Wednesday, June 23, 2010

Tengku Zul Tengku Puji: Orang Melayu dalam kepimpinan DAP

Barangkali tidak ramai yang mengenali YM Tengku Zulpuri (Tengku Zul), 46, berbanding Mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Tengku Puji Tengku Abdul Hamid. Tengku Zul ialah anak sulung kepada Tengku Puji.

Seperti Tengku Puji, anaknya yang berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Sarjana Perubatan Homeopati ini juga memilih politik sebagai wadah perjuangan. Namun jika bapanya bergelumang dalam PAS, Tengku Zul pula berbeza dengan memilih DAP.

Ahli Perniagaan ini ialah AJK DAP Pahang dan Timbalan Pengerusi DAP Raub. Pada tahun 2009 hingga kini bapa kepada tiga orang anak itu dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Selangor.

Bagaimanakah seorang profesional Islamik seperti Tengku Zul boleh memilih DAP yang dianggap sesetengah pihak sebagai parti Chauvinis Cina itu? Sejauhmana seorang Melayu seperti beliau boleh membina masa depan politik dalam parti didominasi Cina itu? Bukankah potensinya jika berada dalam PAS lebih besar?

Selamatkan Pahang baru-baru ini berkesempatan menemubual beliau (TZ) bagi menyelami beberapa persoalan yang banyak diperkatakan umum khususnya di Raub dan negeri Pahang.



Boleh ceritakan sedikit latar belakang keluarga, pendidikan dan kerjaya Tengku?


TZ: Saya adalah anak sulung dalam enam beradik, iaitu tiga lelaki tiga perempuan. Sudah beristeri dan mempunyai tiga orang cahaya mata, iaitu dua perempuan dan satu lagi lelaki. Ayahanda saya, Tengku Puji adalah bekas Timbalan pesuruhjaya PAS Pahang dan kini sebagai Penasihat PAS Negeri Pahang.

Mengikut silsilah keturunan, saya adalah generasi ke 7 daripada keturunan Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Khairul Alam, iaitu Tengku Mahkota Padang Nonang, Sumatera barat daripada Kesultanan Pagar Ruyong. YAM Tengku Khairul Alam telah datang ke Raub dan membukanya sekitar 200 tahun dulu. Bandar Raub juga dipercayai daripada perkataan “Rao”, iaitu sempena nama sebuah daerah di Sumatera Barat.

Moyang-moyet saya terlibat dalam sejarah peperangan negeri Pahang dan pembentukannya. Atas jasa itu Sultan Pahang (Wan Ahmad) telah melantik YM Tengku Samad dan keturunannya sebagai orang Besar Berlapan yang membawa gelaran Datuk Setia Lela.

Saya berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Sarjana Muda Sains Perubatan Homeopathy. Bekerja sendiri sebagai ahli perniagaan. Pada tahun 2008 pernah dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Kontraktor Elektrikal dan Mekanikal Melayu Malaysia (PERKEM).

Pada tahun 2009 dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Selayang oleh Kerajaan Negeri Selangor. Jawatan dalam DAP ialah AJK DAP Negeri Pahang dan Timbalan Pengerusi DAP Cawangan Raub dan Parlimen Raub.


Kenapa Tengku memilih DAP untuk berpolitik sedangkan dari segi latar belakang keluarga semuanya orang kuat PAS?

TZ: Walaupun saya dibesarkan dalam keluarga PAS, pandangan dan perspektif saya terhadap politik Islam lebih meluas, ianya tidak terikat dengan satu parti sahaja. Saya melihat PAS dan DAP ketika itu, sekitar tahun 2000, tidak boleh memerintah secara sendiri. Ini adalah kunci kejayaan BN “pecah dan perintah” yang diwarisi oleh penjajah dulu.

Sejak daripada kecil lagi saya telah dibina, dididik dan ditarbiyah di atas politiking pentadbiran negeri Pahang. Di samping itu suasana kekeluargaan dan kehidupan banyak mendedahkan dan mendidik saya hidup bermasyarakat berbilang kaum, lebih-lebih lagi keluarga kami dikenali dan dihormati oleh segenap lapis masyarakat.

