Saturday, July 19, 2014

Nisa' Temerloh anjur dapur jalanan

Berdasarkan kejayaan ‘dapur jalanan’ oleh NGO di ibu negara bagi menyantuni gelandangan dan golongan kurang kemampuan, Nisa’ Temerloh hari ini turun dengan konsep dan kesedaran yang sama.

Dengan diketuai Aziahanim Abdul Aziz bersama barisan jawatankuasanya, mereka turun memasak kuih-kuih raya di tapak pasar Ramadan bagi mendekati mereka yang kurang bernasib baik untuk menyampaikan sedikit sumbangan membantu mereka merasai kehangatan menyambut hari raya ini.

“Petugas Nisa’ turun seawal jam 8 pagi tadi bertungkus-lumus memasak kuih-muih raya di kedai Baisudin Ramli dan mula diedarkan kepada yang kurang bernasib baik pada sebelah petang di pasar Ramadan ini.

“Selain kuih raya, Nisa’ juga turut menyumbangkan barangan keperluan seperti beras, gula, tepung, susu dan sebagainya bagi mereka turut merasai kehangatan sambutan raya seperti orang lain,” jelasnya ketika ditemui di sini.

Katanya, mereka mensasarkan golongan kurang berkemampuan tersebut di Dun Kuala Semantan, Mentakab dan Lanchang dalam Parlimen Temerloh.

Menurut Aziahanim, program kebajikan akan sentiasa menjadi keutamaan Nisa’ bagi mendekati masyarakat meskipun matlamat utama Nisa' adalah untuk mendekati golongan muda atau remaja kerana mahu memenuhi slogan negara berkebajikan dan rahmat untuk semua.

"Dengan inisiatif ini juga dapat mengeratkan hubungan silatulrahim serta dapat membantu serba sedikit persediaan menyambut hari raya," katanya.

Aziahanim berkata, Nisa’ Temerloh mempunyai banyak lagi program kemasyarakatan yang dirancang justeru bagi mereka yang sudi menghulurkan sumbangan bolehlah memasukkan wang ke akaun NGO tersebut melalui Bank Islam: 06019010077686.

CAPTION
Nisa’ Temerloh sedang bertungkus-lumus menyiapkan kuih raya untuk diedarkan di pasar Ramadan.

No comments:

Post a Comment