Tuesday, April 2, 2013

Fauzi yakin pertahan Indera Mahkota

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman yakin tidak ada masalah untuk beliau mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Indera Mahkota pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 ini.

Bekas Timbalan Menteri itu yang diumumkan sebagai calon di kawasan berkenaan oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ceramah di Balok Makmur semalam, berkata beliau mempunyai tiga asas untuk PKR kekal menang.

“Saya yakin PKR akan terus menang dengan tiga asas kukuh iaitu perjuangan dan tawaran Pakatan Rakyat yang realistik, kekuatan jentera di dua Dewan Undangan Negeri (Dun) Semambu dan Beserah serta rekod lama saya sendiri,” katanya ketika dihubungi.

Anwar mengumumkan Fauzi menggantikan penyandang Azan Ismail yang bakal bertanding di Terengganu. Pada PRU 2008, PKR memenangi kerusi kawasan itu menerusi Azan yang mengalahkan calon BN Salamon Ali Rizal Abdul Rahman dengan majoriti 1,027 undi.

Anwar yang hadir ke tiga parlimen di Pahang Timur bersama bas jelajah merdeka, turut mengumumkan Fuziah Salleh kekal bertanding di Kuantan dan peguam Murni Hidayah bertanding di Paya Besar.

Dalam pada itu Fauzi berkata, beliau tidak mahu bercakap takbur sebaliknya menyerahkan keputusan sebenar kepada rakyat untuk memilih.

Tambahnya, beliau amat sedar dan melihat bahawa jawatan wakil rakyat bukanlah ‘takhta’ sebaliknya amanah dan tanggungjawab.

“Walaupun Perlimen Indera Mahkota dilihat sebagai kawasan bandar, maju dan mempunyai kawasan industri namun saya dapati masih banyak terrdapat ruang-ruang untuk turun membela rakyat.

“Saya lihat di beberapa kawasan seperti pinggir pantai, setinggan bandar dan kampung penduduknya masih perlu diberi keutamaan tiga ‘L’ iatu lapar, lampin dan lindung,”ujarnya.

Jelas Fauzi, lapar itu bererti ada penduduk yang masih perlukan makanan untuk hidup. Ada yang perlukan pakaian (lampin) kerana kemiskinan dan ada yang perlukan rumah sebagai tempat berlindung tetapi tidak mampu.

Fauzi pernah menjadi Ahli Parlimen Kuantan selama dua penggal iaitu dari 1990 hingga 1999. Bekas ketua Umno bahagian Kuantan itu kemudiannya bertanding kerusi Dun Beserah dan menyandang kerusi tersebut sehingga 2004.

Pada ketika itulah beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Rasuah Malaysia berkaitan penyelewengan balak oleh Tun Khalil Yaakob.

Beliau kemudian meninggalkan Umno pada 2008 dan menyertai PKR.

Mengenai potensi PR Pahang, Fauzi berkata, Pakatan itu hanya perlukan swing sekitar 5 peratus lagi untuk menang dan menguasai negeri ini.

“Pakatan Pahang hanya perlukan swing sekitar 5 peratus tambahan daripada keputusan PRU 12 untuk memerintah. Jika Pakatan memperoleh lonjakan 5 peratus itu bermakna 19 kerusi Dun BN yang dimenangi sekarang akan jatuh ke tangan Pakatan.

“Jadi dicampur dengan empat kerusi dimenangi Pakatan sekarang dan satu kerusi bebas, Pakatan akan memiliki 24 kerusi daripada 43 kerusi Dun yang ada. Jadi kita sudah majoriti,” jelasnya.

Tambahnya, memperolehi swing 5 peratus itu tidak sukar kerana semua parti dalam PR sedang bekerja keras menembusi tembok masyarakat.


Fauzi (dua, kiri) bersama Datuk Tuan Ibrahim dan Leong Ngah Ngah semasa pengisytiharan Tawaran PR Pahang pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kerdau.

No comments:

Post a Comment