Saturday, July 5, 2014

Kompleks Al-Makmur dijangka siap Mac depan, derma diperlukan

Kerja-kerja pembinaan Kompleks Al-Makmur kain mencapai matlamat penyempurnaan fasa satu iaitu ‘ground work’, apabila kerja konkrit pad footing dijangka dapat disiapkan pada Selasa minggu hadapan.

Bendahari PAS Pahang yang juga pengarah projek berkenaan Musaniff Abdul Rahman berkata, selepas ini kerja-kerja akan ditumpukan kepada konkrit tiang tunggul (stumb), ground beam dan lantai.

Katanya, kompleks yang terletak di Kerdau sebagai pusat pentadbiran, tarbiyah dan dewan berhimpun PAS Pahang, dijangka akan siap sepenuhnya mengikut waktu yang dijadualkan iaitu pada Mac 2015.

Projek pembinaan itu terbahagi kepada dua fasa iaitu mengandungi dewan dan bangunan pentadbiran. Pada masa ini kerja-kerja ditumpukan kepada pembinaan dewan dua tingkat bernilai RM5 juta berukuran 108 kaki darab 208 kaki yang apabila siap mampu menempatkan 2,000 orang pada satu-satu masa.

“Kerja-kerja sedang dilaksanakan oleh kontraktor iaitu Rangkai Makmur Enterprise, yang dipilih secara tender terbuka akan menyiapkan kerja-kerja tanah (ground work) dan tapak sehingga aras lantai terlebih dulu yang bernilai RM500 ribu dan dijangkakan siap Julai ini.

“Selepas itu akan disambung pula kerja-kerja memasang kerangka struktur besi bangunan dewan utama yang menelan belanja RM1.5 juta dan dijangka siap September tahun ini juga.

“Kemudiannya kerja-kerja akhir menyiapkan bangunan dengan anggaran kos RM2 juta. Akhirnya akan disempurnakan dengan kerja-kerja pendawaian elektrik, pendingin hawa dan bekalan air (MNE) dengan tambahan kos RM1 juta lagi,” katanya ketika ditemui di lokasi tapak pembinaan.

Idea pembinaan Kompleks Al-Makmur dicetuskan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kira-kira dua tahun lalu memandangkan kebanyakan PAS negeri-negeri lain sudah memiliki kompleks sendiri sehingga boleh diadakan Muktamar Agung Tahunan.
“Kebetulan PAS Pahang mempunyai tanah yang diwakafkan ahli seluas 8 ekar yang berkedudukan amat strategik berhampiran jalan besar Temerloh-Jerantut dan hanya lima minit perjalanan keluar dari Tol Temerloh Lebuh Raya Pantai Timur.
“Walau bagaimanapun, PAS Pahang masih amat memerlukan sumbangan dan infak daripada semua pihak bagi menjayakan cita-cita besar ini,” rayunya.

Bagi sesiapa yang sudi menghulur derma di samping mendapat pahala sedekah jariah, bolehlah memasukkan wang sumbangan ke akaun Maybank Islamik 5560 5750 4469 atas nama Pembangunan Komples Al Makmur.

Sebarang kemusykilan boleh hubungi pejabat PAS Pahang 09 2965143.


Musaniff sedang meninjau kerja-kerja konkrit tapak Kompleks Al-Makmur.

No comments:

Post a Comment