Sunday, December 9, 2018

PAS tidak selamanya pembangkang: PJ

Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, parti itu dalam keadaan sangat hampir untuk mencapai kemenangan di negeri ini, asal sahaja seluruh 
ahli bersiap sedia mengikuti Pelan Tindakan
Strategik yang disusun.

"Saya faham ahli PAS tidak mahu selamanya berada sebagai pembangkang, oleh kerana itu semua lapisan dan peringkat perlulah fokus kepada pelan tindakan yang ditetapkan oleh negeri untuk menuju ke arah itu," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Munakasyah Ucapan Dasar Presiden di Kompleks Almakmur, Kerdau, Temerloh.


Beliau yang juga Adun Tanjung Lumpur berkata, apabila tidak dapat memerintah PAS tidak dapat laksana Islam keseluruhannya. 

"Macamlah kita suruh anak-anak garu belakang kita yang gatal, ada tempat kena ada tempat tak kena.

"Begitulah kita menyeru BN atau PH melaksanakan Islam, ada sana yang kena tapi situ tak kena. Dan begitulah sebaliknya kerana hanya PAS yang beriltizam untuk melaksanakan Islam keseluruhannya".

Justeru, ahli di segenap peringkat mesti berusaha agar PAS menang dan dapat memerintah jika ingin melihat Islam yang syumul dilaksanakan.

Turut hadir Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad, Exco Kerajaan Negeri Terengganu Dr Azman Ibrahim selaku dua pembentang kertas kerja, serta saf kepimpinan negeri dan kawasan. 

Kira-kira 600 peserta hadir. 

Ustaz Rosli turut memuji para peserta yang sanggup mengetepikan kesibukan dan keletihan masing-masing untuk hadir hari ini kerana terlibat dalam tiga program besar dalam tempoh empat hari. Pada Khamis PAS Pahang telah menjayakan Himpunan 612 Temerloh Bergema dan semalam pula kebanyakannya turun ke Kuala Lumpur membantah ICERD di Dataran Merdeka.

Sementara itu Dr Azman yang juga seorang AJK PAS Pusat, dalam mukadimah pembentangannya memberitahu negeri PAS kemungkinan akan menjadi tuan rumah Muktamar Agung PAS Pusat pada tahun hadapan.

Pengumuman beliau disambut laungan takbir oleh peserta.

No comments:

Post a Comment