Oleh HAZMI DIBOK
Kita seringkali mendengar kisah tiga orang sahabat Nabi
s.a.w. yang terbaring luka parah dlm sebuah peperangan. Kehausan meminta
sedikit air untuk diminum. Apabila hendak diberikan kepada salah seorang mereka
air, lantas sahabat itu melihat ke arah sahabatnya yg kedua memandang ke
arahnya. Lantas diarahkan agar air itu diberikan kepada sahabat yang kedua.
Begitulah yang berlaku kpd sahabat yg kedua dan ketiga. Akhirnya ketiga-tiga
mereka mati sebagai syuhada'.
Kisah ini biasanya kita jadikan contoh dalam membahaskan
sifat itsar ايثار. Yakni mengutamakan saudaranya dari diri
sendiri walaupun ada pada dirinya keinginan atau keperluan. Biasa kita bahas
dalam bab UKHUWWAH. Tuntutan ukhuwwah yg paling rendah "berlapang
dada" dan paling tinggi ialah "itsar".
Tahukah anda bahawa salah seorang dari sahabat bertiga
itu ialah 'Ikrimah bin Abi Jahal? Peristiwa hebat itu berlaku ketika peperangan
Yarmouk. Dua orang lagi sahabat yang turut syahid itu ialah Al-Harits bin
Hisham dan 'Ayyash bin Abi Rabi'ah.
Anak Abu Jahal? Benar. Ikrimah bin Abi Jahal. Pada
peringkat awal adalah seorang anak muda yang sangat memusuhi Islam kerana
fanatik kepada ayahnya selaku pemimpin paling bongkak di Makkah yang kuat
penentangannya terhadap Islam dan penyiksaannya kepada umat Islam generasi
awal. Dia terlibat membantu ayahnya dalam peperangan Badar yang menyaksikan
ayahnya turut terbunuh.
Selepas itu ia semakin membenci Islam lantaran dendam
kesumatnya di atas kematian bapanya. Dia bertindak sebagai salah seorang ketua
pasukan berkuda sayap kiri selain Khalid Al-Walid selaku ketua pasukan berkuda
sayap kanan dalam memerangi Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dalam peperangan
Uhud yang diketuai oleh Abu Sufyan. Ketiga-tiga mereka masih kafir dan sangat
membenci Islam ketika itu. Ikrimah juga memainkan peranan bersama tentera Ahzab
dalam peperangan Khandaq.
Kemudian harinya, semasa pembukaan Makkah (Fathul
Makkah) Nabi s.a.w. memasuki kota Makkah dengan penuh kasih sayang, pengampunan
dan kemaafan. Melainkan beberapa orang dikecualikan kerana mrk ada usaha utk
menghalang kemaraan Nabi s.a.w. dan tentera Islam pada peringkat awalnya dalam
peristiwa itu. Nama-nama yang terkecuali dari diampunkan itu diperintahkan oleh
Nabi s.a.w. agar dibunuh di mana sahaja mereka ditemui sekalipun mrk
berselindung di sebalik kelambu Kaabah.
Dalam senarai itu, nama Ikrimah bin Abu Jahal adalah
yang teratas. Ikrimah melarikan diri dan menuju ke Yaman untuk mendapatkan
perlindungan. Ringkas ceritanya, isteri Ikrimah, Ummu Hakim datang kepada Nabi s.a.w.
bersama Hindun binti 'Utbah (isteri Abu Sufyan) dan 10 wanita yang lain bagi
tujuan bersyahadah dan berbaiah kepada Nabi s.a.w. Ummu Hakim mengambil peluang
itu untuk merayu kepada Nabi s.a.w. agar memberi jaminan keamanan kepada
suaminya Ikrimah. Lantas Nabi s.a.w memberikan jaminan itu. Ummu Hakim
kemudiannya segera bermusafir mencari suaminya dan membawa suaminya bertemu
Rasulullah s.a.w.
Apabila Ikrimah hampir tiba di Kota Makkah, Rasulullah
s.a.w. berpesan kepada para sahabatnya :
" Ikrimah akan datang kepada kamu dlm keadaan
beriman dan berhijrah. Janganlah kamu mencaci ayahnya. Sesungguhnya mencaci si
mati akan menyakitkan perasaan yang hidup sedang ia tidak sampai kpd si
mati"
Ikrimah kemudiannya bersyahadah dan berbaiah. Beliau
juga memohon dengan penuh hormat kemaafan dari Rasulullah s.a.w. dan memohon
Rasulullah s.a.w. meminta keampunan bagi pihaknya di atas segala permusuhannya.
Lantas Rasulullah s.a.w. berdoa :
"Ya Tuhanku, ampunkan baginya segala permusuhan yg
tlh dilakukan kpd saya dlm setiap perjalanan yg dilaluinya utk memadamkan
cahayaMu. Dan ampunkan baginya apa shj yg disebutnya menyentuh maruahku baik di
hadapan mahupun di belakangku."
Berbahagialah Ikrimah r.a, mendapat kemaafan dan
pengampunan yang terindah. Kemudian harinya menjadi pahlawan Islam di medan
jihad, ahli ibadah yg rajin sembahyang malam dan membaca Al-Quran. Beroleh
syahid dalam peperangan Yarmouk dengan penuh kemuliaan.
Perkongsian kisah dari kitab صور من حياة الصحابة
Jom sama-sama ambil iktibar.
Penulis ialah Ketua Pemuda PAS Pahang
Exco DPP Malaysia
No comments:
Post a Comment