Bekas Ketua Biro Kumpulan Utusan Melayu Cawangan Pahang,
Kuantan, Datuk Haji Alang Ahmad Teh, 79, kembali ke rahmatullah kira-kira jam
7.50 malam tadi (Ahad) di Hospital Universiti Islam Antarabangsa, Indera
Mahkota, Kuantan.
Beliau dimasukkan ke hospital
tersebut pada 27 Februari lalu akibat komplikasi batu karang di saluran hempedu.
Hj Alang (sebelah kiri DS Adnan Yaakob), ketika menerima anugerah Jasamu di Kenang |
Beliau adalah adik kepada pejuang (kiri) negara Kamaruzaman
Teh, yang beberapa tahun lepas meninggal dunia di perkampungan selatan
Thailand.
Selepas lebih 31 tahun berkhidmat di Utusan pada tahun
1994, bakat beliau terus dipakai bersama akhbar Watan dan beberapa tabloid lain
di samping giat menyampaikan ceramah berkaitan penulisan.
Tulisan beliau yang menggemparkan ialah ketika
mendedahkan bahawa pahlawan Melayu Mat Kilau (masa itu beliau menggunakan nama
Mat Siam) sebenarnya masih hidup dan bermastautin di Batu 5 Kuantan. Usaha
tersebut beliau lakukan bersama cucu menantu Mat Kilau sendiri iaitu
Allahyarham Zainudin Ali, kelahiran Pulau Tawar, Jerantut.
Penulisan yang ‘menggegarkan’ yang terbit dalam Utusan
pada penghujung 1969 itu telah mengubah kembali sejarah dunia yang selama ini
menganggap pahlawan Melayu itu telah maut dibunuh Inggeris. Haji Alang menerima Anugerah Jasamu di Kenang DRB-Hicom pada tahun 2017.
Pada tahun tersebut juga arwah menerima gelaran Dato' daripada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.
Sementara itu, jenazah tokoh wartawan dan sejarah ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung SC, Kuantan kira-kira pukul 11.30 pagi pada Isnin. Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Al-Raudah Taman Guru di sini kira-kira satu kilometer dari rumahnya di Kampung Teluk Mahang.
Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, Normah Che Muhammad, 70, dan enam anak berusia antara 31 tahun hingga 52 tahun.
No comments:
Post a Comment