TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) hari ini mengecam keras tindakan pihak tidak bertanggungjawab sehingga bocornya kertas soalan subjek Sains dan terbaru Bahasa Inggeris.
Dalam kenyataan medianya Ketua Pemuda PAS Pahang Nazri Ahmad berkata, perbuatan dilakukan pihak tersebut sangat tidak wajar boleh dianggap sebagai jenayah akademik kerana secara tidak disedari boleh merosakkan masa depan bangsa sendiri.
“Saya mengambil maklum berita yang menjadi viral di laman-laman sosial pada petang ini mengenai penangguhan peperiksaan UPSR bagi subjek Sains kertas 018, 028, 038. Peperiksaan yang mengikut jadual berlangsung pada 11 September 2014 akan ditunda kepada 30 September 2014.
“Hari ini pula menteri berkaitan mengumumkan peperiksaan semula subjek Bahasa Inggeris. Bagi saya atas nilai integriti dan amanah, bolehlah di katakan mereka ini melakukan jenayah akademik yang boleh merosakkan masa depan bangsa.
“Tindakan dan ketamakan mereka telah meruntuhkan nilai-nilai murni seperti bertawakkal, berusaha, gigih serta tekun yang sentiasa di tanam oleh warga pendidik tanpa jemu kepada pelajar sebagai perisai jati diri yang utuh,” ujarnya.
Serentak dengan itu DPPNP menyokong tindakan Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia menangguhkan kertas Sains pada peperiksaan ini bagi memberi masa untuk peperiksaan semula serta menjamin keadilan yang sewajarnya bagi semua calon UPSR.
“Dalam masa yang sama juga kami menggesa agar tindakan yang sewajarnya diambil ke atas mereka yang telah mencalarkan sejarah serta nama baik sistem peperiksaan di Malaysia,” tambahnya.
Nazri turut memetik ayat al-Quran dari surah An-Nisa' ayat 58 ytang menegaskan “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat.”
~ Nazri (kiri sekali) dalam sidang media.
No comments:
Post a Comment