Monday, December 31, 2018

Peningkatan kes denggi Mukim Beserah membimbangkan

YB Andan  di program gotong royong  29hb Dis di Pelindung Maju
bersama Pejabat  Kesihatan, MPK serta penduduk
ADUN Beserah Andansura Rabu menjelaskan  berlaku peningkatan kes demam denggi di Mukim beserah sejak akhir-akhir ini dengan mencatatkan 44  kes demam denggi sepanjang tahun 2018.

Dalam satu kenyataan, beliau memberitahu, dalam tempoh Oktober sehingga Disember 2018 sahaja terdapat sebanyak 29 kes dilaporkan iaitu di Kampung Rumbia, Kampung Pantai dan Taman Pelindung Maju (wabak aktif).

Wabak demam denggi yang terbaru dan masih bertatus wabak aktif dilaporkan di Taman Pelindung Maju dengan mencatatkan sebanyak dua kes.

Katanya, masalah yang dikenal pasti di kawasan wabak adalah kawasan persekitaran tempat tinggal yang kurang memuaskan.

“Persekitaran rumah didapati tidak bersih dan terdapat bekas-bekas yang disimpan di persekitaran rumah yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Tabiat membuang sampah di kawasan rumah terutama di belakang rumah juga menyebabkan sampah tersebut menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Terdapat juga beberapa rumah kosong dan tidak berpenghuni yang tidak terurus,” menurut kenyataan berkenaan.

Tambahnya, persepsi masyarakat yang menganggap kawalan denggi yang utama adalah fogging, sebaliknya, pemusnahan tempat pembiakan adalah tindakan kawalan yang paling berkesan dan digalakkan.

Di samping itu, terdapat juga kelewatan dalam mendapatkan rawatan apabila mengalami gejala demam denggi.

“Saya mengharapkan agar penduduk lebih cakna dalam menjaga kebersihan di kawasan rumah masing-masing dalam usaha mengekang demam denggi daripada merebak.

“Penduduk juga diharapkan untuk menjalankan aktiviti pembersihan kendiri di rumah masing-masing dengan lebih kerap atau sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu sepertimana saranan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya tempat pembiakan nyamuk aedes dapat dimusnahkan.”

Tambahnya, aktiviti gotong-royong di kejiranan juga digalakkan agar kawasan kejiranan bersih dan bebas dari nyamuk aedes.

Penduduk juga dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan awal apabila mengalami tanda-tanda demam denggi di fasiliti kesihatan yang berdekatan.


No comments:

Post a Comment