Tuesday, March 12, 2019

Ustaz Taliban kembali ke rahmatullah di Madinah

Ustaz Norazli (tengah) sempat berceramah membantah kebiadaban terhadap
Nabi Muhammad SAW dalam satu majlis minggu lalu sebelum berangkat
ke Tanah Suci
Ustaz Norazli Musa atau dikenali dengan panggilan Ustaz Taliban, menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.30 pagi hari ini (12 Mac) waktu Madinah.

Allahyarham mantan AJK PAS Pusat dan juga Presiden Geng Ustaz, pada ketika ini sedang mengerjakan ibadah umrah ke Tanah Suci.


Sementara itu rakan karib bekas Ketua Pemuda PAS Perak itu, Muhtar Suhaili As-Sarawaki dalam status facebooknya menulis: “Saya kagumi keikhlasan dan kesungguhan Almarhum, semangat perjuangannya dan kegigihannya dalam usaha siyasah, dakwah, tarbiyah, kebajikan dan kemasyarakatan.

“Saya akrab bersama Almarhum khususnya saat bersama dalam saff AJK PAS Pusat sesi 2015-2017, selain keterlibatan beliau dalam Pertubuhan Geng Ustaz sebagai Presidennya.

“Beliau antara insan yang banyak terlibat dalam misi ziarah-ziarah dakwah, bantuan hal ehwal kebajikan serta misi kemanusiaan dalam dan luar negara termasuk di Sarawak.

“Beliau seorang yang baik, sahabat yang sangat baik bagi yang mengenali beliau secara dekat. Meski kadangnya digeruni dan dimusuhi pihak lawan, saya saksi beliau dai'e yang berjuang tanpa kepentingan!

“Semoga Allah redhai beliau. Semoga Allah ampuni dosanya dan terima segala amalannya dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Semoga kita semua beroleh husnul khatimah. Allahumma Aamiin.”

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan mengarah diadakan Solat Jenazah Ghaib di seluruh negara selepas Solat Maghrib hari ini.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ اْلأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَعَذَابِ النَّارِ 
آمِيّنْ… آمِيّنْ… يَ رَبَّ الْعَلَمِيّنْ.

No comments:

Post a Comment