Semasa era zaman ayahanda saya sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang ketika itu, saya ada menyuarakan mengapa PAS tidak membuka keahliannya kepada non-muslim? Ayahanda saya menyatakan PAS ketika itu belum bersedia.

Setelah berbincang panjang akhirnya ayahanda merestui saya menjadi ahli DAP seumur hidup dan saya mendaftar sebagai ahli DAP pada Mac 2000. Saya melihat pilihan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan lapisan masyarakat melalui DAP kerana parti seperti Umno, MIC dan MCA adalah berorientasikan perkauman semata-mata.


DAP pada perspektif umum merupakan parti Cina atau memperjuangkan isu-isu orang Cina. Bagaimana Tengku melihat ini?

TZ: Ya, memang pada perspektif umum bahawa DAP merupakan parti Cina atau memperjuangkan isu-isu orang Cina, tetapi kita kena lihat majoriti ahli DAP adalah Cina dan majoriti PAS orang-orang Melayu. Jadi tugas kita bersama, supaya dapat memecahkan tembok pemisah perspektif ini. Di mana, DAP mesti menarik lebih ramai lagi ahli Melayu dan juga PAS mesti menarik ahli atau Dewan Himpunan Penyokong (DHPP) yang berbangsa Cina atau India.

Sekiranya ada satu kesefahaman dan satu strategi yang mantap dalam Pakatan Rakyat (PR) isu ini dapat diselesaikan. PAS tidak perlu gusar sekiranya ada orang Melayu yang menjadi ahli DAP dan begitu juga DAP tidak perlu gusar sekiranya kaum Cina dan India menjadi ahli DHPP.


Apakah terdapat penyisihan atau faktor kaum dalam penentuan jawatan dalam DAP?

TZ: Kami dalam DAP lebih kepada merit, tidak berdasarkan kepada kaum semata-mata, kerana tanggunjawab sosialnya adalah besar bukan hanya mewakili satu kaum sahaja. Ianya merangkumi kepada semua kaum dan kepercayaan. Apa yang kita nampak sekarang ini DAP dimonopoli oleh kaum Cina, kerana orang Melayu ada pilihan lain dan juga kurang diberi penjelasan dan promosi.


Apakah wujud peluang untuk Tengku naik lebih tinggi dalam hairarki parti?

TZ: Bagi saya perjuangan dalam parti adalah satu tuntutan dan ibadah kerana ianya mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Saya tidak meletakkan asas atau target sesuatu jawatan dalam parti, saya hanya menganggap itu adalah satu sumbangan sebagai kontrak sosial dan juga unsur dakwah kepada non-muslim dan juga kepada muslim.

Memang pada tahun 1999, 2004 dan 2008 DAP menawarkan kepada saya sebagai calon (pilihan raya), tapi saya menolak dengan baik atas alasan itu bukan target atau matlamat saya. Ini menunjukkan bahawa DAP bukan perkauman. Saya rasa peluang orang Melayu seperti saya untuk terkehadapan dalam parti adalah amat cerah kerana buat masa ini ramai lagi orang Melayu yang belum mendaftar untuk menjadi ahli DAP.

Kami dalam DAP bersikap lebih terbuka, sesiapa sahaja boleh memegang jawatan penting tidak kira Melayu, Cina atau India. Yang penting seseorang itu mestilah mempunyai moral yang tinggi, jujur, berintegriti, telus dan mempunyai pegangan agama. Saya tidak meletakkan parti itu sebagai tempat mencari makan, saya yakin Allah yang memberi rezeki. Sekiranya saya tidak diperlukan lagi, saya tidak akan melompat parti. Saya akan terus berjuang walaupun tanpa jawatan.


Apakah dasar-dasar DAP terhadap orang Melayu?

TZ: Dasar DAP terhadap semua kaum di Malaysia adalah sama, hak mereka sebagai rakyat Malaysia tidak boleh dinafikan seperti dalam Perlembagaan Malaysia tidak boleh dipertikaikan. Cuma pendekatan yang kita akan buat adalah berbeza dengan Umnoputra, MCAputra dan MICputra. DAP akan memastikan hak orang Melayu dikembalikan kepada orang Melayu, hak Cina dan India akan dapat kepada mereka masing-masing. Dalam hal ini tiada lagi wujud ‘Kassim Baba’, ianya lebih telus, berintegriti dan bertanggungjawab.


