JERANTUT: PAS Kawasan ini merayu mana-mana pasukan bola sepak dan orang ramai agar tampil membantu bekas penyerang lincah kebangsaan pada era 1990-an Abdul Jalil Manan, 43, yang kini menderita hampir lumpuh akibat penyakit saraf.
Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Jerantut, Yohanis Ahmad, Jalil yang juga bekas pemain bola sepak negeri Kedah dan skuad belia Pahang itu sudah hampir 15 tahun menderita dan hanya bergerak di atas kerusi roda.
Tambahnya, apa yang menyedihkan, Jalil pada masa ini hanya mengharap bantuan bulanan RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menampung keperluan ubat-ubatan dan selainnya hanya bergantung kepada ayahnya, Manan Awang, 60-an yang bekerja sebagai mandur ladang.
“Beliau juga ada menerima wang zakat sebanyak RM200 setahun sekali namun bantuan sebanyak itu sudah tentu tidak mencukupi dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang dan ubat-ubatan yang mesti diambilnya.
“Sebab itu kita minta seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil membantu kerana Jalil selama ini tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya berbanding jasa dan pengorbanan beliau yang besar dalam pembangunan bolasepak negara,” katanya.
Yohanis berkata demikian ketika menziarah sambil menyerahkan sumbangan wang kepada Jalil yang tinggal bersama bapanya di Kampung Lubuk Payung, Tembeling Tengah dekat sini.
Jalil yang tidak pernah berkahwin, merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan tinggal bersama ayahnya sejak ditimpa penyakit berkenaan.
Sementara itu Jalil ketika ditanya pada zaman kegemilangannya, pernah bergandingan dengan bintang bola sepak kebangsaan Azman Adnan selain pernah bersama pemain Azizul Kamaluddin dalam skuad Pahang.
Beliau juga pernah beraksi membantu pasukan remaja negara di kejohanan Piala Belia di Korea Selatan pada 1988 dan pernah beraksi dengan skuad utama Kedah selama lima tahun sebelum terpaksa menggantung but akibat penyakit tersebut.
Katanya lagi, sejak ditimpa penyakit berkenaan beliau tidak putus asa berubat sama ada secara moden mahupun tradisional, namun hingga kini keadaannya masih tidak berubah dan masih terpaksa berulang alik ke hospital setiap bulan untuk fisioterapi.
“Itu pun jika saya ada duit, kalau tidak, duduk di rumah dan menahan sakit. Saya pun tidak mahu menyusahkan keluarga yang banyak membantu selama ini.
“Sebab itu jika adalah ihsan dan bantuan bulanan alangkah baiknya untuk menampung kos perubatan sekarang kerana bantuan bulanan JKM terlalu kecil dan tidak mencukupi dan saya memerlukan tambahan bantuan,” katanya sayu.
Mengenai keadaan penyakit yang dihidapinya sekarang, Jalil berkata beliau tidak mampu berdiri kerana keadaan pinggangnya yang sudah semakin lembik menyebabkan dia hanya mampu duduk di atas kerusi roda sahaja.
GAMBAR
Jalil (kiri) menerima sumbangan wang daripada Yohanis.
No comments:
Post a Comment