Monday, February 28, 2011

Pengarah SPR Pahang meninggal dunia

TEMERLOH: Pengarah Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) Pahang Datuk Ismail Mohd Yusoff meninggal dunia di Hospital Sultan Ahmad Shah di sini petang Isnin kerana serangan jantung.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Ismail, 57, yang dimasukkan ke hospital itu pada 7 pagi tadi, meninggal dunia pukul 3.15 petang ini.

Beliau berada di sini bagi melihat persiapan pilihan raya kecil Kerdau yang akan diadakan Ahad ini, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad dan calon PAS, Hassanuddin Salim.

"Pada saya Allahyarham seorang pegawai yang cukup dedikasi dengan memberi perhatian sangat rapi, dia telah berkhidmat dalam SPR selama 20 tahun dan akan bersara pada Julai ini.

"Beliau mula berkhidmat selaku Pengarah Pahang (SPR) bermula 1 Julai 2001 sebelum itu bertugas selaku Pengarah Melaka dan pernah menjadi Timbalan Pengarah Pahang," katanya kepada Bernama di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh di sini, hari ini.

Jenazah Ismail dibawa ke rumahnya di Felda Panching Timur, Kuantan dan akan dikebumikan petang ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak menyifatkan Allahyarham seorang yang minat bekerja.

Katanya, sepanjang beliau mengenali arwah, Allahyarham seorang yang suka membantu dan cukup dedikasi dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

"Saya tengok dia suka buat kerja kadang-kadang dia suka selesaikan permasalahan sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain," katanya.


-- BERNAMA


1 comment:

  1. al fatihah...

    semoga roh arwah dicucuri rahmat dan dirahmati..
    aminn...

    ReplyDelete