KUANTAN: Salah satu daya tarikan di tengah bandar ini ialah ‘majlis berbuka puasa terbuka’ di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK 1) iaitu bersebelahan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dekat sini.
Saban tahun pada bulan Ramadan, di padang itu dibanjiri orang ramai untuk berbuka puasa di mana sesiapa sahaja boleh hadir sambil bersantai dengan membawa juadah sendiri atau membelinya dari bazar Ramadan yang terletak di hadapannya.
Majlis terbuka itu lazimnya meriah dengan kehadiran penduduk tempatan, musafir atau pelancong dan diserikan pula dengan tazkirah khas oleh penceramah undangan sebelum berbuka puasa.
Bagi Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Nasrudin Hassan, penganjuran berbuka puasa secara santai itu sangat inovatif apatah lagi lokasinya pula sangat berhampiran masjid. Dengan itu memudahkan pengunjung segera menunaikan Solat Maghrib berjamaah selepas berbuka puasa.
Tambahnya lagi, dengan berbuka di situ pengunjung-pengunjung bazar Ramadan tidak lagi kalut untuk pulang kerana biasanya kenderaan dan trafik di bandar itu pada sebelah petang berlaku kesesakan luar biasa.
Di samping memuji usaha oleh penganjur, Ahli Parlimen Temerloh itu yang telah tiga kali berbuka di situ mengharap dilakukan penambahbaikan oleh semua khasnya pengunjung ke lokasi berbuka puasa itu.
“Pertama bagi muslimat, tutuplah aurat sebagaimana yang diajar oleh syariat. Sebagaimana anda patuh kepada syariat untuk berpuasa maka saya percaya anda juga boleh patuh syariat untuk menutup aurat. Sebab saya saksikan sepanjang berada di situ, terlalu ramai muslimah yang hadir berbuka puasa tetapi tidak menutup aurat.
“Kedua, jangan abaikan solat. Khasnya solat maghrib sedang jarak lokasi berbuka puasa dengan masjid bukanlah jauh dan menyulitkan. Saya saksikan terlalu ramai yang tidak solat dan ramai juga yang melengahkan solat sehingga hampir habis waktu maghrib. Saya ulangi, sebagaimana anda patuh syariat untuk berpuasa maka saya juga percaya bahawa anda mampu patuh syariat untuk solat sedang solat adalah tiang agama. Apalah ertinya puasa anda tanpa solat.
“Ketiga, elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan pula berpegangan tangan lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Ini fenomena yang sangat mendukacitakan. Majlis berbuka puasa beramai-ramai ini bukanlah pesta keraian yang melalaikan serta mengundang murka Allah Swt,” tulisnya melalui whatsapp.
Tegasnya, betapa muslimin dan muslimat sanggup mematuhi syariat untuk berpuasa justeru beliau sangat percaya bahawa mereka juga sanggup mematuhi syariat untuk tidak bergaul bebas dan berpegangan tangan dengan bukan mahram.
“Marilah kita usahakan Ramadan edisi ini iaitu Edisi 1435 Hijriah sebagai Ramadhan terbaik buat diri kita berbanding sebelumnya. Kita bina jiwa yang bertaqwa melalui Madrasah Ramadhan ini.”
CAPTION
Nasrudin bersama puteranya merasai kemeriahan berbuka puasa di padang MPK 1 Kuantan.
No comments:
Post a Comment