Thursday, July 3, 2014

Musnah kawasan rayau: Orang Asal bantah projek hidro TNB

Penentangan terbuka masyarakat Orang Asal terhadap projek Empangan Hidroelektrik Ulu Telom di daerah ini, memang kuat asasnya kerana kesannya ialah bakal mengorbankan hutan seluas 7,600 hektar atau kira-kira 20,000 ekar.

Dengan kawasan ditenggelami air seluas itu, seluruh kawasan untuk kegiatan ekonomi komuniti tersebut, tanah adat dan kawasan hutan semula jadi yang mewah dengan khazanah sumber alam akan musnah.

Memandangkan kemusnahan teruk dan ancaman terhadap kawasan rayau yang didakwa telah didiami nenek moyang mereka sejak zaman sebelum British lagi, penduduk di Pos Lanai itu tidak berdiam diri sebaliknya telah menubuhkan jawatankuasa bertindak. Jawatankuasa itu telahpun menghantar memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Menteri Besar Pahang, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Antara lain rayuan mereka dalam memorandum berkenaan ialah projek tersebut akan menjejaskan punca pendapaatan utama lebih 300 orang penduduk Pos Lanai kerana di kawasan itulah terletak kebun getah yang sedang mengeluarkan hasil dan ada yang belum.

Tegas mereka, di situ juga terdapat ‘perkuburan keramat’ masyarakat Orang Asal serta lagenda sejarah asal keturunan mereka. Pembinaan empangan yang dirancang hanya akan memusnahkan Tanah dan Wilayah Adat mereka. Ia seumpama membunuh tapak tradisi warisan masyarakat nenek moyang yang berhubung kait dengan alam yang berada di situ.

Jelas mereka, di situ juga terdapat dusun buah-buahan yang membuktikan ia merupakan tanah adat masyarakat Orang Asal suku kaum Semai.

Apa yang mereka kesalkan ialah, cadangan pembinaan projek empangan tersebut tidak dimaklumkan ataupun cuba mengambil kira pandangan, persetujuan atau rundingan dengan mereka. Justeru sudah tentu menyalahi perlembagaan negara berdasarkan Artikel 5 (Hak Untuk Hidup), Artikel 8 (Kesamarataan di Sisi Undang-undang) dan Artikel 13 (Hak kepada Harta Benda).

Hak-hak Orang Asal juga dilindungi oleh UNDRIP di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang mana deklarasinya turut ditandatangani oleh kerajaan Malaysia. Mengikut Artikel 10 yang mengatakan mereka tidak boleh dipindah secara paksa daripada wilayah mereka. Artikel 11.1 pula menyatakan Orang Asal mempunyai hak untuk mengamal dan menggiatkan semula tradisi budaya serta adat resam mereka.

Sebaliknya penduduk dari lima kampung itu hanya ditawarkan berpindah ke penempatan baru kononnya menduduki ‘rumah batu’ di samping sagu hati sebanyak RM200 sebulan. Tetapi pengorbanannya ialah mereka terpaksa meninggalkan tempat mencari sesuap makan selama ini seperti kebun getah, kawasan berburu serta aktiviti mencari bahan-bahan berharga di hutan.

Sementara itu, wakil penduduk Orang Asal di sini pernah berkumpul di hadapan pejabat Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Adnan Yaakob di Kuantan bagi membantah projek berkenaan. Menurut mereka, apa yang melucukan, pernah Adnan mengajak Orang Asal bertumbuk kerana tidak tahan dengan keriuhan Orang Asal.

Baru-baru ini Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat diketuai Mazlan Aliman, telah menziarahi komuniti berkenaan sambil mengagihkan sedikit bantuan.

Di situ terdapat 183 buah rumah dengan 150 keluarga Islam, yang dikumpulkan dari Kampung Harum, Nyentel, Lanai dan Pantos.

Turut serta Pengerusi NGO Badan Prihatin Hal Ehwal Orang Asal (Batin) Dr Ungku Mohd Nor Ungku Mahmood, Peguam Harris Abdullah, Pengerusi Prihatin Rakyat PAS Pahang Hassanuddin Salim dan Yang Dipertua PAS Kawasan Cameron Highlands Ustaz Karim Sidek.

