Pada Bahagian 3 yang lalu ( https://selamatkanpahang.blogspot.com/2018/11/bahagian-3-perangi-komunis-antara-sebab.html
) Tuan Haji Mohd Saludin Omar telah menceritakan pengalamannya bersama
Allahyarham Tun Abdul Razak berkaitan penubuhan Felda Lurah Bilut sehingga
beliau diarahkan bertukar dari Kuala Lipis ke Bentong dan PRK bagi mengetengah
Tan Sri Ghazali Shafie sebagai anggota kabinet.
Sambungan kali ini lebih menarik dengan cerita beliau mengenai cetusan Tragedi 13 Mei 1969 di mana beliau dilantik oleh Tun menganggotai
Jawatankuasa Pusat Mageran.
TUN LARANG BERTANDING FRONT SOSIALIS PADA PRU 1964
Ketika bekerja di Bentong, saya telah menganggotai
Parti Buruh pimpinan Dr Tan Chee Koon. Pada masa itu pegawai-pegawai kerajaan
belum ada kesatuan sekerja (union) untuk pembelaan, yang ada Parti Buruh
inilah. Saya juga mengikut arahan Tun Razak supaya menyertai semua parti di
Malaysia supaya dapat mendalami dasar parti mereka. Ini bagi memudahkan tugasan
saya untuk membuat kerja-kerja risikan.
Parti Buruh telah menyertai Socialist Front (Barisan
Sosialis Rakyat Malaya atau Malayan
People's Socialist Front) dibentuk bersama Parti Rakyat Malaya dan Parti
Perhimpunan Kebangsaan.
Tanggal 25 April 1964 merupakan PRU pertama selepas
pembentukan Malaysia (1963). Saya dicadangkan oleh Tan Chee Koon untuk
bertanding di Parlimen Bentong. Mengetahui ura-ura itu Tun Razak telah
memanggil saya ke rumahnya dan berkata: “Mat awak masih muda lagi Mat, tak
payahlah bertanding dulu. Tempat awak ada nanti”.
Saya pun akur dengan permintaannya.
TUN RASMI SEKOLAH MENENGAH AGAMA KERDAU
Pada tahun 1964 Tun datang ke Kerdau merasmikan Sekolah
Menengah Agama At-Tarbiah Ad-Diniyah Kerdau. Sekolah yang bermula sejak arwah
ayah saya lagi ini, diambil oleh kerajaan sepenuhnya. Saya menjadi pengerusi
majlisnya. Beberapa hari selepas itu Anwar Ibrahim (pada masa itu merupakan
pimpinan pelajar universiti) pula datang sambil memijak bendera Umno. Dalam
ucapannya Anwar berkata, “Umno ini payah untuk ditumbangkan kerana kubunya
kuat. Oleh itu jika nak tumbangkan mesti kena masuk ke dalam Umno.”
Sayangnya sekolah agama tersebut ditutup beberapa tahun
kemudian setelah pembukaan Sekolah Menengah Kerdau. Sedangkan sekolah agama ini
berkembang dengan baik pada peringkat awal, malah satu ketika pernah menjadi
antara sekolah yang mencatatkan keputusan peperiksaan cemerlang di seluruh
Pahang. Ada beberapa tokoh yang pernah bersekolah di situ termasuk bekas Exco
Pahang Allshysrhs Dato’ Abdullah Kia.
TUN MINTA BANTU SHEIKH AHMAD PADA PRU 1969.
Tahun 1969 merupakan PRU ke 4 bagi Malaysia. Pada
mulanya saya sekali lagi hendak dicalonkan bertanding di Parlimen Bentong.
(Parti Buruh memang agak kuat di Bentong. Dalam PRU tersebut parti itu
memenangi dua kerusi). Beberapa hari selepas mendapat berita ura-ura itu, Tun
sekali lagi panggil saya ke rumahnya di KL dan minta saya batalkan hasrat dan
bantu bekas Menteri Besar Perlis Tan Sri Sheikh Ahmad Mohd Hashim dalam PRU di
Dun Kuala Perlis.
