Akhirnya masalah pemilikan tanah yang menjadi ‘duri
dalam daging’ kepada rakyat negeri ini yang dikekang dengan pelbagai akta dan
birokrasi, dapat diselesaikan dengan pengumuman Menteri Besar Pahang yang
menurunkan kuasa pihak berkuasa negeri (PBN) kepada Pentadbir Tanah dan
Pendaftar Daerah, berkuat kuasa serta-merta.
Perkembangan baharu ini sekali gus disambut rakyat
dengan menarik nafas lega.
Isu ini juga pernah dibangkitkan oleh Adun PAS Beserah
Andansura Rabu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu
dibuat PBN bagi memendekkan masa serta memudahkan urusan mendapatkan kelulusan
pindah milik, gadaian dan pajakan tanah rakyat negeri ini. Katanya, penurunan
kuasa ini termaktub di bawah bidang permohonan kebenaran pindah milik dan
gadaian bagi tujuan suami isteri, anak-beranak, waris kadim dan bukan waris
kadim.
“Semua permohonan tersebut sama ada hak milik Pejabat
Tanah atau hak milik Pejabat Pendaftar
hendaklah dikemukakan di Pejabat Tanah dan dipertimbangkan oleh Pentadbir
Tanah. Keputusan bagi permohonan yang lengkap akan dikeluarkan dalam tempoh
sehari atau dua hari bekerja.
“Begitu juga bagi permohonan kebenaran pindah milik,
gadaian dan pajakan tanah sama ada individu atau syarikat dalam kategori Melayu
kepada Melayu, bukan Melayu kepada bukan Melayu dan bukan Melayu kepada Melayu
diturunkan dari Kuasa PBN kepada Pendaftar atau Pengarah PTG bagi hak milik
Pejabat Pendaftar dan Pentadbir Tanah atau Penolong Pentadbir Tanah bagi hak
milik Pejabat Tanah.
“Keputusan akan dikeluarkan dalam tempoh 10 hari
bekerja sekiranya dokumentasi permohonan, telah lengkap. Perlu diingat ia hanya
bersabit urusan bagi tanah yang sudah mempunyai geran milikan sahaja,” katanya
pada sidang media di Wisma Pahang, Jalan Gambut di sini, pagi tadi.
Wan Rosdy berkata, pindah kuasa atau penurunan kuasa
ini diharapkan dapat memanfaatkan dan memudahkan rakyat dalam urusan tersebut.
Menurutnya, hal ini berbeza dengan cara lama yang mana
pemohon perlu memohon kepada Pejabat Tanah kemudian Pejabat Tanah perlu
kemukakan kepada Pejabat Tanah Galian (PTG) dan seterusnya dihantar ke Pejabat
Menteri Besar untuk dipertimbangkan.
“Perkara tersebut menyebabkan tempoh permohonan menjadi
terlalu lama sehingga berbulan-bulan. Kekangan dari segi sumber manusia juga
menyumbang kepada kelewatan ini berbanding dengan pertambahan permohonan
pemilikan tanah dari semasa ke semasa,” katanya.
Sebelum ini bukan sahaja rakyat, malah, dikatakan para
peguam juga dikatakan merungut akibat kelewatan proses penukaran dan pemilikan
tanah. “.... payah nak cari makan,” kata mereka.
Sementara itu, dua wakil rakyat PAS menyambut baik
keputusan tersebut. Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, tindakan
tersebut tepat bagi memudahkan serta memendekkan masa dalam proses melibatkan
urusan rakyat.
Menurutnya, selain menghapuskan karenah birokrasi,
langkah ini menambahkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan.
“Cuma pihak kerajaan perlu memastikan status tanah
seperti rezab Melayu, rezab hutan, paya dan lain-lain tidak dengan semudahnya
dipindah milikan,” katanya kepada media.
Bagi Adun Chenor, Mujibur Rahman Ishak pula berkata,
keputusan tersebut atas kepentingan rakyat untuk memudahkan urusan mereka.
“Kelulusan dan penurunan kuasa seperti ini menampakkan
kesungguhan kerajaan menjaga kebajikan rakyat kerana urusan tanah antara
masalah yang paling banyak rungutan didengar oleh wakil rakyat setempat khususnya
di daerah Maran ini.
“Kita tidak mahu kebenaran pindah milik tanah rakyat
yang hanya sekangkang kera ini terlalu sukar. Kelewatan urusan pindah milik
tanah ini bukan sahaja memberikan kesan kepada pemilik dan penerima tanah
tetapi juga urusan yang melibatkan firma guaman dan sebagainya, yang berkaitan
perkara ini.
“Apa yang penting semua pihak senang berurusan dan urus
niaga dapat disempurnakan sebaiknya,” katanya.
No comments:
Post a Comment