Monday, December 17, 2018

Akhirnya Khalid Samad minta maaf


Akhirnya Menteri Wilayah Persekutuan  yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Abdul Samad memohon maaf di atas keterlanjurannya yang menyandarkan kelemahan kerajaan PH menunaikan janji dengan Nabi Muhammad SAW juga pernah tidak menunaikan janji.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam sebelum itu dilaporkan berkata demikian dalam konvensyen partinya Amanah di sebuah hotel di Ipoh.


Sejak itu, katanya, beliau menerima banyak teguran dan beliau menerimanya dengan hati terbuka.

“Jika ada yang faham begitu (seolah Rasulullah mungkir janji), saya memohon maaf dan memohon ampun kepada Allah SWT dan Rasulnya,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Utusan Online.

Sementara itu Khalid yang dilihat umum agak celupar (out spoken) turut ditegur oleh Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainal Abidin. Dalam menyanggah kenyataan Khalid, beliau berkata Nabi Muhammad tidak pernah mungkir janji. Dengan berhujahkan peristiwa yang disebut Khalid, melibatkan Saiyidina Umar, Asri berkata tiada sebarang janji dalam peristiwa itu yang tidak tertunai. Bahkan janji baginda tertunai di mana selepas itu baginda dan para sahabat kembali semula menunaikan umrah.

Asri turut menasihatkan agar Khalid berhati-hati apabila berbicara tentang Rasulullah s.a.w. Ada akidah yang mesti kita percaya bahawa baginda hanya berjanji apa yang Allah khabar kepada baginda. Mustahil Allah mewahyukan sesuatu janji kemudian tidak dapat berlaku.

“Di samping itu, hendaklah kita tahu bahawa di zaman ini dan dalam negara kita ada muslim yang kurang berpengetahuan dan masyarakat bukan muslim yang boleh tersalah faham terhadap Nabi kita Muhammad s.a.w jika kita tersalah memberikan maklumat.”

Asri juga menuntut agar Khalid yang tersilap atau tersasul, membetulkan kenyataan dalam hal berkenaan.

No comments:

Post a Comment