Monday, June 21, 2010

JKR baru sedar untuk naik taraf Jalan (‘berhantu’) Kuantan-Segamat

Jika terdengar sahaja kemalangan ngeri berlaku di negeri Pahang ini kebiasaannya dalam kepala orang ramai insiden malang itu ‘mesti’ berlaku di Jalan Kuantan-Segamat!

Kenapa anggapan ramai begitu sekali? Ini kerana hampir separuh atau lebih kemalangan maut akhir-akhir ini, terjadi di situ.

Terbaru, pada 17 Jun lepas, lima sekeluarga terbunuh dan tiga lagi cedera parah apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di Km 87 jalan berkenaan.


Seminggu sebelum itu enam sekeluarga terbunuh apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di Km 78.

Begitulah seterusnya, kemalangan ngeri berlaku di ‘berpuaka’ itu!

Kenapa begitu mudah berlaku nahas negeri di situ? Faktor manusia? (Di jalan raya lain manusia juga yang memandu). Faktor jalan raya yang tidak selamat? (Belum ada bukti saintifik). Setakat ini belum ada satu kajian mendalam atau penyelidikan rapi bagi mengenali punca malapetaka itu.

Kerajaan BN lebih berminat mengupah badan penyelidik Merdeka Centre untuk ‘endorse’ bahawa populariti Najib Tun Razak kini naik mendadak ke 73 % (lebih tinggi yang pernah didapati Mawi, Stacy dan Shahir dalam rancangan realiti Akademi Fantasia).

Kerajaan BN Pahang jauh sekali untuk membuat kajian, mungkin pemimpinnya lebih berminat mengupah kajian yang lain-lain!

Tetapi semalam (20 Jun), Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor membuat pengakuan untuk menaiktaraf Jalan Kuantan-Segamat dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) berikutan kejadian kemalangan maut yang kerap berlaku di jalan itu.

Katanya, projek tersebut perlu disegerakan bagi mengelakkan lebih banyak kemalangan maut berlaku di jalan yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Tun Razak yang dibina sekitar tahun 1970an sepanjang 147 kilometer tersebut.

"Kementerian sudah membuat kajian mengenai usaha menaiktaraf jalan berkenaan dan memang ada keperluan jalan itu dipertingkatkan kerana jumlah statistik pengguna meningkat sekarang berbanding ketika ia mula dibuka dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Rompin di sini pada Ahad, sebagaimana dipetik media.

Beliau berkata cadangan menaik taraf jalan tersebut telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi.

Selain itu Shaziman berkata, pihaknya juga meneliti keperluan untuk membina Jalan Kuantan-Bahau-Serting di dalam RMK10 bagi memberi pilihan kepada pengguna terutamanya di Rompin dan Pekan untuk ke Bahau, Serting dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan tanpa melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Mengulas perkembangan projek LPT fasa kedua (LPT2), beliau berkata projek itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual berikutan beberapa masalah seperti kelemahan kontraktor dan kenaikan harga barang binaan yang memperlahankan perjalanan projek.

Mengikut jadual asal, LPT2 yang bernilai RM3 bilion sepanjang 190km dari sempadan Pahang hingga ke Kampung Gemuruh, Terengganu itu siap tahun depan, namun disebabkan masalah berkenaan ia dijangka siap pada tahun 2012.




No comments:

Post a Comment