“Awak tak usah bertandinglah awak masih muda, Mat. Ada
lagi masa awak masuk dewan.” Masa itu umur saya 33 tahun. Dia cakap begitu saya
terdiam tak menjawap.
“Awak tolong saya sahajalah. Saya minta awak pergi
bantu Sheikh Ahmad di Kuala Perlis dalam PRU ini.”
Sebulan sebelum PRU saya ke Kuala Perlis membuat
penyelidikan dan mengkaji pelbagai kemungkinan. Setelah siap, lima hari sebelum
hari mengundi saya balik ke KL dan beritahu Tun bahawa Perikatan dan calonnya
akan kalah di Kuala Perlis. Tun kata, “buatlah sesuatu untuk memenangkannya.”
Dalam kajian dan temuramah penduduk itu saya mendapati
ada orang (pengundi) Kuala Perlis yang memasuki tanah rancangan Felda Sertik,
Bentong sebagai peneroka. Hari mengundi jatuh pada 10 Mei. Lalu pada 7
haribulan saya bertolak dengan membawa pengundi-pengundi itu ke Kuala Perlis
seramai 84 orang suami isteri dengan dua buah bas sewaan atas program lawatan
sambil belajar. Dalam perjalanan singgah di Ipoh, Pulau Pinang dan pada 9
haribulan baru sampai di Kangar.
Keluar keputusan pada sebelah malam (kira-kira pukul
10) pada hari mengundi itu, Sheikh Ahmad menang dengan majoriti 32 pengundi
sahaja! Bayangkan jika tidak dibantu oleh pengundi-pengundi yang saya bawa dari
Felda Sertik itu.
13 MEI: TUN RAZAK LANTIK AHLI MAGERAN
(Tarikh 13 Mei 1969 diingati kerana telah berlaku
rusuhan kaum khususnya antara Cina dan Melayu. Ia bermula apabila parti
pembangkang dari kaum Cina iaitu DAP,
Gerakan dan PPP menang besar dalam PRU 10 Mei di bandar-bandar besar dengan
memperoleh 25 kerusi dalam Dewan Rakyat. Manakala PAS menang 12 kerusi.
Dalam pilihan raya tersebut calon-calon Perikatan yang
dianggotai oleh Umno , MCA, dan MIC kalah teruk dan gagal memperolehi majoriti
dua pertiga di parlimen walaupun masih berjaya membentuk kerajaan persekutuan.
Jumlah kerusi yang dimenangi gabungan tersebut telah menurun daripada 89 kerusi
pada tahun 1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969.
Kedudukan di Selangor pula menyaksikan kedudukan kerusi
sama banyak.)
Pada 11 haribulan kami bertolak balik dari Perlis dan
bermalam di Ipoh. Esoknya (12 Mei) kami sambung perjalanan lagi dan singgah di
Kuala Lumpur. Ketika itu kami dah nampak perarakan orang Cina yang meraikan
kemenangan pembangkang khususnya Cina. Saya nampak ada yang membuka seluar.
Namun pada tengah malam kami bergerak balik Bentong.
Tiba-tiba pada awal pagi 13 haribulan itu Tun Razak
telefon saya, katanya: “Mat datang ke Kuala Lumpur sekarang...”. Saya pun terus
naik Land Rover bersama seorang pemandu Jabatan Penerangan.
Sesampai di Kuala Lumpur saya terus melaporkan diri di
bilik gerakan Mageran di High Street Police Station (kini Jalan Hang Tuah) dan bertugas selama empat bulan lamanya.
Saya tinggal di pejabat Jabatan Penerangan di sebelah
bangunan mahkamah. Saya diberi jawatan sebagai pegawai gerak saraf
(psycological warfare) negara dan Pegawai Perhubungan Awam.
Saya ditugaskan meronda seluruh Kuala Lumpur, berdua
dengan pemandu. Tugas saya berjumpa orang ramai dan memberi penerangan.
