Wednesday, August 15, 2018

Kemarau punca bekalan air terganggu di Kuantan


Kemarau berlarutan yang melanda seluruh Pahang ketika ini  menyebabkan penduduk menghadapi gangguan bekalan air khususnya di Kuantan di mana dilaporkan 80,000 pemegang akaun terjejas, berpunca daripada penurunan mendadak paras air di dua loji utama ekoran musim kemarau..

Ini akibat air sungai makin kering sehingga banyak tempat yang terjejas. Takungan air semakin berkurangan dan penduduk mengadu air paip yang dicatu kadang-kadang ada terasa payau, kemungkinan sudah bercampur air laut yang pasang.


Ada juga penduduk di beberapa tempat yang mengadu mendapat air merah, kemungkinan air dari dasar tangki simpanan.  

Media melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata keadaan cuaca itu menjadi faktor utama paras air Sungai Kuantan surut sekali gus menyebabkan kuantiti kemasukan air di muka sauk Loji Rawatan Air  (LRA) Pancing dan LRA Semambu terjejas.

“Ketiadaan taburan hujan di kawasan tadahan air juga telah menjadi punca paras air di Empangan Chereh berada di tahap terendah sejak ia siap dibina pada 2008 dan tidak lagi berkeupayaan menampung kekurangan yang ada.

Keadaan ini juga menjadi faktor penyumbang penurunan air di LRA Semambu dan Panching menurun sehingga 30 peratus daripada kadar biasa,” beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) berhubung masalah itu di sini hari ini.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PAIP Datuk Mohd Zahari Md Isa dan Pengurus Besar (Operasi) PAIP Amir Khan Ayob Mohamed.

“Hal ini menyebabkan kedua-dua loji tidak dapat beroperasi di tahap yang sepatutnya menyebabkan gangguan bekalan air kepada penduduk dan industri di daerah ini terutama kawasan tinggi,”katanya.

Mengikut rekod, pada hari biasa LRA Semambu berkemampuan membekalkan sehingga 240 juta liter air sehari, manakala untuk LRA Panching sebanyak 130 juta liter air sehari.

Keadaan diburukkan lagi apabila ban sementara yang dibina pada 2017 bagi menghalang air sungai terus ke laut di muka sauk Kobat didapati masih lagi terdapat air mengalir melaluinya.

Berikutan itu, katanya pihak Pengurusan Air Pahang (PAIP) akan memantau rapi tentang masalah ini dan sekiranya cuaca kemarau terus berpanjangan, kerajaan negeri akan mendapatkan bantuan daripada pihak berkenaan untuk melakukan pembenihan awan.

Sementara itu Mohd Zahari berkata pihak PAIP telah menyediakan sebanyak 18 tangki statik di 13 kawasan di daerah ini untuk kemudahan pengguna dengan keutamaan ia diletakkan di kawasan sekolah, masjid, dan kawasan perumahan.

“Buat masa kini catuan masih belum dilakukan, namun pengguna akan mengalami gangguan terutamanya  di waktu puncak dan mereka yang berada di kawasan tinggi,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihati orang awam agar menyimpan bekalan air yang mencukupi selain sentiasa mengamalkan sifat penjimatan air.

Dalam pada itu, Adun Beserah Andansura Rabu berharap pihak PAIP dapat mengambil langkah yang terbaik bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang sedang dialami oleh sebahagian penduduk di kawasan Beserah.

Beberapa kawasan seperti Kampung Beserah, Taman Beserah, Taman Cherating Damai, Kampung Cherating telah mengalami gangguan semenjak lima hari lalu, namun tidak ada sebarang bantuan seperti menghantar lori bekalan atau tangki statik ke kawasan-kawasan tersebut.

“Adalah diharapkan pihak PAIP dapat mengatasi masalah ini dengan segera. Penduduk sekitar Beserah juga diharapkan dapat mengambil langkah penjimatan pengunaan air di dalam masa ini. Kita sama-sama perlu membantu mengurangkan kehilangan air yang tidak sepatutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Sungai Kobat yang semakin surut menjejaskan air takungan bekalan air penduduk

No comments:

Post a Comment