TEMERLOH: Orang ramai khususnya kakitangan kerajaan diminta mengundi dengan tenang dan sukarela tanpa perlu takut kepada ugutan sesiapa jika mengundi calon-calon daripada Pakatan Rakyat.
Peguam Abdullah Abdul Karim, berkata ini berikutan tidak ada lagi amalan mencatit nombor pengundi di atas keratan kaki kertas undi selepas pindaan dibuat pada tahun 2006 hasil desakan berterusan rakyat.
Katanya, memang sebelum pindaan tersebut undi seseorang boleh diketahui jika ada pihak mahu mendapatkannya bagi tujuan tertentu sehingga menakutkan orang ramai atau boleh menjadi bahan ugutan jika mengundi selain daripada BN.
“Namun selepas daripada pindaan yang dibuat pada tahun 2006 ke atas Peraturan 19 (3) Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1981, undi seseorang adalah cukup terjamin dari segi kerahsiaan sehingga tiada siapa yang boleh tahu siapa atau parti mana yang kita undi.
“Sebelum tahun 2006, apabila seseorang pengundi itu mengambil kertas undi daripada kerani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas di bilik mengundi, Peraturan 19 (3) mewajibkan kerani SPR tersebut untuk menulis nombor pengundi menurut turutan sebagaimana di dalam senarai Daftar Pemilih, di atas kaunterfoil,” ujarnya.
Tambahnya, setiap kertas undi yang diserahkan kepada pengundi mempunyai nombor siri masing-masing di mana nombor siri yang sama juga tertulis pada keratan kaki kertas undi. Kertas Undi diserahkan kepada pengundi untuk dipangkah manakala keratannya akan disimpan oleh SPR untuk tujuan melihat sebanyak manakah kertas undi yang telah dikeluarkan.
Katanya, ini bermakna untuk mengetahui undi seseorang adalah tidak sukar dan boleh dilakukan dengan mengambil kertas undi tersebut dan membandingkannya dengan keratan kaki kertas undi tersebut.
“Apabila keratan kertas undi telah ditulis nombor pengundi oleh kerani SPR maka secara automatik akan diketahui siapakah yang diundi oleh pengundi terbabit.
“Jadi dengan pindaan yang dibuat pada tahun 2006 hasil desakan berterusan rakyat, amalan mencatat nombor pengundi di atas keratan kertas undi telah diharamkan sama sekali dengan pindaan undang-undang yang dibuat.
“Dengan itu undi kita adalah benar-benar rahsia dan tidak ada cara untuk sesiapa pun mengetahui undi kita. Oleh itu, mengundilah dengan tenang dan sukarela tanpa perlu takut kepada ugutan sesiapa kerana undi anda hak anda,” tegasnya.
Kakitangan kerajaan, jangan takut undi PR
No comments:
Post a Comment