Kebanyakan yang saya temui ialah orang Cina dan saya menasihatkan mereka.
Menurut fakta sejarah, perarakan oleh penyokong
pembangkang Cina dari 11 hingga 12 Mei. Mereka mendapat permit polis bagi
perarakan kemenangan melalui jalan yang ditetapkan di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun perarakan yang menyebabkan kesesakan jalan raya itu melencong dari
laluan yang ditetapkan. Perarakan hingga
ke Jalan Campbell dan Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru. Sedangkan di
Kampung Baru, diduduki lebih 30,000 orang Melayu dan di sini juga letaknya
rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris.
Orang-orang Cina
telah berarak sambil mengikat penyapu pada kenderaan mereka sebagai
lambang kemenangan (atau sapu bersih).
Di Jinjang, Kepong, kematian seorang Cina akibat sakit tua diarak
sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun perarakan kematian bertukar
menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan maki hamun dan menghina
Melayu.
Allahyarham Dato' Harun telah mengumumkan perarakan
balas pada pagi 13 Mei 1969 dengan orang Melayu berkumpul di hadapan rumah
beliau di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Orang Melayu dari luar
Kuala Lumpur turut menyertai perarakan tersebut.
Pergaduhan mula berlaku di Setapak sekitar jam enam
petang apabila sekumpulan pemuda Cina menghalang orang Melayu ke Kampung Baru.
Apabila diketahui oleh orang Melayu yang berkumpul di Kampung Baru, mereka mula
bergerak dan menyerang orang Cina bersenjatakan parang dan keris. Mereka
membakar rumah-rumah kedai di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan juga kereta.
Orang Cina yang terserempak dibunuh. Rusuhan ini mula tersebar di sekitar Kuala
Lumpur dalam masa 45 minit.
Askar Melayu segera dikerah untuk mengambil alih
kawalan. Rusuhan dikawal dengan mengunakan gas pemedih mata dan perintah
berkurung 24 jam diumumkan oleh kerajaan.
Perintah tembak di keluarkan oleh Ketua Polis Negara
ketika itu.
Akibat rusuhan tersebut kerajaan telah membubarkan parlimen dan mengisytharkan
Darurat pada 16 Mei 1969. Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan dan
mengambilalih kuasa pemerintahan diketuai oleh Tun Razak bin Hussein dibantu
tokoh-tokoh politik pelbagai kaum, pemimpin-pemimpin kesatuan masyarakat bukan
kerajaan dan politik, pakar pelbagai
bidang, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Hakim Negara.)
Setelah dua
minggu perintah berkurung 24 jam, ia dilonggarkan. Manakala pihak keselamatan
mengambil masa selama dua bulan membersihkan sampah-sarap, kenderaan-kenderaan,
rumah-rumah dan kedai-kedai yang rosak,
terbakar dan yang musnah.
Apabila keamanan pulih seperti sediakala, kuasa pun
diserah kembali kepada parlimen dan Mageran dibubarkan.
Terdapat beberapa kesan pasca tragedi 13 Mei iaitu
antaranya dua parti pembangkang menyertai kerajaan iaitu Gerakan dan PAS
sehingga membentuk Barisan Nasional.
Kerajaan juga mulai sedar tetang kemiskinan bangsa
Melayu dan terbentuklah Majlis Perundingan Negara, sehingga lahir Dasar Ekonomi
Baru. Dasar muhibah dan perpaduan juga diperkenalkan dan prinsip Rukun Negara
dicipta.
Perdana Menteri Malaysia yang pertama YM Tunku Abdul
Rahman juga melepaskan jawatan Perdana Menteri dan digantikan Tun Razak, ekoran
peristiwa tersebut. Kuala Lumpur (sebelumnya dalam Selangor) ditukar menjadi
Wilayah Persekutuan atas sebab-sebab politik.
Secara rahsia, ratusan ribu Melayu dari Indonesia
dimasukkan ke Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment