Saya sering melihat beliau mundar-mandir di bandar
Temerloh sejak dahulu. Orangnya amat peramah, suka menyapa sesiapa sahaja dan
tidak kedekut membelanja makan minum orang ramai. Itu peribadinya.
Saya tidak pedulikan beliau sangat pada mula-mula
dahulu, sehinggalah ada orang memberitahu beliau mahir membicarakan sejarah,
iaitu subjek yang saya amat minati.
Rupa-rupanya tidak sia-sia menghampiri bekas Adun
Kerdau (1974-1982) Haji Mohd Saludin Omar ini. Banyak yang boleh digali bagi
yang meminati sejarah, komunisme, Felda dan politik khususnya di negeri Pahang.
Istimewanya, sejarah yang dibicarakannya ialah pengalaman yang beliau sendiri
bergelumang dengannya.
Paling mengejutkan saya ialah akrabnya beliau dengan
bekas Perdana Menteri Malaysia Kedua Allahyarham Tun Hj Abdul Razak bin Hussein
yang beliau sebut adalah tokoh, anugerah Tuhan untuk negara ini dan negarawan
yang tiada tolok bandingnya. Dia bukan sahaja pemimpin yang genius tetapi juga
seorang sahabat yang baik.
“Sepanjang 21 tahun (1955 - 1976) rapat dengannya,
banyak mengajar saya erti kehidupan, malah mengubah hidup sendiri menjadi
seperti sekarang.
“Hubungan peribadi yang akrab saya dengan Tun
menyebabkan saya selalu berulang-alik ke rumahnya di Jalan Lake Garden Kuala
Lumpur ketika itu, sama ada dipanggil beliau atau saya sendiri berkunjung untuk
menghantar laporan sambil bertukar-tukar fikiran.
“Sebenarnya ada pertalian kekeluargaan antara kami. Tun
Razak merupakan pangkat pak saudara dua pupu kepada saya. Aki Tun Razak (ayah
kepada Hussein) sepupu dengan tokki saya. Semasa bertugas di Bentong, saya
tinggal berjiran dengan Hussein (ayah Tun Razak) di Jalan Tras, berhampiran
simpang Chamang.
“Salah seorang anak Hussein (adik satu ayah dengan Tun
Razak) iaitu Mastura, pernah sekelas dengan saya semasa sama-sama belajar di Sekolah Menengah
Sulaiman, Bentong dalam Special Malay Class Two.”
Selain rapat dengan Allahyarham Tun, ada beberapa
pengalaman dan peristiwa yang amat perlu didedahkan kepada umum kerana ianya
bukan bersifat peribadi malah akhirnya menjadi dasar negara. Antaranya berkaitan
dengan pentadbiran, politik, komunis dan Felda.
Tulisan yang akan dibongkar kembali selepas ini di sepanjang
bersama Tun bukan sahaja sekadar melengkapkan catatan sejarah peribadi malahan
juga maklumat yang patut dikongsi khususnya untuk generasi muda. Kerana beberapa
peristiwa dan usaha Tun tidak tercatat pun dalam mana-mana arkib atau catatan
sejarah.
Tulisan mendatang akan membicarakan pengalaman beliau bersama Tun Razak sejak daripada awal.
Intresting ni...harap segera menulis...saya juga minati sejarah..tanahair dan dunia.Dulu saya berkhidmat di beberapa sekolah di Tembeling dan Jerantut (76-81)..assalam..
ReplyDeleteSaya sudah beritahu dia, dia kata sedia bercerita tentang pengalamannya.
ReplyDeleteSebenarnya kami ada merakam perbualan tentang sejarahnya. Blog ini akan cuba menyiarkannya sedikit demi sedikit