Mazlan berkata berdasarkan penelitiannya, rata-rata penduduk Orang Asal mengeluh akibat kesan sosio ekonomi terutama apabila bergantung kepada pendapatan yang sangat kecil iaitu RM200 sebulan sehingga tidak mampu untuk mereka menampung keperluan harian.

“Kebanyakan daripada mereka terutama yang muda-muda memilih untuk kembali menoreh di tempat lama seperti biasa tetapi mereka tidak boleh berulang kerana jauh. Jadi sekali pergi terpaksa mengambil masa dari tiga minggu hingga sebulan mereka tinggal di sana dan berperpisah dengan anak isteri,” katanya.

Mazlan melihat, isu ini terjadi kerana tiada persefahaman antara pihak kerajaan dengan penduduk. Jelasnya, sepatutnya hal-hal begitu dibincangkan terlebih dulu dengan penduduk.

“Tetapi saya lihat bila mereka nak ambil kampung penduduk mereka maklumkan ini keputusan kerajaan dan mereka tidak bincangkan terlebih dulu dengan penduduk. Inilah berdasarkan pengalaman yang bukan saja dilalui oleh Orang Asal, begitu juga kampung tradisi. Yang bila kerajaan nak ambil, guna akta pengambilan tanah dan penduduk akan diusir dari tempat itu.

“Sebab itu bagi saya untuk berlaku adil kerajaan harus meraikan sebagai satu pengiktirafan kepada komuniti ini. Sebab itulah kita di bawah Lajnah Pembangunan Tanah membantah kerana menyalahi. Hatta di bawah konvensyen PBB pun bertentangan yang sepatutnya dihormati oleh kerajaan negara kita,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau telah mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa bertindak di peringkat PAS Kawasan kemudiannya peguam kita akan meneliti dari sudut perundangan.

“Mungkin peguam akan membuat satu injunksi bagi menghalang mana-mana pihak bagi membuat apa-apa tindakan terhadap penempatan Orang Asal. Kita nak bagi satu isyarat kepada kerajaan supaya apa saja dilakukan kerajaan mesti dibincangkan dulu.

“Jangan sewenang-wenangnya kerajaan bertindak yang menyalahi peraturan. Ini antara tindakan yang kita akan lakukan,” tegasnya.

Mazlan berkata, berdasarkan semua fenomena ini, dengan isu-isu yang semakin menjadi-menjadi di penempatan Orang Asal diceroboh dan diganggu, lajnahnya bercadang membuat himpunan besar-besaran pada November ini untuk menghimpunkan masyarakat Orang Asal seluruh negara.

Tambahnya, satu resolusi akan dibuat dan akan sampaikan hingga ke peringkat antarabangsa. Kerana walaupun mereka ini minoriti tetapi kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menidakkan kepentingan Orang Asal.

Bagi Ungku Mohd Nor pula, sudah sampai masanya kerajaan mewartakan kawasan yang khas rizab untuk komuniti itu supaya jika dipindahkan pun masih boleh mencari makan sesuai dengan budaya kehidupan mereka.

“Jalan penyelesaiannya sangat mudah. Jumlah keseluruhan Orang Asal ini hanya 0.1 peratus saja di Malaysia. Hasil mahsul dari hutan banyak, biarlah mereka perolehi setimpal dengan hasil yang diperah, sebab mereka orang awal di kawasan masing-masing,” katanya.

CAPTION
1. Mazlan bergambar ramai dihadapan pintu masuk Pos Lanai.
2. Mazlan bermesra dengan batin Kampung Nyentil.
3. Penduduk turut meraikan tetamu dari Lajnah Tanah.
4. Inilah rupa ‘rumah batu’ yang disediakan kerajaan sebagai tempat pemindahan Orang Asal, manakala di kampung asal mereka akan dibina empangan hidro elektrik.


No comments:

Post a Comment