Oleh ROSLI ABDUL JABAR
PAS telah menelusuri perjuangan yang panjang bersama
agenda Islam di tengah kepesatan pembangunan jiwa insan yang terbina dengan
sistem pendidikan sekular dan juga pembentukan biah (persekitaran) acuan
pemimpin yang bermazhabkan sistem penjajah.
PAS melalui jalan yang sangat sukar dan kadangkala
begitu getir dengan tindakan dan serangan pembencinya, kecaman, tuduhan, fitnah
malahan sehingga meragut nyawa. Di tanah perkuburan Kampung Parit Panjang,
Kedah telah bersemadi kujuran 14 tubuh insan yang menjadi antara bukti begitu
sadisnya perjalanan perjuangan PAS.
Di atas nama Islam PAS berjuang, di atas nama itulah
juga PAS berhadapan dengan mehnah dan tribulasi perjuangannya. Pembencinya
bagaikan pewaris hantu raya, silih berganti sejak PAS ditubuhkan sehingga kini,
sepertin tiada pernah sesaat pun mereka tidur atau berehat daripada menghisap
darah, hati dan jiwa ahli PAS.
Tuduhan purbakala bahawa PAS adalah penunggang agama,
ortodoks, jumud dan sinetron ini sambung-menyambung seperti tiada penghujung. Pembawa
fitnah terhadap PAS seperti hantu raya yang semakin gemuk, segar dan tegar
dengan fitnah politik terhadap PAS walaupun tiada bukti.
Namun ayat-ayat Al Quran dan Hadis Nabi saw yang
menjadi dasar perjuangan PAS adalah penawar paling mujarab untuk menghalau
gangguan hantu fitnah tersebut, ahli PAS yang sentiasa di tarbiyyah dan ikhlas
dalam perjuangan tidak terkesan dan sanggup bergelut mendepani cabaran musuh.
Kekuatan yang dimiliki oleh PAS bukan harta, bukan juga
kerana kepakaran memfitnah musuh tetapi kerana Islam yang menjadi dasarnya dan
juga kerana PAS dipimpin oleh mereka yang memahami Islam. PAS membina tembok
kekuatan ahlinya untuk bersabar dan Istiqamah dalam perjuangan, tidak pernah
berputus asa walau apa juga keputusan pilihanraya.
Hidupnya PAS kerana Islam, selagi Islam itu ada dan PAS
tetap berpegang kepadanya, maka PAS akan terus hidup dengan Islam. Melainkan
jika PAS mencabut Islam itu dari dasarnya. Selagi PAS masih menggigit kuat
Islam itu dengan gerahamnya, maka orang yang mengharapkan PAS itu mati pasti
akhirnya akan mati akalnya.
Ustaz Rosli Abdul Jabar ialah
Pesuruhjaya PAS Pahang
Adun Tanjung Lumpur
No comments:
Post a Comment