
Memang Pahang tertinggal lama dari segi pelancongan.
Seperti yang diketahui, tidak ada apa yang tiada di Pahang daripada
gunung-ganang, tanah tinggi peranginan, air terjun, tasik, lembaran sungai yang
memanjang hinggalah ke lautan luas menempuh jajaran pantai yang sungguh indah.
Begitu Pahang punya Pulau Tioman yang dikatakan antara 10 pulau tercantik di
dunia. Namun industri pelancongan belum mendatangkan pulangan lumayan untuk
negeri ini. Berbanding dengan Melaka Bandar Bersejarah yang kecil sahaja tetapi
mampu menarik pelancong sedunia.
Sepatutnya dengan kemewahan produk pelancongan dan
kekayaan alam semula jadi, Pahang sudah lama masyhur seantero rantau. Namun
orang hanya kenal Pahang kerana pusat judinya terbesar di Genting Highland.
Sayangnya Exco Pelancongan baru sedar betapa Pahang
boleh muncul sebagai pusat pelancongan setelah BN menjadi pembangkang!
No comments:
Post a Comment