Thursday, March 24, 2016

PAS desak kerajaan tangani nasib penternak ikan sangkar

TEMERLOH: Pihak kerajaan digesa mewujudkan pelan kecemasan bagi menangani nasib kira-kira 200 penternak ikan sangkar di sini yang dianggar menanggung kerugian lebih RM2 juta akibat cuaca panas dan sungai hampir kontang.

Ini berikutan suhu panas melebihi 37 darjah selsius dan paras air Sungai Pahang hampir kering mengakibatkan lebih 2,000 sangkar terdampar di atas pasir menyebabkan sebahagian besar ikan patin dan tilapia mati berlamparan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Md Jusoh Darus yang turut melawat mangsa, meminta pihak kerajaan negeri serta Kementerian Pertanian melalui Jabatan Perikanan supaya mencari jalan pelan jangka panjang dan jangka pendek seperti memberi elaun sara hidup kepada yang terbabit.

Katanya, dalam tempoh kritikal ini kerajaan tidak sepatutnya berlepas tangan dengan keadaan yang menimpa kerana mereka merupakan juga pembayar cukai melalui TOL tapak sangkar ikan di sepanjang Sungai Pahang.

“Nelayan sungai ini sepatutnya layak menerima elaun sara hidup bulanan seperti nelayan laut dalam keadaan keperitan hidup ini kerana sebahagian besar daripada mereka bergantung sumber pendapatan seratus-peratus kepada jualan ikan sangkar,” katanya ketika melawat pengusaha ikan sangkar.

Tambahnya, kini sudah ada ada beberapa insentif diberikan kepada penoreh dan petani justeru beliau berharap nasib penternak ikan sangkar juga tidak dilupakan.

Antara yang paling terkesan dengan suasana panas dan kemarau luar biasa ini ialah seorang penternak yang mahu dikenali sebagai Pak Itam Rahim yang ditemui di Kampung Teluk Ira di sini yang memiliki 27 sangkar.

Beliau berkata keadaan panas berpanjangan sejak tiga bulan lalu ini tidak pernah dialami sejak 15 tahun mengusahakan ternakan sangkar ikan patin dan tilapia ini dan jika tiada sebarang usaha pemulihan, perusahaan ternakan iakn sangkar boleh pupus.

“Saya sendiri mengalami kerugian tak kurang RM70,000. Mula-mula ternakan saya hanyut 100 peratus ketika dilanda bah besar tahun 2015 sehinggakan tak sempat untuk tampung kos pengeluaran.

“Lepas banjir besar, Sungai Pahang mengalami fenomena luar biasa apabila pasir turun hilir dengan banyaknya sehingga menyebabkan aliran air menjadi sempit dan mengancam perusahaan ikan sangkar.

“Kemudian paling teruk sejak mula awal tahun ini apabila cuaca panas dan kemarau berlaku serentak dan akibatnya air sungai kering dan sangkar ikan tersadai di atas pasir sekarang,” keluhnya.

Rahim berkata, di kampung itu saja terdapat lebih 200 sangkar dan semuanya mengalami kerugian.

Jelasnya lagi, beliau tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak dan semuanya dengan modal sendiri memulakan perniagaan.

“Apa yang saya kesalkan ialah pihak Jabatan Perikanan ataupun kerajaan negeri tidak pernah datang menjenguk melihat nasib dan masalah penternak ikan air tawar yang sedang terancam ini.

“Satu lagi, sekarang ini orang hanya menyandarkan keadaan ini sebagai akibat fenomena El-Nino yang melanda negara ketika ini. Ini tidak cukup, gesaan saya ialah supaya pihak berkuasa agama seperti Jabatan Mufti, mengarahkan segera penduduk negeri ini mengadakan sembahyang mohon hujan,” katanya.

Sementara itu Md Jusoh yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh, berjanji akan mengerahkan Dewan Ulamak PAS bagi menjayakan Solat Istisqa’ dalam masa terdekat bagi mengadu nasib penternak ikan sangkar yang sedang terdesak kepada Allah.


Md Jusoh bersama rombongan menyaksikan sendiri ikan mati dalam sangkar



No comments:

Post a Comment