Bagaimana DAP memperjuangkan isu-isu orang Melayu seperti kemiskinan, kebajikan dan pendidikan?

TZ: Seperti yang saya nyatakan tadi, tiada diskriminasi kaum dari segi kemiskinan, kebajikan dan pendidikan. Sebagai contoh kerajaan PR Pulau Pinang yang diketuai oleh Lim Guan Eng telah memperuntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah agama rakyat. Ini tidak pernah berlaku semasa pemerintahan BN selama lebih 50 tahun. Walaupun beliau bukan beragama Islam tetapi idola beliau adalah Khalifah Umar Abdul Aziz.

Di bawah kerajaan PR di Selangor lebih 100,000 geran telah dikeluarkan kepada semua lapisan masyarakat berbilang kaum. Walaupun baru memerintah dua tahun, banyak lagi kebajikan diberikan kepada rakyat. Seperti yang saya jelaskan tadi, DAP tidak boleh bersendirian dalam menentukan dasar pemerintahan sesebuah negeri.


Sebagai Ahli Majlis Perbandaran, apakah bidang-bidang tugasan yang Tengku lakukan?

TZ: Secara umumnya kuasa dan tanggungjawab Ahli-Ahli Majlis adalah kata pemutus dalam membuat sesuatu dasar PBT. Bidang-bidang tugas sebagai ahli majlis ialah penasihat kepada PBT, mewakili rakyat, membuat dan meluluskan undang-undnag kecil, pendokong dasar PBT, penyemak pelaksanaan dasar dan tenaga penggerak masyarakat.


Bagaimana Tengku melihat negeri Selangor selepas berada di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat sekarang?

TZ: Secara umumnya, rakyat negeri Selangor dapat merasakan perbezaan yang ketara dari segi perkhidmatan misalnya sampah, longkang, kebersihan yang jauh lebih baik daripada kerajaan BN dulu. Kedua, pendapatan kerajaan negeri bertambah, kerajaan yang mesra rakyat, rakyat semakin berani bersuara dan tahu hak-hak mereka. Juga negeri Selangor kini lebih makmur dan sejahtera, lebih telus, berintegriti, amanah, jujur dan bertakwa. Saya melihat sekarang sokongan kepada BN semakin merosot.


Pada fikiran Tengku apakah Pakatan boleh bertahan dan terus memenangi Selangor pada PRU akan datang?

TZ: Insya-Allah, jika kerajaan dan pimpinan PR lebih banyak turun padang, mendengar masalah rakyat serta bermurah hati untuk kebajikan rakyat, saya yakin negeri Selangor akan kekal di bawah PR pada PRU akan datang. Kemungkinan kemenangan besar dan negeri-negeri lain turut akan berada di bawah kerajaan PR seterusnya mengambil alih teras pemerintahan negara.

Sekarang ini BN teragak-agak untuk menentukan PRU 13, lebih lama kerajaan PR memerintah negeri Selangor, maka adalah lebih sukar BN untuk merampasnya kembali. Kini rakyat Selangor dapat membuat perbandingan di antara kerajaan PR dengan BN.


Apakah harapan Tengku kepada PAS sebagai sebuah parti dalam gabungan Pakatan yang paling ramai orang Melayu?

TZ: Harapan saya, suatu masa nanti PAS dan DAP dapat duduk bersama berbincang mengenai ‘Ahli Bersekutu’ kepada kedua-dua parti. Dan mungkin pada satu masa nanti kedua-duanya akan menjadi ‘sebuah parti besar’ dan boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat dan dunia.

Gambar:



Tengku Zul (kanan, duduk) bersama pimpinan DAP dan PAS. Sebelah beliau YB Leong Ngah Ngah, Tuan Ibrahim, YB Syed Hamid dan YB Choong Siew Onn


No comments:

Post a Comment